10 Kali Syahid di Medan Uhud

USTAZ berkongsi mengenai seorang yang digelar ‘Syahid yang masih hidup’ dan beliau juga ditawarkan dengan 10 kali syahid. Beliau bersedia menerima tawaran syahid itu, namun Rasulullah SAW menangguhkan perkara itu. Sahabat yang dimaksudkan ialah Saidina Talhah bin Ubaidillah al-Taymi.
Beliau merupakan antara 10 orang yang dijanjikan syurga yang disebut langsung daripada Rasulullah SAW. Terdapat satu hadith Baginda SAW yang menceritakan tentang talhah yang bermaksud: “Siapa yang ingin melihat orang yang masih berjalan di atas muka bumi sedangkan nyawanya sudah tiada. Maka lihatlah kepada Talhah bin Ubaidillah”. Gambaran ini menunjukkan betapa bersungguhnya beliau di dalam medan perang sehinggakan apa yang dialami oleh beliau itu, pada fikirannya dia tidak mampu lagi untuk hidup.
Talhah bin Ubaidillah merupakan seorang anak muda yang berniaga di Syam. Beliau merupakan antara yang terawal memeluk Islam. Ketika mana beliau sedang berdagang bersama pedagang-pedagang Quraisy, tiba-tiba datang seorang pendeta Nasrani lalu berkata “Wahai orang yang datang berniaga di musim ini, adakah daripada kalian yang datang dari Tanah Haram?” Talhah yang kebetulan berada berdekatan dengan pendeta tersebut kemudian berkata “saya datang dari Tanah Haram”. Pada ketika itu, pendeta tersebut bertanya adalah telah datang Ahmad. Kemudian Talhah bertanya, siapakah Ahmad? Pendeta menjawab, beliau ialah Ahmad bin Abdullah bin Abdul Mutalib.
Lalu pendeta itu menceritakan, orang itu akan muncul pada bulan ini Dia merupakan nabi akhir zaman bagi umat ini. Dia dari tempat kamu dan kemudian akan berpindah ke satu tempat yang subur dengan tanaman kurma yang tanahnya berwarna hitam becampur garam. Tanahnya juga banyak dengan pancaran mata air. Kemudian pendeta ini berkata “Wahai anakku, sekiranya kamu mampu untuk segera balik dan bertemu dengannya, maka segeralah engkau menemuinya kerana kemuliaan akan diperolehi oleh mereka yang awal menemuinya”.
Kata-kata pendeta tersebut memberi kesan ke dalam hati Talhah lalu mengambil keputusan untuk terus bergegas mengumpulkan barang dagangan dan terus bergerak ke Makkah al-Mukarramah. Setibanya di Makkah, Talhah bertanya kepada keluarganya apakah yang berlaku sepeninggalannya untuk berdagang. Keluarganya menjawab “Muhammad bin Abdullah telah mendakwa dirinya adalah nabi. Tidak ada seorang pun yang mempercayainya kecuali Ibnu Abi Kuhafah, iaitu Abu Bakar as-Siddiq”.
Mendengarkan itu, Talhah kemudian berjumpa dengan Abu Bakar untuk bertanya benarkah berita mengenai Muhammad yang mendakwa dirinya adalah nabi. Maka Abu Bakar memperakuinya dan mengatakan dia adalah nabi untuk umat ini. Talhah pula kemudiannya menceritakan kisah-kisah yang disampaikan oleh pendeta kepadanya. Dia dibawa oleh Saidina Abu Bakar bertemu dengan Rasulullah SAW yang akhirnya langsung melafazkan kalimah Syahadah di hadapan Rasululullah SAW. Beliau dikatakan antara 7 orang terawal yang memeluk Islam. Keislaman Talhah mendatangkan marah kepada kaumnya lalu memujuk beliau untuk kembali kepada agama lama. Namun, pujukan mereka tidak berkesan dan akhirnya mereka menyeksa Talhah dengan pelbagai seksaan. Bahkan yang paling menyayat hati apabila ibunya turut sama menyeksa beliau.
Setelah sekian lama, Talhah berhijrah bersama Rasulullah SAW ke Madinah dan mengikut peperangan demi peperangan. Beliau dikenali dengan Talhah yang baik, dermawan, bijaksana dan beliau turut digelar, Talhah syahid yang masih hidup. Talhah mengikuti Rasulullah SAW dan rombongan perang ke medan Uhud. Ketika Rasulullah SAW ingin memanjat satu batu dan tidak mampu kerana baju besi yang berat yang Baginda pakai, maka Talhah sanggup mendudukkan tubuhnya dan membenarkan Rasulullah SAW untuk memijak di belakangnya.
Pada ketika itu, kata Saidina Zubair bin ‘Awwam, beliau mendengar Rasulullah SAW berkata, pastilah Talhah mendapat syurga Allah SWT. Tatkala serangan kedua di medan Uhud berlaku dan para sahabat berserakan menyelamatkan diri sendiri serta pasukan memanah juga telah turun daripada bukit itu, yang berbaki berada di sisi Rasulullah SAW mempertahankan Baginda hanyalah 11 orang sahabat. 10 orang Ansar dan seorang Muhajirin. Seorang Muhajirin itulah merupakan Talhah. Baginda kemudian ingin menguasai satu kawasan bukit bersama angkatannya dan berlindung di satu gua di situ. Pada saat itu, pasukan musuh berundur kerana bimbang ia adalah muslihat dan umpan untuk menyerang mereka.
Pada saat Baginda Rasulullah SAW serta 11 para sahabat menuju ke bukit tersebut, Baginda dikejar oleh pasukan musuh. Lantas Baginda kemudian berkata “siapa di kalangan kalian yang boleh menghalang orang-orang itu daripada sampai kepadaku, dia akan bersama-samaku di dalam syurga”. Talhah kemudian menawarkan dirinya. Kemudian Rasulullah SAW mengatakan tidak dan kemudian menyerahkan tugas itu kepada ansar yang lain. Ansar yang ditinggalkan demi mempertahankan Rasulullah SAW itu gugur syahid selepas sehabis jiwa dan raganya mempertahankan Rasulullah SAW.
Kemudian Rasulullah berjalan lagi dan Nabi kita menawarkan lagi siapakah yang dapat menghalang golongan musuh daripada sampai kepadaku, maka akan diganjari dengan syurga. Sekali lagi Talhah menyahut seruan itu dan turut ditolak oleh Rasulullah SAW. Taaran demo tawaran berlaku sehingga akhirnya 10 orang ansar itu semuanya gugur syahid. Pada ketika itu, Rasulullah SAW dikepong dan saat itulah Talhah menoleh ke arah Baginda lantas Baginda berkata “sekaranglah masanya Talhah”. Maka pada ketika itu, Talhah bersungguh-sungguh mempertahankan Rasulullah SAW dan mereka saling membantu melawan musuh. Namun ketika mana Baginda diserang oleh Ibnu Qim’ah sehingga Baginda tersungkur, maka tinggallah Talhah bersendirian mempertahankan Baginda.
Pada satu ketika saat satu tetakan hampir hinggap ke tubuh Baginda, Talhah menghulurkan tangannya sebelum sempat pedang itu mencederakan baginda lalu Talhah berteriak dengan laungan “Allahuakbar”. Maka bergegaslah para sahabat yang lain mendapatkan Rasulullah SAW dan Talhah. Saat Abu Bakar mengangkat Talhah, dilihatnya beliau mempunyai lebih 70 luka yang amat dalam. Setiap kali Abu Bakar menceritakan tentang Uhud, pasti beliau mengatakan peperangan itu adalah milik Talhah bin Ubaidillah. Allah SWT memanjangkan usia Talhah selepas itu dan Talhah menjadi dan beliau menjadi seorang yang sangat dermawan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 Februari 2017
\"\"
Scroll to Top