MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN NEGARA, TANGGUNGJAWAB BERSAMA RAKYAT BERBILANG KAUM – SULTAN NAZRIN

TANJONG MALIM, 21 Sept (Bernama) — Tanggungjawab mempertahankan negara daripada ancaman musuh perlu dipikul secara bersama, yang bermakna komposisi angkatan tentera di negara ini tidak dibatasi kepada orang-orang Melayu sahaja, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah bahawa memahami hakikat komposisi rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum adalah penting untuk diusahakan langkah ke arah itu

“Pada tahun 1952, penyertaan bukan Melayu dalam angkatan tentera dirintis dengan penubuhan batalion pertama Rejimen Persekutuan dan Skuadron A, Rejimen Kereta Perisai Persekutuan. Ini diikuti dengan penubuhan unit-unit signal, jurutera, pengangkutan, dan polis tentera, serta penubuhan Maktab Tentera Persekutuan di Port Dickson yang membuka pengambilan pelajar untuk semua kaum,” titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah sedemikian pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam (UA) Ke-42 Tahun 2024 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pemangku Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin mewakili Pemangku Panglima Tentera Laut.

Sultan Nazrin bertitah bahawa anggota Palapes yang berjaya melayakkan diri diterima sebagai warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melalui latihan intensif dari segi fizikal, mental, ketahanan serta pelbagai ujian lain. Proses ini juga melibatkan transformasi menyeluruh yang merangkumi aspek fizikal, minda, dan spiritual.

Titah baginda, mereka yang berkenaan juga telah didedahkan dengan dimensi budaya ketenteraan yang mengutamakan disiplin, menjunjung semangat setia, mengamalkan ketaatan ketika melaksanakan misi, selain sedia berpanas, berhujan, bertempur, ke medan perang dan berkorban nyawa.

Scroll to Top