TH SEDIA BAS ULANG ALIK PERCUMA UNTUK JEMAAH KE MASJIDIL HARAM

MAKKAH, 30 April (IKIM) – Lembaga Tabung Haji (TH) terus komited memastikan kesejahteraan jemaah haji Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma dari hotel penginapan ke Masjidil Haram.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata sebanyak lapan buah bas disediakan khas untuk kemudahan jemaah sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan menyeluruh TH.

“Kesemua bas ini akan beroperasi selama 24 jam setiap hari, sekali gus membuktikan komitmen TH dalam melaksanakan penambahbaikan berterusan terhadap penyampaian perkhidmatan kepada jemaah haji tahun ini,” katanya.

Perkhidmatan tersebut melibatkan laluan dari Hotel Abraj Al Tayseer ke Stesen Bas Jarwal yang terletak berhampiran kawasan dataran Masjidil Haram.

Tambah beliau, kemudahan ini memberi alternatif kepada jemaah untuk bergerak ke masjid dengan lebih mudah, lancar dan selesa, sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah di Tanah Suci.

Dalam masa sama, inisiatif ini juga diharap dapat membantu menjaga tahap kesihatan jemaah, khususnya menjelang kemuncak musim haji iaitu hari wukuf, ketika keadaan cuaca di Makkah semakin panas.

Bagi musim haji 1447H/2026M, TH menyediakan lima bangunan penginapan di Makkah bagi menempatkan kira-kira 31,600 jemaah Malaysia, termasuk Abraj Al Tayseer, Rehab Al Janadriyah, Al Kiswah Tower Hotel, Abraj Al Janadriyah dan Qasr Al Janadriyah.

WhatsApp
Scroll to Top