22 SYARIKAT SUNTIK RM49.9 JUTA, KUTIPAN ZAKAT PERNIAGAAN CECAH RM72.2 JUTA

Oleh: Muhammad Suhairi Fakri

KUALA LUMPUR, 22 Jun (IKIM) – Kutipan zakat perniagaan oleh Pusat Pungutan Zakat–Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mencecah RM72.2 juta bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan sektor perniagaan dalam memperkukuh agenda pembangunan ekonomi ummah.

Perkara itu dimaklumkan sempena Majlis Zakat Korporat 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini, menghimpunkan syarikat dan entiti korporat yang konsisten menunaikan tanggungjawab zakat perniagaan melalui PPZ-MAIWP.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 22 syarikat dan entiti korporat menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM49,901,747.28 kepada PPZ-MAIWP, menjadikannya antara penyumbang terbesar kepada kutipan zakat perniagaan yang direkodkan setakat tahun ini.

Majlis penyerahan zakat tersebut disempurnakan oleh wakil syarikat kepada PPZ-MAIWP yang diwakili Pengerusinya, Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman. Hadir mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli.

Dalam ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang dibacakan oleh Marhamah, Zulkifli berkata sektor korporat bukan sahaja menjadi penggerak utama ekonomi negara, malah merupakan rakan strategik penting dalam memperkukuh sosioekonomi masyarakat Islam, khususnya dalam menangani isu miskin bandar dan golongan yang tercicir yang memerlukan sokongan kolektif daripada pelbagai pihak termasuk sektor korporat serta institusi zakat.

“Kita harus mengakui bahawa isu miskin bandar dan nasib golongan yang tercicir hari ini memerlukan sokongan kolektif daripada kita semua. Sektor korporat tidak boleh berjalan sendirian, dan agensi zakat juga memerlukan rakan strategik seperti syarikat-syarikat korporat ini,” katanya.

Beliau berkata pembayaran zakat perniagaan yang konsisten oleh syarikat korporat membuktikan kesedaran yang semakin tinggi terhadap peranan zakat sebagai instrumen pengagihan kekayaan dan pembangunan sosioekonomi umat Islam.

Menurutnya, kerjasama erat antara institusi zakat dan sektor korporat akan membolehkan lebih banyak program pembangunan asnaf dilaksanakan secara berkesan, sekali gus memastikan manfaat zakat dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Majlis Zakat Korporat 2026 juga menjadi platform penghargaan untuk perniagaan yang terus menunjukkan tahap pematuhan syariah yang tinggi melalui pembayaran zakat perniagaan yang konsisten dan kepercayaan berterusan terhadap pengurusan zakat oleh PPZ-MAIWP.

Pada tahun lalu, zakat perniagaan menyumbang RM196.5 juta, atau 16% daripada kutipan zakat keseluruhan PPZ-MAIWP, menjadikannya penyumbang kedua terbesar. PPZ-MAIWP berharap manfaat zakat akan terus diperkasakan untuk kesejahteraan ummah dengan lebih banyak perniagaan tampil untuk menunaikan zakat perniagaan sebelum tahun kewangan 2026.

Antara syarikat dan entiti korporat yang menunaikan zakat perniagaan pada majlis tersebut ialah Amanah Hartanah Bumiputera, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad, FWD Takaful Berhad, Kenanga Investment Bank Berhad, Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP), KPJ Healthcare Berhad serta rangkaian syarikatnya, Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan (KWSMP), NEXG Berhad, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), PLUS Malaysia Berhad, Sime Darby Property (Golfhome) Sdn Bhd, Sun Life Malaysia Takaful Berhad, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Takaful Ikhlas Family Berhad, Takaful Ikhlas General Berhad, Tenaga Nasional Berhad, TH Plantations Berhad, TH Properties Sdn Bhd (TH Universal Builders Sdn Bhd) dan UBB Amanah Berhad.

Turut hadir Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr. Ahmad Fauwaz Fadzil; Pengerusi MAIWP, Datuk Haji Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Haji Yahya serta Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman.

WhatsApp
Scroll to Top