SETIAP manusia yang hidup di muka bumi ini menaruh impian agar diganjari syurga, malah seringkali dipanjangkan doa kepada Allah SWT agar hajat ini menjadi kenyataan pada Hari Akhirat kelak. Orang mukmin mampu mengukir senyuman gembira walaupun ketika hidup di dunia lagi apabila mendapati di syurga nanti adanya darjat yang paling tinggi. Di syurga nanti akan ada tempat-tempat yang sangat tinggi kedudukannya dan begitu juga yang rendah darjatnya.
Daripada Abdullah bin Amr bin al-Asyd, menyebut bahawa mereka pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Apabila kamu mendengar seorang muazzin yang melantunkan azan, maka ucaplah sebagaimana yang diucapkan oleh muazzin itu, kemudian berselawatlah kepadaku. Sesungguh sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku sekali, Allah akan memberi pahala selawatnya sebanyak sepuluh kali ganda. Menjadikan aku sebagai perantaraan bagi kamu, maka aku akan mendapatkan posisi syurga yang belum pernah diperolehi kecuali bagi mereka yang sentiasa beribadah kepada Allah, dan hendaklah aku dan dia adalah satu.” Ini adalah kedudukan paling tinggi di antara kerenah-kerenah manusia yang beroleh darjat tertinggi di dalam syurga nanti.
Sebagaimana perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di dalam slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm, di antara amalan yang melayakkan manusia diganjari darjat tertinggi di syurga ialah berselawat kepada Nabi Muhammad SAW dan menjawab laungan azan. Amalan lain ialah menjadikan Rasulullah sebagai contoh teladan di dalam setiap perkara di dalam kehidupan mereka. Oleh itu dengan melakukan ketiga-tiga perkara dan amalan ini membuatkan orang mukmin sudah mampu mengukir senyuman kegembiraan kerana mudah-mudahan apabila mati kelak mereka berada di samping Rasulullah dan dibantu Baginda untuk menaikkan darjat mereka di sisi Allah SWT.
Di dalam riwayat lain daripada Aisyah RA, disebut bahawa seorang pemuda datang kepada Rasulullah dan berkata kepada Baginda bahawa dia lebih menyintai Rasulullah melebihi dirinya sendiri dan keluarganya, malah sering mengingati Baginda walau di mana sahaja dia berada. Setiap hari pemuda itu akan datang menemui Baginda jika teringat akan kematian, dan sesungguhnya apabila Rasulullah meninggal dunia, baginda akan memasuki syurga tertinggi bersama para nabi yang lain. Namun apabila lelaki itu masuk ke dalam syurga kelak, apa yang menjadi kerisauan baginya ialah kerana terpaksa berpisah daripada Rasulullah dan tidak mampu melihat wajahnya lagi. Rasullallah terdiam apabila mendengar kata-kata lelaki itu, lalu turunnya ayat daripada surah An-Nisa’, ayat 69. Allah berfirman: “Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).” Apabila mendengar perkhabaran ini, pemuda itu berasa sangat tenang dan gembira apabila mengetahui bahawa dia akan bersama Rasulullah di darjat tertinggi di syurga nanti.
Selain itu mereka yang mampu tersenyum indah termasuklah golongan yang dilihat dan didengar suaranya oleh Rasulullah di dalam syurga di antaranya ialah Jaafar dan Hamzah. Jaafar bin Abi Talib adalah di antara mereka yang terlibat dan syahid di dalam peperangan Mu’tah dan digelar Jaafar al-tayyar kerana rohnya berterbangan di dalam syurga. Mereka ini merupakan ikon yang wajar menjadi idola setiap mukmin kerana ketokohan mereka membuatkan manusia tersenyum untuk menaruh impian diganjari syurga nanti. Rasulullah menceritakan ketika Baginda masuk ke dalam syurga yang diperbuat daripada emas, Baginda bertanya untuk siapakah istana tersebut. Lalu dijawab oleh malaikat bahawa istana tersebut dibina untuk pemuda Quraisy iaitu Umar al-Khattab.
Terdapat juga beberapa amalan yang boleh dilakukan oleh orang mukmin untuk memudahkan impian agar diganjari syurga. Sentiasa mendoakan di antara satu sama lain, di kalangan sahabat atau keluarga agar Allah memilih mereka masuk ke dalam syurga nanti, bukan hanya berdoa untuk diri sendiri. Rasullullah SAW mengingatkan sekiranya manusia mendoakan satu kebaikan ke atas orang lain, maka Allah akan menggandakan sepuluh kali ganda kebaikan ke atasnya.
Al-Mugihrah bin Syu’bah menyebut, Rasulullah SAW bersabda: “Nabi Musa AS bertanya kepada Allah, “Apakah tempat yang paling rendah kedudukannya bagi ahli syurga?”. Allah menjawab, “Lelaki yang datang setelah mana semua umat manusia telah masuk ke dalam syurga. Setelah diseru agar masuk ke dalam syurga, dia bertanya kepada Allah dimanakah tempatnya nanti kerana semua manusia telah masuk ke tempat masing-masing. Kemudian dikatakan padanya, “Apakah kamu redha apabila ada lagi seorang raja di dalam hidup kamu?” Dia menjawab bahawa dia redha Allah itu adalah tuhannya. Setelah ditanya berkali-kali dan lelaki itu tetap redha bahawa Allah itu tuhannya, lalu dikatakan kepadanya, baginya adalah pahala di atas usaha menahan hawa nafsunya. Maka Allah meninggikan kedudukan mereka yang merasa nikmat syurga yang tidak mampu dirasa dan dibayangkan dengan penglihatan dan pendengaran mata hati manusia.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 3 Ogos 2017