Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
SEREMBAN, 25 Jun (IKIM) – Lebih 1,000 asatizah muda, mahasiswa pengajian Islam, guru agama dan aktivis NGO Islam dari seluruh negara berhimpun dalam Himpunan Asatizah Muda (HAMKA) Negeri Sembilan 2026 yang menjadi platform memperkukuh jaringan dakwah serta memperkasa peranan asatizah sebagai ejen perubahan masyarakat.
Program yang berlangsung di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban itu dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) selaku penyelaras utama dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, serta sokongan pelbagai agensi termasuk Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Lembaga Tabung Haji (TH), TV AlHijrah dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (USIM).
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang turut menyampaikan ucaptama manakala turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan bersama barisan kepimpinan institusi agama dan pendidikan.

Dalam ucapannya, Zulkifli menegaskan bahawa HAMKA telah membuka ruang lebih tersusun dalam memperkukuh peranan asatizah muda di seluruh negara.
“Alhamdulillah, himpunan asatizah muda ini telah menampakkan beberapa kejayaan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pembangunan pangkalan data asatizah muda merupakan antara pencapaian penting program ini dalam usaha memperkukuh gerakan dakwah secara lebih sistematik.
“Sekarang ini kita sudah ada database anak-anak asatizah muda yang boleh membantu kita menjadi ejen perubahan dan juga membantu kita memberikan pencerahan kepada masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, HAMKA akan terus diperluaskan ke seluruh negara sebagai usaha memperkukuh perpaduan ummah serta membawa mesej keamanan dan kedamaian kepada masyarakat.
Program HAMKA Negeri Sembilan merupakan edisi keempat selepas Kuala Lumpur, Sarawak dan Kedah, sekali gus menjadi antara platform terbesar menghimpunkan asatizah muda di peringkat negeri pada tahun ini.
Turut hadir majlis Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil; Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom; Ahli Dewan Negara, Senator Dr. Jufitri Joha serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Ustaz Azlan Shah Nabees Khan.




