KEM INTERAKSI BELIA CHINA-MELAYU 2026 LAKAR PERPADUAN

Oleh: Muhammad Suhairi Fakri

KUALA LUMPUR, 30 April (IKIM) – Majlis Penutupan Kem Interaksi Belia China-Melayu 2026 berlangsung meriah hari ini selepas program empat hari yang bermula 27 April lalu melabuhkan tirainya dengan penuh makna.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Anwar Ridhwan yang menegaskan bahawa penganjuran kem interaksi bahasa dan budaya merupakan satu bentuk diplomasi pendidikan yang penting.

“Kem interaksi bahasa dan budaya ini merupakan satu bentuk diplomasi pendidikan yang sebenar, di mana hubungan yang terjalin tidak terhenti pada majlis penutupan ini, sebaliknya terus berkembang melalui kerjasama dan pertukaran ilmu,” katanya.

Beliau berkata golongan belia merupakan jambatan masa hadapan dalam memperkukuh hubungan antara China dan Malaysia agar lebih erat, harmoni serta berdaya tahan.

“Belia merupakan jambatan masa hadapan yang akan memperkukuh hubungan China dan Malaysia yang lebih erat, harmoni dan saling memahami serta menghormati,” ujar beliau.

Anwar berkata dalam masa sama DBP kekal komited dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, sambil menegaskan bahawa “usaha ini tidak dapat dilaksanakan secara bersendirian tetapi melalui kerjasama strategik seperti yang terjalin dalam program ini.”

Dalam pada itu, kem yang menghimpunkan belia daripada pelbagai latar belakang ini berjaya menjadi platform interaksi berkesan dalam memperkukuh hubungan antara kaum melalui pendekatan bahasa dan budaya.

Suasana menjadi istimewa apabila wakil pelajar Cina dan Melayu tampil mendeklamasikan sajak secara silang bahasa, dengan pelajar Cina bertutur dalam bahasa Melayu manakala pelajar Melayu menyampaikan dalam bahasa Cina.

Persembahan unik itu bukan sahaja mencuri perhatian hadirin, malah menjadi simbol jelas kejayaan kem dalam merapatkan jurang bahasa dan budaya antara kedua-dua kaum

Secara keseluruhannya, penganjuran kem ini bukan sahaja berjaya memperkukuh interaksi bahasa dan budaya antara belia China dan Melayu, malah menjadi platform penting dalam menyemai semangat perpaduan serta saling memahami.

Diharapkan usaha seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan generasi muda yang lebih terbuka, harmoni dan bersatu padu.

WhatsApp
Scroll to Top