DAKWAH DEKATI ANAK MUDA MELALUI PROGRAM TONTONAN PIALA DUNIA DI MASJID

KUALA LUMPUR, 21 Jun (IKIM) – Pendekatan dakwah yang meraikan minat dan kecenderungan golongan muda terus diperkasakan menerusi penganjuran program khas bersempena Piala Dunia 2026 di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju, yang berjaya menghimpunkan lebih 300 peserta, majoritinya anak muda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata program tersebut membuktikan institusi masjid mampu berfungsi sebagai pusat pembangunan ummah yang inklusif serta dekat dengan jiwa generasi muda.

Menurut beliau, program berkenaan bukan sekadar menyediakan ruang tontonan perlawanan bola sepak, sebaliknya diisi dengan pelbagai aktiviti kerohanian yang memberi manfaat kepada para peserta.

“Melalui pendekatan Dakwah Bil Hikmah, kita meraikan minat anak muda sambil mengajak mereka mendekati masjid dan menghayati nilai-nilai Islam. Dakwah perlu digerakkan di mana-mana sahaja dengan pendekatan yang sesuai dan berkesan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Program tersebut dimulakan dengan qiyamullail dan sesi tausiyah yang disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, sebelum para peserta bersama-sama menyaksikan perlawanan Kumpulan E Piala Dunia 2026 antara Jerman dan Ivory Coast menerusi tayangan skrin besar di perkarangan masjid.

Suasana turut dimeriahkan dengan sesi ulasan khas pada waktu rehat perlawanan oleh bekas pemain kebangsaan dan legenda Selangor, Shahril Arsat serta bekas pemain Piala Presiden Selangor FA dan AirAsia AllStar FC, Khushairi Aizad.

Perlawanan tersebut menyaksikan Jerman bangkit menewaskan Ivory Coast 2-1 hasil dua jaringan pemain gantian, Deniz Undav, termasuk gol kemenangan pada minit ke-94.

Sementara itu, Zulkifli turut meluangkan masa bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Nizam Yahya, serta Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Ajib Ismail, menyediakan sarapan untuk para jemaah selepas program berakhir.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, JAKIM, MAIWP, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), pihak masjid, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Mahasiswa serta para penaja makanan yang menjayakan program berkenaan.

Zulkifli berkata usaha seumpama itu akan terus diperkasa sebagai medium menyebarkan nilai kebaikan, kasih sayang dan semangat berlumba-lumba melakukan kebajikan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Kredit foto: FB YB Senator Dr. Zulkifli Hasan

WhatsApp
Scroll to Top