MAKKAH, 26 (IKIM) – Manasik haji bukan sekadar himpunan ritual ibadah, sebaliknya menjadi medan tarbiah agung dalam membangunkan jiwa insan dan membina masyarakat madani yang berteraskan iman, ilmu dan akhlak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, khutbah Arafah mengingatkan umat Islam supaya sentiasa meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya.
Menurut beliau, kehidupan manusia tidak akan lari daripada ujian dan cabaran, justeru setiap Muslim perlu membangunkan jiwa yang teguh serta bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT.
“Marilah kita bersama-sama memperbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, penghulu sekalian nabi dan rasul, serta berusaha menghidupkan sunnah Baginda dalam setiap aspek kehidupan,” katanya ketika membacakan khutbah Arafah 1447H/2026M.
Beliau turut menegaskan bahawa Hari Arafah merupakan hari yang penuh keberkatan dan penghulu bagi seluruh hari dalam setahun.
Katanya, pada hari tersebut Allah SWT menghimpunkan seluruh manusia di Padang Arafah sebagai gambaran kepada perhimpunan besar di Padang Mahsyar kelak.
“Hari Arafah juga merupakan madrasah tarbiah yang mengajar nilai kasih sayang, toleransi dan empati, selain membentuk jiwa Muslim yang menjauhi sifat diskriminasi, mendidik manusia menghargai hak sesama insan serta memupuk ukhuwah dan keamanan,” jelasnya.
Dalam khutbah itu, beliau turut menyeru umat Islam agar memperbanyakkan istighfar, doa dan munajat kepada Allah SWT kerana Hari Arafah merupakan waktu yang mustajab untuk memohon keampunan dan rahmat-Nya.
Beliau berkata, Rasulullah SAW sendiri menyifatkan sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah, sekali gus menunjukkan kelebihan hari yang amat besar kepada seluruh umat Islam.
Zulkifli turut mengajak umat Islam mengambil semangat pengorbanan dan penyatuan yang dizahirkan dalam ibadah haji bagi memperkukuh perpaduan ummah serta membina masyarakat yang harmoni dan sejahtera.




