KUALA LUMPUR, 29 Mei (IKIM) – Sambutan luar biasa masyarakat terhadap Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 membuktikan budaya membaca dan kecintaan terhadap ilmu masih utuh dalam kalangan rakyat Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk ibu bapa, guru, pendidik, mahasiswa dan kanak-kanak memberi gambaran jelas bahawa amalan membaca terus mendapat tempat istimewa dalam jiwa masyarakat.

Beliau berkata, kecintaan terhadap ilmu tidak seharusnya didorong semata-mata oleh peperiksaan, pengiktirafan atau kedudukan, sebaliknya perlu lahir daripada rasa nikmat dalam menuntut ilmu.
“Yang lebih utama ialah tercetusnya rasa nikmat dalam menuntut ilmu, atau apa yang disebut oleh para ilmuwan sebagai lazzatul ma’rifah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut beliau, cabaran utama masyarakat masa kini bukan lagi kekurangan maklumat, tetapi keupayaan memilih ilmu yang benar-benar bermutu dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat memanfaatkan penganjuran PBAKL bagi membina generasi yang cintakan pembacaan, luas pengetahuan serta kukuh nilai kemanusiaan.
“Marilah kita bersama-sama membina generasi yang cintakan pembacaan, luas pengetahuannya dan teguh nilai kemanusiaannya demi sebuah Malaysia MADANI yang berbudaya dan berperadaban,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri merasmikan PBAKL edisi ke-43 yang berlangsung selama 10 hari bermula hari ini hingga 7 Jun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Turut hadir majlis ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina binti Sidek; Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil dan Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK) IKIM, Dr. Nik Roskiman Abdul Samad.
Pesta buku terbesar negara itu menghimpunkan ratusan penerbit dari dalam dan luar negara melibatkan lebih 1,000 reruai dan dibuka kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Perdana Menteri turut meluangkan masa melawat reruai Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.
Dalam kunjungan tersebut Ketua Pengarah IKIM, Mohamed Azam menyampaikan buku terbitan IKIM sebagai cenderahati kepada beliau.
Kredit foto: Fatkhulmungin Mohd Yusof
Perdana




