93 PESERTA AKAN MENYERTAI MTHQA KE-64

KUALA LUMPUR, 23 September (IKIM) – Seramai 93 peserta melibatkan 71 buah negara akan memperdengarkan bacaan dan hafazan al-Quran dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat Antarabangsa (MTHQA) kali ke-64 Tahun 1446H/2024M. 

Majlis yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur ini bakal bermula pada 5-12 Oktober 2024 selama 8 hari dengan tema yang diangkat kali ini “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani”. 

“Penganjuran MTHQA secara tahunan oleh Kerajaan Malaysia juga merupakan manifestasi usaha memartabatkan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar ketika Majlis Pra-Pelancaran MTHQA di sini, hari ini.

Tambah beliau, Majlis Pembukaan MTHQA Ke-64 ini akan disempurnakan olehYAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri pada 5 Oktober 2024 (Sabtu) jam 8.55 malam.

Manakala, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiahtelah perkenan untuk berangkat dan menyempurnakanMajlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah pada 12 Oktober 2024 (Sabtu) jam 8.55 malam.

MTHQA menawarkan hadiah berupa kepingan emas bernilai RM12,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) serta wang tunai dari Kerajaan Malaysia bagi setiap johan qari dan qariah serta johan hafazan lelaki dan perempuan.

Malaysia kali ini akan diwakili oleh dua orang peserta Tilawah Al-Quran iaitu Mohamad Husaini bin Mahmur dari Negeri Sembilan dan Nor Hidayah binti Abd Rahman dari Terengganu; dan dua  orang peserta Hafazan Al-Quran iaitu Muhammad Rifae’i bin Mat Zuki dari Kedah dan Putri Aminah binti Mohd Hanif dari Kelantan.

Malaysia yang terkenal dengan kecemerlangan dalam menganjurkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa turut pernah menerima pengiktirafan bagi kategori Penganjuran Program Al-Quran Terbaik 2016 oleh Kuwait International Prize of Holy Quran. 

Selain itu, terdapat pengisian baharu pada MTHQA pada kali ini iaitu penganjuran program World Quran Symposium (WQS) pada 10 Oktober 2024 (Khamis) yang menampilkan Fadhilatu As-Syaikh Maher bin Hamad Al-Mu’aiqly, Imam Masjidil Haram selaku tetamu undangan khas yang akan menyampaikan ucaptama. Perasmian WQS akan disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri.

Dato’ Setia Dr. Na’im turut mengajak orang ramai untuk hadir bagi sama-sama memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, menghayati dan mengamalkan setiap intipati yang disampaikan. 

Pelbagai platform turut disediakan bagi mengikuti MTHQA kali ini antaranya siaran secara langsung menerusi saluran RTM1 bermula dari jam 8.45 malam hingga 11.00 malam. Bagi acara Hafazan pula, ianya akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV AlHijrah bermula dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Selain itu, para penonton juga boleh mengikuti secara langsung MTHQA Ke-64 menerusi rdaio IKIMfm serta saluran media sosial rasmi JAKIM seperti TV JAKIM, Facebook dan Tiktok JAKIM.  

Scroll to Top