GOMBAK, 11 Mac (IKIM) – Program World #QuranHour 2026 yang memasuki penganjuran kali ke-11 mengangkat Surah Al-Muzzammil sebagai surah tema dengan misi “Membentuk manusia sebelum membina dunia.”

Program yang berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu buat julung kalinya dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris bagi meraikan kehadiran wakil dan duta antarabangsa dari beberapa negara termasuk Iran, Oman, Tajikistan, Rusia dan Jordan.
Pengasas Warisan Ummah Ikhlas Foundation, Dato’ Hussamuddin Haji Yaacob berkata masyarakat perlu membudayakan amalan membaca, memahami dan mengamalkan Al-Quran bagi melahirkan insan berintegriti serta masyarakat yang berakhlak.

Majlis itu turut diserikan dengan keberangkatan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Siaran langsung program World #QuranHour 2026 turut disiarkan menerusi tvIKIM bagi membolehkan masyarakat mengikuti pengisian bacaan, tadabbur dan interaksi Al-Quran secara langsung dari lokasi program.

World #QuranHour tahun ini dijangka berlangsung di 696 lokasi di seluruh Malaysia serta 13 lokasi di luar negara, sekali gus memperluas gelombang penghayatan Al-Quran ke peringkat global.




