Tiga Dimensi Islam

PENERIMA Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1439/2018, Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan Negeri Perak Darul Ridzuan, Dato’ Sheikh Dr. Afifi al-Akiti ketika ditemubual dalam slot eksklusif di radio IKIMfm berkata bahwa Islam tersebar ke Nusantara ini dengan pendekatan yang aman sehingga para ulama menggelarnya sebagai “Fathul Mubarak” iaitu pembukaan yang penuh berkat. Ini kerana, berbeza dengan kemasukan Islam di Sepanyol dan di tempat-tempat lain yang melibatkan peperangan atau menggunakan “pedang”, namun di Nusantara ini Islam dibawa oleh para pedagang dan ahli Sufi yang menyebarnya dengan penuh berhikmah tanpa menumpahkan walau setitik darah sehingga akhirnya Islam tersebar luas dan bertahan hingga ke hari ini.

Berbeza di Sepanyol hari ini, atau dulu dipanggil Andalusia, walaupun Islam berjaya bertapak di sana seawal kurun ke-8 Masehi di zaman Khalifah Umayyah melalui pimpinan Panglima Tariq bin Ziyad, namun ianya tidak bertahan hingga sekarang apabila diambil alih oleh golongan Kristian. Islam di Andalusia dikatakan bertahan hingga sekitar 1492 sahaja apabila dikalahkan oleh kelompok Kristian dan tumbangnya Bandar Granada. Bahkan di Sepanyol dan di kebanyakan negara di Eropah, sentimen kebencian terhadap umat Islam dan ajaran Islam disebabkan peristiwa lampau masih terkesan dan ditambah dengan munculnya pula kelompok teroris yang menggunakan nama Islam hari ini. Hari ini kita tidak lagi melihat Islam di Sepanyol tetapi masih lagi melihat utuhnya Islam di Nusantara.

Generasi awal Islam memahami untuk menyebarkan Islam, ianya perlulah dengan membawa Islam yang sempurna yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia.  Islam bukan semata-mata agama yang menekankan hubungan antara manusia dan tuhan, tetapi juga manusia sesama manusia dan makhluk yang lain.  Melalui hadith yang terkenal yang disebut “Hadith Jibril” di mana ajaran Islam diajarkan dan diberi penekanan terhadap tiga dimensi Islam itu, iaitu Islam, Iman dan Ihsan.

Dimensi “fizikal” atau “jasad” Islam itu terangkum dalam Rukun Islam iaitu mengucap Dua Kalimah Shahadah, mendirikan Solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadan, dan mendirikan haji bagi yang mampu. Ini adalah aspek luaran, badan, atau zahir Islam yang nampak di mata dan diketahui umum. Ini juga dimensi undang-undang atau fikah dalam ajaran Islam. Seterusnya dimensi kedua ialah dimensi Iman yang kita diajarkan berhubung dengan enam Rukun Iman yang kita diajarkan sejak kecil lagi.  Dimensi Rukun Iman ini berbeza daripada Dimensi Rukun Islam tadi, kerana dimensi ini ialah dimensi yang tidak nampak, yang tertanam dalam hati setiap kita. Kepercayaan kepada Tuhan, adakah wujud atau tidak, kepercayaan kepada Hari Akhirat, Rasul dan lain-lain semua itu tidak nampak oleh orang lain melainkan dapat dirasakan oleh empunya diri sendiri. Dimensi ini  juga mewakili dimensi akal, kerana Islam menyuruh manusia menggunakan akal dalam mencari kebenaran dan Penciptanya yang sebenar. Melalui penggunaan akal ini manusia boleh menggunakan pelbagai hujah logika untuk akhirnya memahami asal usul kejadian ini atau kosmologi  dan akhirnya membawa kepada Islam.  Akhir sekali ialah dimensi ketiga iaitu dimensi Ihsan. Ianya adalah kombinasi zahir dan batin iaitu dimensi Islam dan dimensi Iman, yang mana ianya lebih bersifat  dimensi rohani, hati atau spiritual yang kadangkala bersifat misteri. Dimensi ini bukan dimensi yang zahir semata, atau dimensi akal semata, tetapi kombinasi kedua-duanya. Dimensi Ihsan inilah yang unik dalam ajaran Islam yang mungkin tidak ditemui dalam ajaran lain. Ihsan disebut sebagai “kamu menyembah Allah seolah kamu melihat Allah, dan jika kamu tidak melihat Allah yakinlah Allah melihatmu”.  Dalam tradisi Islam dimensi penyucian jiwa, “tazkiyah al-nafs” ini diwakili oleh ilmu tasawuf dengan dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Imam Junayd al-Baghdadi, Imam al-Ghazali, Imam Nawawi bahkan oleh Ibn Taymiyyah juga.

Kesimpulannya, kita katakan di Nusantara ini, tiga dimensi Islam ini bertapak teguh di kawasan ini hingga kini dengan diwakili oleh tokoh-tokoh awal Islam dalam disiplin ilmu tertentu sebagai contoh dimensi Iman itu dipelopori oleh Imam Abu Hasan al-Asy’aari, dimensi Islam pula diwakili oleh Imam Shafi’i atau disebut Mazhab Shafi’i manakala dimensi tasawuf pula  melalui jalur Imam al-Ghazali. Kalau dikatakan kenapa Islam di nusantara itu begitu, bermazhab Shafi’I dari segi fekah dan bertasawuf Imam al-Ghazali dan bermanhaj Asya’ari dari segi aqidah, maka ia sebenarnya kerana Islam datang ke Nusantara ini dahulukala dalam acuan yang sebegitu, sebagai satu pakej. Hakikatnya adab sopan yang kita warisi hari ini adalah kerana ajaran-ajaran murni dan akhlak suci yang dibawa oleh para ulama tasawuf khususnya melalui ajaran Imam al-Ghazali, samada kita sedar atau tidak, samada kita seorang ahli sufi atau murid tarekat atau orang awam semata.

Kesemua tiga dimensi Islam ini perlu tertanam dalam diri setiap individu Muslim agar dengan itu terlahir seorang peribadi yang seimbang dan harmoni. Oleh kerana itulah guru Imam Shafi’e iaitu Imam Malik RA berwasiat agar kita berjuang mencapai keharmonian dengan ungkapan: “sesiapa yang hanya berfekah sahaja, tanpa tasawuf akan menjadi fasiq, manakala sesiapa yang hanya bertasawuf tanpa fekah maka akan menjadi zindiq (sesat), tetapi orang yang menggabungkan kedua-duanya (tasawuf dan fekah) maka beliau akan pasti mencapai hakikat kebenaran”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 11 Januari 2018
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top