PUTRAJAYA, 1 Julai (IKIM) – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan umat Islam dan orang Melayu masa kini yang semakin berpecah belah, lebih gemar mendedahkan kelemahan sesama sendiri, dan kurang keupayaan menghimpun kekuatan bersama.
Baginda bertitah mengajak umat Islam menjadikan sambutan tahun baru Hijrah dan ulang tahun kemerdekaan negara ke-68 sebagai medan muhasabah untuk kembali kepada asas kekuatan ummah: keikhlasan, kebijaksanaan, perpaduan, dan pematuhan kepada prinsip Islam yang luhur.

“Ada baiknya untuk ummah melakukan muhasabah diri supaya tidak berakhir dengan keadaan yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Umat Islam dan orang Melayu pada hari ini janganlah tersalah sukat, janganlah tersilap bacaan, merasakan diri terlalu hebat, tersangat gagah,” titah Baginda pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) ke-73 di sini hari ini.
Baginda selaku Pengerusi MKI dalam titah tersebut turut mengimbas latar belakang sejarah pembentukan negara Islam pertama di Madinah yang diasaskan atas prinsip kebijaksanaan, kerjasama antara kaum, dan pemerintahan berasaskan undang-undang melalui penggubalan Perlembagaan Madinah, perlembagaan bertulis pertama di dunia yang menjunjung prinsip “satu pemerintahan, satu perundangan”.
“Madinah pada ketika itu dihuni pelbagai kaum, agama dan kabilah. Namun, Rasulullah SAW berjaya menyatukan mereka di bawah kepimpinan Baginda dengan memperkenalkan sistem pemerintahan yang harmoni dan inklusif, berlandaskan keadilan dan nilai ketauhidan,” titah baginda.

Baginda turut menggariskan beberapa komponen utama Perlembagaan Madinah seperti jaminan hak kepada pelbagai kaum, peneguhan kerjasama strategik pertahanan, serta hubungan yang saling menghormati antara umat Islam dan bukan Islam, termasuk kaum Yahudi Madinah.
Sultan Nazrin turut mengaitkan semangat Hijrah Rasulullah SAW dengan detik bersejarah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, serta pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Baginda menekankan bahawa kedua-dua peristiwa tersebut turut menyaksikan semangat perpaduan, pengorbanan dan keikhlasan kepimpinan Melayu Islam yang menjadi tonggak kekuatan negara.

Mesyuarat itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi MKI, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil serta wakil-wakil agensi agama seluruh negara.