3,000 PENDUDUK TERIMA AGIHAN DAGING DALAM KORBAN PERDANA PAHANG

Oleh: Muhammad Suhairi Fakri

LIPIS, 28 Mei (IKIM) – Majlis Korban Perdana Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur yang berlangsung meriah hari ini memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 penduduk daripada 14 kampung menerusi agihan daging korban hasil penyembelihan 40 ekor lembu.

Majlis ini dirasmikan Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan dilaksanakan dengan kerjasama Ez Qurban Sdn Bhd sebagai usaha memperkukuh semangat kebersamaan serta membantu golongan memerlukan sempena sambutan Aidiladha.

Majlis berkenaan menghimpunkan penduduk dari 14 kampung Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai yang bersama-sama menjayakan ibadah korban secara gotong-royong, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat di negeri ini.

Sebanyak 40 ekor lembu dikorbankan dalam program itu sebelum daging korban diagihkan kepada kira-kira 3,000 penduduk yang terdiri daripada golongan asnaf serta keluarga memerlukan.

Wan Rosdy berkata program berkenaan bukan sahaja bertujuan melaksanakan ibadah korban, malah menjadi platform mengukuhkan ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

“Majlis ini adalah semangat ukhuwah silaturahim yang mana harus kita kukuhkan usaha-usaha ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan hari ini melibatkan 14 kampung dan kita mengagihkan kepada 3,000 orang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program berkenaan hari ini.

Beliau berkata semangat gotong-royong yang ditunjukkan penduduk dan sukarelawan membuktikan nilai kerjasama dalam masyarakat masih kukuh dan perlu terus dipelihara.

“Alhamdulillah, semua program berjalan dengan lancar, siap awal daripada yang ditetapkan. Ini menunjukkan bahawa semangat kerjasama gotong-royong masih subur di kalangan masyarakat kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada kebajikan pelajar Pahang di Mesir dengan menyalurkan bantuan bagi membolehkan mereka melaksanakan ibadah korban di negara berkenaan.

“Kita juga tidak lupakan pelajar-pelajar kita di Mesir. Kita terus bantu mereka untuk membeli daging korban,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Ez Qurban Ustaz Azhar Dato’ Ab Shukur berkata program berkenaan berjaya dilaksanakan menerusi kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Agama Islam Pahang dan penduduk setempat.

“Alhamdulillah hari ini juga kita Ez Qurban bersama Jabatan Agama Islam Pahang membuat satu program besar-besaran Korban Perdana di Tanjung Gahai. Kita akan menyampaikan agihan korban ini kepada penduduk sekitar lebih kurang 2,000 orang lebih dengan jumlah 40 ekor lembu yang ditumbangkan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan agihan daging korban dapat disampaikan kepada golongan yang memerlukan.

“Dan beruntung pada hari ini juga Menteri Besar Pahang akan turun bersama menyampaikan agihan daging lembu korban dan kami dari Ez Qurban mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Agama Islam Pahang dan penduduk setempat yang bersama-sama menjayakan program ini supaya agihan daging korban sampai kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Menurut Wan Rosdy, program berkenaan merupakan kerjasama pertama antara kerajaan negeri dan Ez Qurban serta disifatkan sebagai acara korban terbesar pernah dianjurkan kerajaan negeri Pahang setakat ini kerana melibatkan 40 ekor lembu.

“Ini merupakan kerjasama yang pertama bersama EzQurban dan Insya-Allah kita akan adakan pada setiap tahun kerana ini adalah satu usaha murni yang sangat baik untuk kita eratkan perpaduan sesama kita,” katanya.

Majlis Hari Raya Korban Perdana itu dilihat bukan sahaja berjaya menyemarakkan syiar Islam dan budaya gotong-royong dalam kalangan masyarakat, malah menjadi simbol perpaduan serta keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu rakyat termasuk pelajar Pahang di luar negara.

Turut hadir majlis ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Tok Muda Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Bin Haji Ab. Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli, Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim bin Syed Ahmad; Pengarah Urusan EZ Qurban, Nor’adzimah Hasanuddin; Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia, Haji Ahmad Fuad Mat Ali dan Pengurus Besar Kanan IKIMfm, Haji Mahathir Shaharuddin.

WhatsApp
Scroll to Top