Seni Membuat Keputusan

ORANG yang berjaya adalah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam. Orang mukmin yang beriman adalah orang yang hari ini lebih akrab dan lebih bertaqwa kepada Allah SWT daripada hari yang sebelumnya. Sebagai seorang mukmin, kita perlu sentiasa ada sikap untuk menambah keimanan kepada Allah SWT, kerana itu perkara yang penting perlu diamalkan.
Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan setiap Rabu jam 10.15 pagi di radio IKIMfm, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menjelaskan bahawa seseorang mukmin yang di dalam hatinya memiliki Allah, umpama memiliki segala-galanya. Tetapi seseorang mukmin yang memiliki segala-galanya tetapi didalam hatinya tidak ada Allah bererti tidak memiliki apapun dalam kehidupan.
Justeru, walauapapun dalam kehidupan ini, sebesar manapun kejayaan yang diraih apabila ianya tidak disandarkan kepada Allah, ianya tidak memberi apa-apa makna. Oleh itu, walau apapun yang kita lakukan hendaklah melibatkan Allah kerana setiap sesuatu yang dilakukan kerana Allah akan membawa kebaikan kepada kita
Apabila berbicara tentang Seni Membuat Keputusan, ianya berkait rapat dengan bagaimana kita membuat sebarang keputusan yang betul dan cepat yang akhirnya mendatangkan kejayaan kepada kehidupan. Manakala jika kita tidak mampu mencapai keputusan yang betul pastinya ia akan membuahkan kegagalan bahkan tidak memberi apa-apa hasil kepada kita.
Menurut ahli psikologi, dalam tempoh 24 jam kita akan membuat sekurang-kurangnya 200 keputusan. Ini bererti setiap hari kita akan terlibat dalam membuat banyak keputusan, sama ada kecil atau besar keputusan itu bergantung kepada keadaan.
Sekiranya daripada 200 keputusan yang dibuat itu dilakukan dengan betul dan tepat kita akan menjadi orang yang bahagia, tetapi jika kita mengambil keputusan yang salah, kita telah melakukan kesilapan yang mungkin bukan kita sahaja yang menerima kesannya tetapi barangkali juga orang lain yang terkesan dengan kesilapan tersebut.
Membuat keputusan yang betul, cepat dan tepat adalah suatu kemahiran yang perlu dipelajari. Seni membuat keputusan adalah suatu keperluan yang mesti diketahui oleh setiap orang kerana keputusan-keputusan yang kita ambil itu mempengaruhi kehidupan kita pada hari ini, esok dan akan datang.
Umpama bagaimana untuk merebut peluang dalam kehidupan memerlukan kita membuat keputusan. Bagaimana untuk mencari solusi terbaik dalam hidup juga memerlukan keputusan. Bagaimana untuk membuat pilihan dalam hidup juga memerlukan kita membuat keputusan yang tepat.
Persoalan yang perlu disedari oleh seseorang mukmin adalah mengapa perlu membuat keputusan yang tepat? Bagaimana untuk membuat keputusan yang mendatangkan kebaikan kepada kehidupan? Justeru, seni membuat keputusan yang berasaskan ilmu dan kemahiran ini perlu kita kuasai kerana ianya ada kaitan dengan bagaimana kita mengawal kehidupan ini.
Hakikatnya seseorang mukmin itu perlu sedar bahawa dalam mengawal kehidupan ini perlulah bersandarkan kepada keimanan, syariat dan kehendak Allah. ‘Remote control’ kehidupan hendaklah diawasi oleh diri kita sendiri.
Jangan sesekali biarkan orang lain yang mengawal dan membuat keputusan yang menentukan keadaan diri kita. Sama ada keadaan marah, sedih, bahagia, kecewa dan apa sahaja tentang diri kita adalah ditentukan dan pilihan kita sendiri. Kerana juzuk kehidupan ini harus kita yang tetapkan berdasarkan kepada keimanan dan petunjuk Allah SWT, bukan ditentukan atau dikawal oleh orang lain.
Hidup ini adalah untuk menyelesaikan masalah atau ujian. Justeru memahami tentang seni membuat keputusan itu penting kerana ia ada kaitan dengan bagaimana kita membuat keputusan saat berdepan ujian atau masalah.
Seandainya kita tidak mampu membuat keputusan ianya bakal mengundang kegagalan dalam hidup kita. Para cerdik pandai menyebut lebih baik membuat keputusan kemudian gagal daripada gagal membuat sebarang keputusan, kerana ia mengundang kepada keadaan yang lebih buruk.
Jangan sesekali takut untuk membuat sebarang keputusan kerana hidup ini adalah berkaitan tentang bagaimana kita membuat keputusan. Apa sahaja hasil keputusan ianya adalah sebahagian daripada proses kehidupan. Ini kerana membuat keputusan itu adalah sebahagian daripada ilmu kehidupan yang perlu dikuasai oleh kita.
Prinsip utama dalam membuat keputusan adalah berdasarkan keikhlasan kerana Allah SWT. Setiap keputusan yang dilakukan atas dasar ikhlas kerana Allah SWT semata-mata, bukan kerana mahukan penghargaan manusia lain atau kerana ‘tuhan-tuhan kecil’ yang lain, yang akhirnya memadamkan keikhlasan kepada Allah, sudah pasti kita tidak akan mampu memperolehi keputusan yang tepat dan benar. Justeru, pusatkan niat dan hadirkanlah Allah dalam hati pada saat kita berdepan untuk membuat sebarang keputusan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 April 2017
\"\"
Scroll to Top