Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
PUTRAJAYA, 27 Jun (IKIM) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM1.5 juta kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia bagi memperluas akses bantuan guaman syarie kepada golongan kurang berkemampuan melalui Program Bantuan Guaman Syarie (BAGUS).
Beliau berkata usaha ini penting bagi memastikan akses kepada keadilan tidak hanya bergantung kepada kemampuan kewangan seseorang, khususnya dalam kalangan golongan miskin dan ibu tunggal yang berdepan kesukaran mendapatkan representasi di Mahkamah Syariah.

“Kita ada perundangan yang baik, mahkamah yang baik, peguam yang baik dan hakim yang baik, tetapi masalah akses itu belum tentu.
Dalam banyak keadaan, sistem perundangan sering dilihat memberi kelebihan kepada mereka yang berkemampuan dari segi akses kepada khidmat guaman yang lebih baik. Selalunya dalam sistem perundangan, orang yang berkemampuan mendapat peguam terbaik, tetapi orang yang paling miskin kadang-kadang tidak ada akses,” kata beliau ketika merasmikan Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026, hari ini.

Konvensyen tersebut yang menghimpunkan lebih 600 pengamal perundangan Syariah dari seluruh negara menjadi platform penting membincangkan penambahbaikan sistem keadilan Syariah, termasuk isu akses kepada bantuan guaman dan penyelarasan profesion peguam syarie.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata konvensyen ini merupakan kesinambungan kepada usaha berterusan memperkukuh perundangan Syariah di negara ini.
“Alhamdulillah hari ini kita menghadiri Konvensyen Profesion Peguam Syarie 2026 yang menghimpunkan lebih 600 pengamal-pengamal perundangan termasuk peguam syarie, para hakim, pegawai syariah, hakim-hakim termasuk peguam negara yang hadir pada hari ini dan ia merupakan rentetan daripada usaha-usaha berterusan kita untuk memperkukuhkan lagi perundangan syariah di negara.”

Beliau menambah, konvensyen ini turut menjadi kemuncak kepada siri libat urus dan perbincangan sebelum ini yang melibatkan pengamal undang-undang Syariah dari seluruh negara.
“Sebenarnya sudah ada program-program sebelum ini, round table discussion, dan ini merupakan kemuncak di mana kita membincangkan beberapa aspek untuk memperkukuhkan profesion peguam syarie di Malaysia. Alhamdulillah, peguam-peguam dari seluruh negara datang untuk berhimpun, memberikan pandangan, berwacana dan berdialog.”
Turut disentuh ialah peranan Persatuan Peguam Syarie Malaysia dalam memperluaskan akses bantuan guaman kepada pihak yang memerlukan, khususnya golongan tidak berkemampuan yang memerlukan representasi di Mahkamah Syariah.

Dalam perkembangan lain, beliau turut merujuk kepada inovasi dalam sistem kehakiman Syariah termasuk pelaksanaan mahkamah fast track dan pendigitalan yang telah membantu mempercepatkan penyelesaian ribuan kes.
“Mahkamah Syariah telah melalui pelbagai inovasi termasuk laluan pantas yang mempercepatkan penyelesaian kes, selain pendigitalan yang memudahkan akses masyarakat,” katanya.

Selain itu, kehadiran Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil turut mencerminkan sokongan institusi ilmiah dalam memperkukuh perbincangan berkaitan reformasi undang-undang Syariah dan pembangunan profesion guaman Syarie.
Konvensyen ini dijangka merumuskan beberapa syor dan resolusi dasar berkaitan penyelarasan tauliah, penambahbaikan pengurusan kes serta pembangunan profesionalisme peguam syarie bagi memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap institusi kehakiman Syariah negara.




