Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
KLANG, 26 Mei (IKIM) – Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menyeru semua pemandu supaya mengutamakan keselamatan dan merancang perjalanan dengan bijak menjelang cuti persekolahan serta cuti hujung minggu panjang yang dijangka menyaksikan peningkatan pergerakan di jalan raya.
WCE menjangkakan aliran trafik akan meningkat ketara susulan pergerakan pulang ke kampung dan aktiviti percutian, dengan anggaran lebih 150,000 kenderaan sehari pada hari-hari puncak sepanjang tempoh tersebut. Pihak lebuh raya telah menyediakan pelbagai langkah kesiapsiagaan bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna.

Antara langkah yang diambil ialah penangguhan semua kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong, kecuali kerja kecemasan luar jangka. Selain itu, jentera bantuan seperti trak tunda turut ditempatkan di lokasi strategik sepanjang jajaran lebuh raya bagi meminimumkan gangguan trafik sekiranya berlaku insiden.
Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) dan petugas peronda juga diperkukuh bagi memastikan bantuan dapat diberikan secara pantas dan berterusan 24 jam sehari. Langkah proaktif ini bertujuan memastikan sebarang insiden dapat ditangani segera dan tidak mengganggu aliran trafik utama.

Bagi memudahkan perjalanan, pengguna disarankan menggunakan aplikasi mudah alih WCE versi terkini yang menyediakan navigasi laluan, maklumat lokasi kemudahan seperti stesen EV, tempat berteduh motosikal, telefon kecemasan, serta maklumat trafik masa nyata melalui bantuan Kecerdasan Buatan (AI). Sistem PayDirect Touch n’ Go di semua plaza tol turut membolehkan caj ditolak terus daripada e-dompet tanpa perlu tambah nilai secara manual.
Kemudahan fizikal turut disediakan dengan enam Hentian Rehat dan Rawat (R&R) yang lengkap dengan kawasan parkir, surau dan tandas. Kemudahan gerai makanan disediakan di R&R Sungai Nyior dan R&R Bukit Kapar, manakala Hentian Sebelah dengan kemudahan asas tersedia di setiap plaza tol.

Pengarah Urusan Lebuhraya WCE, Lyndon Alfred Felix, menasihatkan pengguna agar merancang perjalanan lebih awal dan mengutamakan keselamatan.
“Dalam tempoh pergerakan trafik yang tinggi ini, kami menasihatkan semua pengguna agar merancang perjalanan lebih awal dan mengutamakan aspek keselamatan pada setiap masa. Dengan sokongan kemudahan digital dan kesiapsiagaan operasi, WCE komited untuk memastikan pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan efisien,” katanya.

Dalam pada itu, pengguna boleh memuat turun aplikasi mudah alih WCE secara percuma melalui Google Play Store dan Apple App Store untuk mendapatkan maklumat trafik terkini serta kemudahan lain sepanjang perjalanan.




