ISLAM merupakan ajaran yang komprehensif merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Bahkan tiada satu aspek pun daripada kehidupan duniawi ini yang diabaikan. Anggapan sesetengah pihak bahawa agama Islam ini agama yang hanya mementingkan akhirat dan mengabaikan dunia merupakan suatu kefahaman yang salah. Islam melihat dunia ini sebagai jambatan untuk mencapai kebahagiaan di Akhirat dan keredhaan Allah SWT. Islam ajaran yang amat menjaga keharmoniaan dan kelestariaan alam ini sehingga ada hadith yang mafhumnya berbunyi: “ Sekiranya di tangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih tersebut” [HR Imam Ahmad]. Ini memberikan beberapa pengajaran, dan yang utamanya ialah betapa amalan di dunia ini walaupun sekadar menaman sebiji kurma yang belum tentu akan tumbuh kerana hari kiamat akan tiba dan kehancuran dunia ini akan berlaku, namun tindakan menanam itu sudah dikira berbuat amalan soleh dan kebajikan, usaha yang tidak sia-sia dan akan diberi ganjaran di hari Akhirat kelak.
Tetamu radio IKIMfm, Professor Dr. Odeh Rashed al-Jayoussi, pensyarah dari Universiti Arabian Gulf, yang diundang untuk Persidangan Antarabangsa Agama, dan Kelestarian Tamadun sempena Sambutan Ulangtahun ke-25 IKIM Bahrain seterusnya menyebut bahwa Islam begitu menjaga alam sekitar bahkan terlebih dahulu daripada kempen-kempen yang dilancarkan oleh golongan pejuang alam sekitar Barat. Faham dualisme yang memisahkan antara dunia dan akhirat merupakan faham yang telah berjaya dibawa oleh ideologi Sekularisme Barat sehingga memporak-perandakan minda umat Islam hari ini dalam segenap aspek kehidupan.
Ajaran Islam lagi, ujar Professor Jayoussi menganjurkan umat Islam hidup dalam keadaan yang “tayyib” atau baik. Baik di dunia dan baik juga di Akhirat kelak. Dalam perkahwinan, Islam memerintahkan agar mencari “wanita-wanita yang baik” untuk dijadikan pasangan hidup seperti disebut dalam Surah al-Nisa’, ayat 3; dari segi hidup bernegara Allah memerintahkan kita agar menjadikan negara sebagai “baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur”, iaitu negara yang baik dan Tuhanmu adalah Yang Maha Pengampun (Surah Saba’ ayat 15). Negeri yang baik yang dipuji oleh Allah SWT dalam Surah Saba’ di atas mengikut para mufassir merujuk kepada kabilah Saba’ yang cukup terkenal suatu ketika dahulu di semenanjung Yaman. Keistimewaannya negeri Saba’ ini ialah ianya sebuah negeri yang dikurniakan oleh Allah dengan kesuburan hingga kebun-kebun menghijau dan pohon-pohon berbuah lebat sehingga digambarkan bahawa buah-buah yang lebat itu terdapat sepanjang jalan dan mereka boleh memetika aneka macam buat sesuka hati sehingga perjalanan yang jauh tidak terasa. Begitu juga air di negeri Saba’ yang mengalir dan memancar di mana-mana dengan curahan air hujan yang mampu menampung air di musim kemarau. Kenikmatan, kesuburan yang dianugerahkan oleh Allah SWT yang luar biasa kepada kaum Saba’ ini adalah kerana ketaatan mereka kepada Allah SWT sesuai dengan janji Allah SWT mafhumnya, “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi jika mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami akan siksa mereka disebabkan perbuatannya (al-A’raf: 96).
Krisis alam sekitar dengan pemanasan global yang melanda umat Islam hari ini adalah kerana kegagalan kita mengurus diri kita sendiri untuk berinteraksi dengan alam secara baik dan harmoni. Kita lupa, ujar Professor Jayoussi bahawasanya setiap objek alam ini sebenarnya sentiasa bertasbih kepada Allah SWT dan kita sama sekali tidak dibenarkan untuk sewenang-wenangnya menggangu gugat status harmoni alam ini tanpa ada keperluan. Sementara alam ini memang dijadikan untuk dimanfaatkan oleh manusia, tetapi tidaklah bermakna manusia boleh berbuat sesuka hati hingga menggugat keharmoniaan sistem ekologinya.
Beliau seterusnya menyeru umat Islam agar kembali menghayati ajaran Islam yang sebenar, berubah daripada gaya hidup yang dipromosikan hebat oleh golongan kapitalis Barat, pengeskploitasian yang bermaharajalela terhadap alam sekitar dengan rakusnya hingga menimbulkan pelbagai musibah dan fasad. Umat Islam kena tanamkan dalam diri mereka sifat-sifat keadilan, ihsan, zuhud, qana’an dan melayari kehidupan ini dengan berpada-pada. Kita perlu insaf bahawa manusia diamanahkan mentadbir alam ini sesuai dengan perintah Allah SWT bukan mengikut hawa nafsu sendiri.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 24 Februari 2017