KUALA LUMPUR, 27 Jun (IKIM) – Tokoh-tokoh Maal Hijrah Wilayah Persekutuan akan didokumentasikan dan diketengahkan menerusi pelbagai platform termasuk media sosial, video pendek, animasi serta teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi dijadikan sumber inspirasi kepada generasi muda.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, inisiatif itu merupakan usaha untuk mengarusperdanakan pemikiran, pengalaman dan sumbangan lima penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Wilayah Persekutuan 1448H yang dipilih berdasarkan impak besar mereka kepada masyarakat.

Menurut beliau, lima orang tokoh menerima anugerah tersebut, didahului oleh penerima Anugerah Tokoh Utama Maal Hijrah, Dato’ Sri Meer Sadik Habib Mohamed manakala empat orang tokoh lain menerima anugerah dalam bidang kepakaran masing-masing, iaitu Anugerah Khas Ilmuwan, Profesor Dr. Azizi Ayob; Anugerah Khas Pendakwah, Dato’ Dr. Haji Abdul Razak Haji Kechik; Anugerah Khas Usahawan, Dr. Ishak Mas’ud dan Anugerah Khas Inspirasi, Dr. Malik Yatam yang dipilih melalui penelitian rapi berdasarkan sumbangan kepada ummah dalam pelbagai bidang.
“Tokoh-tokoh ini bukan sekadar menerima pengiktirafan, malah pengalaman dan pemikiran mereka akan didokumentasikan supaya dapat dijadikan teladan kepada masyarakat, khususnya anak-anak muda yang sedang mencari contoh dan role model terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah dan Penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan di Dewan Muktamar JAWI, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir majlis Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli; Pengerusi
MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Haji Yahya; Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Mohd Zaidi Ismail dan Pengarah JAWI, Haji Hanifuddin bin Roslan.
Sementara itu penerima Anugerah Tokoh Utama Maal Hijrah Wilayah Persekutuan 1448H, Dato’ Sri Meer Sadik Habib Mohamed menyifatkan pengiktirafan yang diterimanya sebagai hasil sokongan keluarga serta dorongan untuk terus berbakti kepada masyarakat.
Beliau berkata, tokoh sahabat Nabi SAW, Abdul Rahman bin Auf RA menjadi inspirasi dalam membangunkan perniagaan berteraskan amanah, kejujuran dan ilmu yang bermanfaat, di samping menjadikan rezeki sebagai medium membantu lebih ramai insan.

Menurut beliau, antara cabaran terbesar yang pernah dihadapi ialah ketika pandemik COVID-19 apabila operasi perniagaan terpaksa dihentikan selama beberapa bulan, namun berjaya diatasi dengan kekuatan iman, doa dan sokongan pelbagai pihak.
Beliau turut menyeru umat Islam agar menguasai bidang ekonomi serta menampilkan akhlak yang baik sebagai pendekatan dakwah kepada masyarakat pelbagai kaum, selain menghargai usaha JAWI mengangkat tokoh-tokoh yang mampu menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
Dr. Zulkifli berkata, pemilihan tokoh-tokoh tersebut berteraskan semangat hijrah Rasulullah SAW yang bukan sekadar perpindahan fizikal dari Makkah ke Madinah, sebaliknya membawa perubahan jiwa ke arah kehidupan yang lebih baik.

Beliau menjelaskan, tokoh-tokoh yang dipilih menampilkan ciri-ciri kepimpinan, keilmuan, keusahawanan dan khidmat kepada masyarakat selaras dengan sabda Rasulullah SAW bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.
Mengulas pendekatan dokumentasi itu, beliau berkata kandungannya akan disampaikan mengikut kesesuaian setiap lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, remaja dan belia menerusi pendekatan digital yang lebih dekat dengan mereka.

“Media sosial, TikTok, video pendek, animasi dan penggunaan AI antara medium yang akan diteroka supaya mesej tokoh-tokoh ini dapat menyentuh hati generasi muda,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr. Zulkifli memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan sebuah buku yang mengandungi ayat didakwa sebagai al-Quran sedangkan ia bukan daripada al-Quran.

Beliau menasihatkan semua penulis dan penerbit supaya sentiasa mematuhi disiplin ilmu, menjaga keaslian serta kesahihan kandungan khususnya dalam penerbitan berkaitan agama.
“Kita menggalakkan masyarakat berkarya, namun setiap karya mestilah berasaskan ilmu yang sahih dan menghormati disiplin keilmuan supaya tidak menimbulkan kekeliruan terhadap ajaran Islam,” katanya.

Tambah beliau, bagi memperkukuh kualiti penerbitan agama, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebelum ini telah menubuhkan Majlis Penerbitan Buku-Buku Agama yang menghimpunkan penerbit-penerbit buku agama di negara ini.
Menurutnya, majlis tersebut bukan sahaja bertujuan memastikan ketulenan dan kesahihan kandungan penerbitan, malah berperanan mengenal pasti keperluan semasa masyarakat agar penerbitan agama yang dihasilkan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, khususnya generasi muda.
Jurugambar: Amirul Syamil Mohd Tajudin




