DEBAT BAHASA ARAB PERLU DIPERLUASKAN – ZULKIFLI

Oleh: Haziq Izzuddin Abdullah

PUTRAJAYA, 28 Jun (IKIM) – Pertandingan Debat Bahasa Arab Piala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Antarabangsa 2026 diperluaskan bukan hanya di antara sekolah-sekolah di Malaysia, malah perlu juga di antara sekolah-sekolah antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, Pertandingan Debat Bahasa Arab ini bukan sekadar mempromosikan bahasa Al-Quran dan jawi, namun membentuk pemikiran kritis oleh anak-anak muda.

Menurutnya, debat secara umumnya berperanan sebagai medan pembelajaran yang membina keberanian bersuara, ketajaman berfikir, komunikasi yang berkesan dan keupayaan mempertahankan padangan secara beretika.

“Dalam dunia sekarang yang sarat dengan gelombang fitnah dan berita palsu atau pun Al-Mughalatat Al-Mantaqiyyah, latihan dalam tradisi debat ini mampu membentuk disiplin yang menapis maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian penutup Pertandingan Debat Bahasa Arab Piala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Antarabangsa 2026.

Sementara itu, sebanyak 32 pasukan debat dari Malaysia, Indonesia dan Singapura yang menyertai pertandingan ini bagi mengharumkan nama sekolah masing-masing.

“Pertandingan debat ini telah menggabung dan meghimpunkan pelbagai sekolah-sekolah seperti, SBP, MRSM, SMKA, SABK dan banyak lagi,” katanya kepada pemberita.

Tambah beliau, penyertaan dari pelbagai sekolah termasuk dua negara jiran menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai pendidikan yang berkualiti sekaligus menunjukkan kualiti Bahasa Arab dalam kalangan anak-anak muda semakin meningkat.

Turut hadir majlis perasmian penutup Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Brigedier Jeneral Datuk Mohd Ajib Ismail; Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Wan Suryani Wan Mohd Razali; Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Haji Zabidi Nasan dan Pengetua Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, Haji Abd Rashid bin Zainal.

WhatsApp
Scroll to Top