KUALA LUMPUR, 24 Jun (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyambut baik cadangan pembinaan Masjid Warisan di kawasan Tun Razak Exchange (TRX) yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.
Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, cadangan pembinaan masjid berkenaan selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, pada masa yang sama Perlembagaan turut menjamin hak penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing secara aman dan damai.
Beliau menjelaskan bahawa sebarang pembangunan rumah ibadat perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang serta mematuhi proses yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan, termasuk aspek perancangan bandar, penggunaan tanah, keselamatan awam, kelestarian dan kepentingan masyarakat setempat.
Katanya, pematuhan terhadap kerangka perundangan dan prosedur yang berkuat kuasa merupakan manifestasi kepada prinsip tadbir urus yang baik dalam sesebuah pembangunan.
Tambah beliau, masjid bukan sekadar berfungsi sebagai tempat ibadah, malah berperanan sebagai institusi ilmu, pembinaan akhlak dan penyatuan masyarakat.
“Pembinaan Masjid Warisan di TRX berpotensi menjadi simbol keseimbangan antara pembangunan material dan rohani dalam pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, IKIM berharap projek berkenaan dapat dilaksanakan secara telus, berhemah dan bertanggungjawab serta mendapat sokongan semua pihak.
Dalam pada itu, masyarakat turut diseru agar membincangkan isu tersebut secara matang dan berfakta, di samping menghormati proses undang-undang serta semangat Perlembagaan Persekutuan demi memelihara keharmonian negara.
IKIM menegaskan sokongannya terhadap pembinaan Masjid Warisan di TRX sebagai pelengkap kepada pembangunan bandar moden yang beradab, bertamadun dan seimbang serta berpaksikan nilai.




