Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
PUTRAJAYA, 24 Mei (IKIM) – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengadakan Taklimat Media Pelaksanaan Biodiesel B15 hari ini bagi memberi penjelasan berhubung peningkatan adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 yang akan dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Jun 2026.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata pelaksanaan B15 bukan sekadar perubahan campuran bahan api, sebaliknya merupakan strategi negara bagi memperkukuh keselamatan tenaga dan mengurangkan kebergantungan terhadap diesel fosil import.
“Kita pada hari ini rasakan kita panggil pelaksanaan biodiesel daripada B10 dan akhirnya B15. Ini bukan sekadar perubahan campuran bahan api, tetapi satu strategi negara dalam usaha KPK untuk memperkukuhkan keselamatan tenaga berindak dan perubahan domestik yang semakin meningkat serta membantu menstabilkan pendapatan pekebun kecil,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada bahan api fosil memandangkan negara mempunyai kekuatan sendiri melalui industri sawit. Pelaksanaan B15 dijangka mengurangkan pelepasan karbon, memperkukuh penggunaan sumber domestik serta menyokong kestabilan industri sawit tempatan.
Program Biodiesel Negara yang diperkenalkan sejak 2006 telah dilaksanakan secara berperingkat dan kini diperkasa selaras dengan agenda peralihan tenaga negara serta komitmen Malaysia terhadap pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG).
KPK memberi jaminan bahawa pelaksanaan B15 dibuat secara terancang dengan mengambil kira kesiapsiagaan rantaian bekalan, logistik dan infrastruktur sedia ada melalui sesi libat urus bersama syarikat petroleum dan agensi berkaitan.
Noraini berkata sejak beliau menerajui kementerian, kerajaan sentiasa melaksanakan libat urus dengan industri hampir setiap minggu yang turut melibatkan pengguna automobil dan industri bagi memastikan pelaksanaan berjalan praktikal, selamat dan tidak membebankan rakyat.
“Untuk makluman semua, kerajaan melalui KPK sentiasa melaksanakan libat urus bersama dengan industri sejak saya masuk bersama dengan KPK ini hampir setiap minggu kita mengadakan libat urus bersama dengan industri,” katanya.

Penggunaan biodiesel sehingga B20 juga telah melalui pelbagai kajian teknikal, ujian lapangan dan projek rintis yang dilaksanakan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bersama industri, universiti dan pemain automotif bagi memastikan keselamatan dan kesesuaian terhadap enjin diesel.
KPK memaklumkan bekalan diesel di nozel biru akan kekal menggunakan B7, manakala pelaksanaan B15 akan melibatkan bekalan diesel di nozel hitam secara berperingkat mengikut kawasan yang telah ditetapkan.
Noraini menegaskan agenda biodiesel selari dengan usaha negara menuju tenaga lebih hijau, pengurangan karbon dan komitmen Malaysia terhadap agenda global, di samping memberi manfaat kepada ratusan ribu pekebun kecil yang menjadi tulang belakang sektor agrikomoditi negara.
“Apa yang penting agenda biodiesel ini sebenarnya selari dengan usaha negara menuju ke arah tenaga lebih hijau, pengurangan karbon dan juga komitmen Malaysia untuk ke arah agenda global serta memberi nilai tambah kepada industri sawit,” katanya.
KPK akan terus bekerjasama rapat dengan semua kementerian, agensi berkaitan dan pemain industri bagi memastikan pelaksanaan B15 berjalan lancar serta memberi manfaat kepada rakyat, industri dan negara secara keseluruhan.




