Hadith Tentang Kekeluargaan

KELUARGA merupakan tunjang kepada pelbagai sumber kekuatan dalam kehidupan seorang insan. Membangunkan institusi kekeluargaan yang utuh dan berlandaskan syariat Islam bukan satu hal yang mudah namun tidak mustahil. Menerusi segmen Pesona D’Zahra yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin, 10.15 pagi, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin berkongsi mengenai hadith Nabi SAW tentang kekeluargaan.

Hadith daripada Ibnu Majah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Nikah itu sebahagian daripada sunnahku. Orang yang tidak mahu beramal (kerana benci), maka dia bukan daripada kalangan ku. Kahwinlah kamu! Kerana aku bangga dengan umatku yang ramai. Siapa yang ada kemampuan, bernikahlah. Maka, siapa yag tidak mampu, hendaklah kamu berpuasa. Sesungguhnya puasa itu ada ubat untuk menundukkan nafsu.”

Apabila Baginda Nabi SAW menyatakan bahawa nikah itu merupakan sunnah Baginda, maka daripada awal proses pernikahan itu terdapat sunnah-sunnahnya. Tatkala seseorang menyatakan hasrat untuk mencari pasangan, maka mulakanlah dengan sunnah. Lakukan solat sunat Istikharah bagi memohon kepada Allah SWT agar dipermudahkan urusan memilih pasangan. Ajarilah anak-anak kita, apabila tiba masa mereka mencari pasangan hidup, maka didiklah mereka untuk lakukan solat sunat Istikharah agar tidak mudah tertipu dengan pandangan mata manusia. Mohon kepada Allah SWT agar DIA membimbing kita dalam urusan memilih pasangan hidup. Tatkala selesai Istikharah dan kita yakin dengan pilihan kita, dapatkanlah restu serta redha kedua ibu bapa kita.

Kemudian, sunnah yang dituntut dalam mendirikan sesebuah rumahtangga, ada pada nikahnya. Nikah bererti kita mengambil tanggungjawab. Tanggungjawab kepada kedua-dua pihak, baik isteri dari segi layanan kepada suami mahupun suami dari sudut nafkah kepada isteri.  Tatkala menimang cahaya mata juga, Baginda Nabi SAW telah gariskan beberapa panduan sunnah untuk kita ikuti agar dapat kita lahirkan generasi umat Baginda yang taat kepada Allah SWT. Sepertimana yang Baginda Nabi SAW sabda di dalam hadith Baginda yang bermaksud : “bermain-mainlah dengan anak kamu sehingga usianya tujuh tahun. Kemudian hendaklah kamu mengajarkannya adab bermula usia tujuh sehingga empat belas tahun serta jadikannya sahabat atau kawan ketika berusia empat belas tahun ke atas.” Sekiranya berlaku sesuatu ke atas rumahtangga kita, terputus hubungan pernikahan itu, juga terdapat sunnah yang diajarkan oleh Baginda Nabi SAW.

Bercerita soal jodoh, Ustaz Muhammad mencadangkan agar mendahulukan calon pasangan pilihan keluarga. Ada kalanya, kita kurang kematangan dalam membuat sesuatu keputusan. Tambahan pula, ia melibatkan keputusan besar dalam hidup kita bagi membina sebuah keluarga. Di mata kita mungkin sudah terbaik, namun kadangkala kita salah menilai. Walaubagaimanapun, Islam tetap mengajarkan kita untuk lakukan Istikharah agar diberikan yang terbaik dalam perjalanan kita memilih pasangan hidup. Ibu ayah pastinya mengharapkan yang terbaik buat anak-anak mereka, terutamanya apabila telah lama mereka mengasuh, mendidik dan membesarkan kita dalam jagaan mereka. Namun, jalan terbaik adalah berserah kepada Allah SWT melalui jalan Istikharah kita kepada-Nya. Sekiranya perkara sebaliknya berlaku, pilihan datang daripada calon pilihan kita, berbincang dengan baik dan pastikan calonnya mendapat restu kedua ibu bapa dan akhirnya tetap perlukan petunjuk daripada Allah SWT mengikut apa yang telah diajarkan Baginda.

Dalam memilih pasangan hidup dan mempersiapkan diri membina sebuah keluarga, ayah perlu mendidik anak-anak agar sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar diberikan pasangan hidup yang terbaik. Yang sentiasa mentaati perintah-Nya serta sentiasa menghormati orang tua. Dao adalah senjata terbaik dalam setiap perkara yang kita lakukan.

Akhirnya, Ustaz Muhammad berpesan, nikah adalah sunnah Baginda Nabi SAW. Terdapat sunnah pada setiap perlakuan dalam pernikahan itu. Nikah, proses mendirikan rumahtangga dan sekiranya berpisah juga ada sunnah padanya. Semoga kita perolehi rumahtangga yang bahagia dan dibahagiakan oleh Allah SWT. Rumahtangga yang bahagia bukan terletak pada mewahnya harta, bukan ada pada pasangan kita, namun bahagia letaknya di hati. Allah SWT yang meletakkan kebahagiaan di dalam hati kita, sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Fath, ayat 4 yang bermaksud “DIA lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman…”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 Januari 2018
\"\"
Scroll to Top