Ubat Penyakit Lalai

SETIAP pesanan yang disampaikan bukan sekadar berbentuk maklumat semata-mata tetapi ia adalah peringatan untuk menyedarkan manusia agar jauh dari segala perbuatan yang tidak mendatangkan faedah atau perbuatan yang sia-sia.

Dalam rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran pada hari Rabu jam 10.15 pagi di radio IKIMfm, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi mengingatkan setiap mukmin agar berhati-hati akan penyakit ghaflah atau lalai kerana penyakit lalai ini mendatangkan banyak kerugian kepada seseorang mukmin. Manakala perbuatan yang sia-sia adalah perkara yang paling merugikan dalam hidup kita.

Penyakit ghaflah ibarat seperti virus atau kuman yang mendatangkan keburukan kepada mereka yang menghidapinya. Hakikatnya orang yang paling banyak dihumban di dalam api neraka adalah mereka yang lalai dan sering alpa akan tujuan dalam kehidupannya. Dengan kata lain, waktu hidup yang dikurniakan oleh Allah ini tidak terisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat sebaliknya penuh dengan kelalaian dan perbuatan yang sia-sia.

Allah SWT menegaskan dalam surah al-A’raf ayat 179 yang bermaksud “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai”.

Sesungguhnya apa yang disifatkan sebagai orang yang ghaflah adalah orang yang hati, telinga dan mata tidak gunakan untuk mendekatkan diri dengan Allah, sebaliknya lalai dengan kehidupan yang tidak kekal abadi ini.

Allah SWT mengurniakan kehebatan pancaindera kepada setiap makhluk adalah untuk digunakan bagi beramal ibadat kepada Allah, namun bagi orang-orang yang lalai, walau sebaikmana pancaindera yang dimiliki tidak digunakan untuk melihat kebesaran Allah SWT tetapi tetap berpaling kepadaNya. Justeru mereka ini diibaratkan orang yang sesat yang sering melakukan kejahatan serta maksiat seolah-olah mahu hidup untuk selama-lamanya. Sedangkan dunia ini akan ditinggalkan apabila tiba waktunya.

Menurut Ustaz Pahrol, kehidupan orang yang ghaflah seolah-olah tidak ada pedoman yang boleh memandu mereka ke jalan yang benar. Oleh itu, banyak perkara yang dimurkai Allah telah dilakukan dan amat malang kerana mereka ini tidak sedar akan setiap perkara buruk yang dilakukan.

Justeru, bagi mengelak dari tergolong dalam kalangan mereka yang lalai setiap mukmin hendaklah sentiasa bermuhasabah diri dengan soalan-soalan yang boleh mendatangkan keinsafan dalam diri sendiri. Seperti selalu bertanyakan tentang tujuan, matlamat dan hala tuju pengakhiran kehidupan ini.

Ustaz Pahrol berkongsi tentang penawar untuk merawat penyakit ghaflah, yang pertama adalah mencari sahabat yang baik. Teman yang sering mengingati akan Allah SWT. Sahabat yang selalu mengingatkan kita kepada perkara-perkara yang membawa kebaikan. Begitu juga sahabat-sahabat yang selalu membawa kita ke jalan kebajikan dan yang selalu menggenggam tangan kita pada saat berada dalam kegelapan.

Hakikatnya dalam hidup ini apabila Allah mahukan kebaikan bagi seseorang manusia, Allah akan kurniakan kefahaman agama kepadanya. Umpamanya sentiasa diberi ruang, peluang dan rezeki masa untuk mendapat ilmu yang tidak disangka-sangka. Begitu juga Allah akan berikan ruang untuk seseorang hamba itu bertemu dengan orang yang baik kerana apabila seseorang manusia yang dikelilingi orang yang baik nescaya aura kebaikan itu akan juga meresap dalam diri mereka.

Perkara kedua agar terhindar dari penyakit ghaflah adalah sentiasa lazimkan diri dengan istigfar memohon ampun kepada Allah atas dosa-dosa yang lampau. Bahkan dengan istigfar juga kita boleh berdoa memohon kepada Allah agar diampunkan dosa orang lain seperti ibu bapa dan sesiapa sahaja. Lazimkan diri dengan taubat agar kita selalu diberi taufik dan hidayah dalam menjalani kehidupan sehari-hari.

Ini kerana dalam hidup kita tidak akan lari dari melakukan khilaf dandosa, justeru orang yang selalu mendekatkan hatinya dengan istiqfar dan taubat akan membersihkan jiwa dari noda dan dosa, apabila orang itu suci dari dosa dan noda, setiap doanya akan mudah diperkenankan oleh Allah SWT.

Baginda Rasulullah SAW yang maksum dari dosa tidak pernah lekang bibirnya dari istigfar. Ini kerana istigfar adalah cara untuk membersihkan diri berbuat perkara-perkara yang tidak disukai Allah taala, bahkan para alim ulama menjadikan istigfar sebagai amalan paling banyak dilakukan kerana mahu diangkat diri mereka dekat di sisi Allah SAW.

Selain itu dekatkan diri dengan orang-orang soleh untuk meminta doa daripada mereka. Cara mendapatkan doa daripada orang-orang soleh adalah kita sendiri jangan berhenti untuk medoakan mereka. Dengan amalan yang dilakukan ini nescaya Allah akan membalas perbuatan baik kita dengan membukakan ruang hati orang-orang soleh untuk memanjangkan doa mereka untuk kita. Ini kerana setiap kebaikan yang diberi kebaikan juga akan akan diperolehi.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 2 Ogos 2017
\"\"
Scroll to Top