KUALA LUMPUR, 10 Disember (IKIM) – Eq8 Capital Sdn Bhd (Eq8), ahli kumpulan Kenanga Investors Group dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) telah mengumumkan penyenaraian dana dagangan bursa (ETF) pertama di dunia dengan ciri Wakaf, iaitu Eq8 FTSE Malaysia Enhanced Dividend Waqf ETF (Wakaf ETF atau “EQ8WAQF”), di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysi).
Pelancaran ini yang oertama seumpamanya di dunia adalah hasil kerjasama strategik antara Eq8 dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) yang diumumkan pada Jun tahun ini, dengan YWM dilantik sebagai pentadbir wakaf untuk aset wakaf yang dihasilkan oleh Wakaf ETF.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata wakaf ETF ini bertujuan untuk mengagihkan pendapatan tahunan, di mana separuh daripada pendapatan tersebut akan disalurkan sebagai aset wakaf, manakala separuh lagi akan dibayar kepada pemegang unit.
“Dengan penyenaraian ETF berciri wakaf pertama di dunia ini di Pasaran Utama Bursa Malaysia membolehkan pelabur-pelabur untuk turut melabur dalam produk ini supaya dengan pelaburan yang disumbangkan dan hasil keuntungannya akan dijana sebagai pendapatan kepada YWM,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan dana tersebut di Bursa Malaysia, di sini hari ini.
Ini merupakan produk yang pertama dilancarkan dan dengan pelaburan serta sambutan dari pelabur-pelabur terhadap produk yang dilancarkan hari ini diharapkan agar dapat menjadi ikutan dan dorongan buat negara lain.
“Ianya memberi peluang kepada pelabur untuk memastikan pelaburan mereka ini bukan sekadar mendapat keuntungan di dunia bahkan beroleh keuntungan di akhirat,” tambah beliau.
Sebahagian dari keuntungan menerusi pelaburan ini akan diuruskan oleh YWM bagi memenuhi keperluan masyarakat meliputi aspek pendidikan, kesihatan dan sosio-ekonomi.
Turut hadir dalam majlis ini Tan Sri Wahid Omar, Pengerusi Bursa Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr. Ridzwan Bakar.