KEPENTINGAN berbahasa tidak dapat kita nafikan hari ini. Kelebihan dapat menguasai pelbagai jenis bahasa menjadikan kita mudah untuk mendapatkan ilmu daripada pelbagai sumber. Kepentingan berbahasa ini turut menjadi keutamaan Baginda apabila ada di kalangan oara sahabat yang diminta untuk mempelajari bahasa lain selain bahasa arab. Beliau, Zaid bin Thabit al-Ansari. Kisah Zaid bin Thabit al-Ansari diceritakan oleh Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin, 5.15 petang.
Pada tahun ke-2 Hijrah, kota Madinah digemparkan dengan himpunan orang ramai yang bersedia menyahut seruan jihad Rasulullah SAW untuk persediaan menyertai peperangan Badar. Baginda memerhatikan angkatan yang telah ramai berkumpul. Saat Baginda melihat angkatan kumpulan pertama yang akan menyertai peperangan tersebut, datang seorang anak kecil yang kurang dari 13 tahun, membawa sebilah pedang dengan diseret kerana tidak mampu membawanya. Bahkan, pedang itu juga lebih tinggi daripada dirinya.
Anak yang tampak cerdik itu datang dekat kepada Rasulullah SAW lalu berkata “Ya Rasulallah, jadikanlah aku sebagai benteng untuk mempertahankan dikau. Izinkanlah aku untuk turut sama berjihad bersama-sama denganmu Ya Rasulallah, menentang musuh-musuh Allah dan berada di bawah pimpinan dikau Ya Rasulallah”. Baginda melihat kepada anak muda itu dengan pandangan yang amat menggembirakan serta kagum dengan semangat anak tersebut untuk mempertahankan Baginda. Lalu Rasulullah SAW memegang kedua bahunya serta mengusap-usap dadanya lantas Baginda menolak permintaannya dengan baik agar dia tidak berasa hati tidak dapat menyertai peperangan tersebut.
Anak muda itu kembali ke rumahnya sambil menyeret pedang yang dibawa bersama dengan penuh kesedihan kerana dia tidak beroleh kemuliaan untuk bertemankan Rasulullah SAW di dalam peperangan yang pertama yang akan digerakkan oleh Rasulullah SAW. Turut serta kembali bersama anak muda itu, ibunya yang bernama Nawwar binti Malik. Dia juga turut merasa sedih kerana anaknya tidak dapat menyertai peperangan tersebut. Dia amat mengharapkan puteranya itu dapat menyertai Baginda untuk turut sama berperang agar dapat mengambil posisi bagi menggantikan ayahnya yang sudah meninggal dunia.
Anak muda ini, namanya Zaid bin Thabit. Apabila mendapati dirinya terhalang untuk bersama dengan Baginda di medan jihad, maka telintas dihatinya untuk mencari ruang dan peluang lain agar beliau dapat bersama dengan Rasulullah SAW. Maka, beliau dapati peluang tersebut menerusi bidang ilmu dan hafazan kerana tidak punyai batas umur. Maka beliau menceritakan hasratnya itu kepada ibunya. Ibunya sangat gembira dengan hasrat dan cita-cita anaknya itu untuk mendampingi Baginda Nabi SAW dengan kelebihan ilmu serta dengan kelebihan kekuatan ingatan yang ada pada dirinya.
Ibunya kemudian menceritakan hasrat anaknya itu kepada beberapa orang lelaki daripada kaumnya. Maka, mereka semua pergi bertemu Rasulullah SAW lalu berkata “Wahai Nabi Allah, sesungguhnya anak kami ini, Zaid bin Thabit telah menghafal 17 surah, bahkan dia dapat membacanya dengan bacaan yang sangat baik, sebagaimana Al-Quran itu diturunkan kepadamu. Dia juga seorang anak yang pintar, cerdik dan cergas akalnya. Dia juga seorang yang pandai membaca dan menulis. Dia mahu berdampingan denganmu Ya Rasulallah dengan kelebihan yang ada pada dirinya”.
Baginda SAW memerhati ke arah Zaid bin Thabit dan mendengar beberapa surah yang dia hafal lalu Baginda dapati bacaannya sangat baik. Kerana kepintarannya membaca dan bijak menulis, Baginda SAW memberikan ujian kepada Zaid dengan berkata “Wahai Zaid, cuba kau pelajari cara menulis dan bercakap orang-orang Yahudi. Sesungguhnya aku tidak percaya kata-kata mereka juga tidak faham apa yang mereka ucapkan. Maka, cuba kau pelajari bahasa mereka”. Dengan ketekunan dan kesungguhan, dalam waktu yang singkat beliau dapat menguasai bahasa orang-orang Yahudi sehinggakan beliau menjadi jurubahasa kepada Baginda SAW apabila datang kumpulan-kumpulan Yahudi. Begitu juga apabila Baginda ingin menulis dan mengutuskan surat kepada orang-orang Yahudi.
Kemudian, Baginda pula mengatakan “Wahai Zaid, belajarlah pula bahasa ahli-ahli kitab orang Nasrani”. Dengan perintah yang datang daripada Rasulullah SAW, maka dengan tekun beliau mempelajari bahasa tersebut sehingga beliau mahir dan dapat menguasai bahasa terbabit. Beliau merupakan penterjemah pertama kepada Rasulullah SAW.
Apabila Baginda meyakini dengan kemampuan Zaid, Rasulullah kemudian memberika amanah yang lebih besar kepada Zaid. Amanah besar ini ialah menulis ayat-ayat Allah SWT, menjadi penulis wahyu kepada Rasulullah SAW. Setiap kali turunnya ayat suci al-Quran, maka Baginda akan memanggil Zaid lalu meminta beliau menulis ayat yang dibacanya. Zaid bin Thabit bertalaqqi al-Quran mendapat ayat demi ayat dari waktu demi waktu daripada Rasulullah SAW. Bahkan beliau juga mengetahui sebab musabab setiap satu daripada ayat al-Quran yang turun kepada Baginda SAW. Beliau merupakan ketua lujnah pengumpulan al-Quran yang ditubuhkan oleh Abu Bakar al-Siddiq.
Begitulah kisah Saidina Zaid yang dahulunya tidak dapat menyertai peperangan, tetapi mendapat kemuliaan yang lebih besar dengan suluru umat ini menumpang tuah beliau yang menulis wahyu-wahyu Allah SWT sehinggakan umat hari ini merujuk kepada al-Quran yang ditulis oleh beliau.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 4 April 2017