APABILA manusia menerima suratan amalan ketika berada di Padang Mahsyar, wajah manusia akan berubah menjadi putih atau hitam. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Imran, ayat 106 – 107: (Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): “Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu.” Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya.
Perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani melalui slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm setiap Khamis jam 5.15 petang, turut menjelaskan, setelah setiap manusia menerima suratan amalan di Padang Mahsyar nanti, timbangan akan mula dipasang dan manusia mula dipanggil dengan namanya sendiri di hadapan semua makhluk. Rasulullah pernah berpesan agar kita diberikan nama-nama yang mempunyai maksud yang baik kerana manusia akan dipanggil dengan namanya di hadapan khalayak ramai. Malaikat akan memanggil nama setiap manusia lengkap beserta nama ayah mereka untuk mengetahui keturunan masing-masing. Di dalam keadaan menggigil ketakutan, segala amalan dan keburukan yang dilakukan manusia ketika di dunia dahulu akan didedahkan.
Menerusi firman Allah di dalam surah Al-Kahfi, ayat 49: Dan ‘kitab-kitab amal’ juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata: “Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihutangnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun. Manusia yang melakukan kebaikan ketika di dunia dan mengajak orang lain turut berbuat demikian, apabila namanya dipanggil di hadapan Allah, dia akan diberikan catatan di dalam sampul dan tulisannya berwarna putih, walaupun pada zahirnya kitab itu adalah kitab kesengsaraan namun disebaliknya terdapat kitab kebaikan, kerana turunnya rahmat Allah. Pada permulaannya dibacakan kitab kejahatan yang dilakukan bermula sejak umurnya akhil baligh sehingga berubah wajahnya menjadi kehitaman dan ketakutan. Namun pada akhir kitab itu ditulis bahawa segala dosa-dosanya diampunkan oleh Allah.
Pesanan daripada Imam al-Ghazali, janganlah saat kita menemui kematian, pahala kita juga turut mati. Biarlah saat kita mati, dosa-dosa turut mati bersama dengan kita. Jangan pula bila sampainya ajal, dosa-dosa kita masih hidup sehinggakan menjadi sebutan kepada mereka yang masih hidup. Pada waktu dibacakan suratan amalan ini, manusia akan berubah yang pada asalnya jahat, bertukar kepada amalan kebaikan, dosanya diampunkan Allah dan diakhir tulisan amalan yang panjang itu ditulis bahawa kebaikan dilipat gandakan oleh Allah sehingga wajahnya berubah menjadi putih berseri.
Selepas itu malaikat mula datang dan meletakkan mahkota dikepalanya dan setiap sudut anggota badannya dipenuhi dengan perhiasan-perhiasan daripada syurga. Lalu dikatakan kepadanya, “Pergilah kamu berjumpa dengan kawan-kawan mu, beritahulah mereka apa yang Allah telah sediakan untuk kamu.” Firman Allah di dalam surah al-Haaqqa, ayat 20-24: Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amal ku (pada hari yang ditentukan)! Maka (dengan itu) tinggallah dia dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan. Di dalam syurga yang tinggi (darjatnya), buah-buahannya dekat untuk dipetik. (Masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan dikatakan): “Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!”
Di dalam kehidupan manusia di antara perkara yang perlu dikejar ialah mendapat hidayah, mendapatkan keberkatan di atas setiap rezeki kurniaan Allah, dapatkan keampunan dan sebelum menemui ajal dapatkan redha Allah SWT. Apabila menghampiri kematian, malaikat menyeru kepada orang yang beriman, “Wahai jiwa yang tenang, pulanglah kamu kepada tuhanmu dalam keadaan kamu diredhai dan kamu meredhai dengan ketentuan yang Allah lakukan untukmu. Bagi kamu syurga yang tertinggi buat dirimu.” Walaupun kita tidak tergolong di kalangan manusia yang memasuki syurga tanpa dihisab dan diazab Allah, tetapi semoga kita berada di antara manusia yang putih wajahnya, walaupun pada mulanya berwajah pucat kehitaman kerana hampir tidak ada manusia yang tidak melakukan dosa ketika hidup di dunia kecuali para nabi dan rasul, kemudian diampunkan dosa dengan digandakan kebaikan.
Golongan seterusnya ialah mereka yang berwajah hitam di Padang Mahsyar termasuklah mereka yang mengabaikan solat, tidak menutup aurat atau sering mengajak orang lain melakukan kejahatan. Apabila dipanggil dihadapan Allah kelak, dia datang dan diberi kitab amalan bersampul hitam. Zahirnya kelihatan putih tetapi di dalamnya penuh dengan kesengsaraan. Dibuka kitab itu dan mula membaca amalan kebaikan yang telah dilakukan sehingga dirinya berasa gembira dan selamat daripada dimasukkan ke dalam neraka. Tetapi sehingga akhir kitab itu ditulis kebaikannya ditolak oleh Allah, wajahnya menjadi hitam dan berasa sangat sedih dan mula membaca kejahatan sehingga di penghujung kitab amalannya ditulis segala kejahatannya dilipat gandakan azab disisi Allah. Pada waktu itu kelihatan neraka dan nampak siksaan untuknya di dalam neraka itu sehingga matanya menjadi hitam pekat. Kemudian dipakaikan seluar daripada kain kapas yang kasar dan dikatakan padanya, “Berambus kamu, masuklah kamu ke dalam neraka bersama dengan sahabat-sahabat kamu dan orang yang mengikut kamu dan khabarkan pada mereka bahawa di saat ini kamu akan dihumban ke dalam neraka Allah!”
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 25 Ogos 2016