Telaga Al-Kauthar Rasulullah SAW

ANAS bin Malik berkata pada suatu ketika sewaktu Rasulullah sedang duduk ditengah-tengah bersama dengan para sahabat, tiba-tiba Baginda menundukkan kepalanya. Kemudian Baginda mengangkat semula kepalanya sambil tersenyum indah. Lalu ditanya para sahabat kenapa Rasulullah berkelakuan demikian dan dijawab Baginda, “Baharu sahaja turun kepadaku suatu surah yang disebut dengan al-Kauthar.” Allah berfirman di dalam surah tersebut: “Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur). Sesunguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).” Kemudian Rasulullah bertanya semula kepada para sahabat, apakah mereka mengetahui apakah al-kauthar itu. Mereka menjawab. “Ya Rasullullah, Allah dan Rasulullah sahaja yang mengetahui tentang maksud al-kauthar itu.” Baginda kemudian menyebut bahawa al-kauthar itu ialah telaga yang mempunyai nikmat yang banyak. Telaga itu disediakan Allah untuk Rasulullah dan bekas untuk mengambil airnya itu sebanyak bintang di langit untuk umat Baginda.

Sehingga apabila seorang hamba menjadi gelisah melihatnya, Rasulullah berkata, “Ya Allah, dia termasuk di kalangan umatku”. Allah berfirman kepada Baginda, “Kamu tidak tahu akan apa yang dilakukannya setelah kewafatanmu”.(Riwayat Imam Muslim). Perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm pada kali ini, berkaitan suatu masa ketika manusia belum lagi melalui titian sirat, terdapat telaga al-kauthar. Beruntunglah umat Nabi Muhammad SAW yang terpilih untuk meminum air di telaga tersebut kerana apabila bangkit di Padang Mahsyar kelak, semua manusia akan merasa sangat haus.

Kebanyakan alim ulama menerangkan telaga al-kauthar berlaku di Padang Mahsyar menjelang titian sirat. Abu Hassan al-Khasi pula menyebut telaga tersebut sebelum manusia melalui timbangan. Walau bagaimanapun Abu Hamid di dalam Kashful Ulum Wal Akhirah, Imam Ghazali berkata telaga ini berada setelah manusia melalui titian sirat. Menurut pandangan ulama juga, telaga al-kauthar terdapat di dua tempat iaitu di Padang Mahsyar dan di dalam syurga.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar, katanya, “Aku bertanya Rasulullah SAW mengenai bekas yang digunakan untuk meminum air di telaga al-kauthar ini.” Baginda menjawab, “Demi Allah yang diri Muhammad pada tangan-Nya (di dalam genggaman Allah), bekas tersebut jumlahnya lebih banyak daripada bintang di langit. Jika satu bekas itu diminum oleh seorang maka dia tidak akan haus buat selama-lamanya. Di hujung telaga itu, memancar air yang laju daripada dua buah paip daripada syurga yang menjadikan orang yang meminumnya tidak akan haus lagi. Lebar telaga sama dengan panjangnya iaitu jarak di antara negeri Amman ke negeri Ailah. Airnya lebih putih daripada air salju dan lebih manis daripada madu.

Ibnu Umar menceritakan, Rasulullah SAW bersabda: “Di akhirat nanti akan disediakan sebuah telaga untuk kamu semua yang panjangnya daripada Jarbar ke Azrah dan didalamnya tersedia cangkir yang jumlahnya seperti bintang di langit. Siapa yang datang datang meminum airnya, maka dia tidak akan haus buat selama-lamanya.” Rasulullah juga menyebut semua nabi-nabi disediakan telaga oleh Allah kepada umat mereka dan mereka amat berbangga apabila ramai yang mengunjunginya. Rasulullah SAW juga berharap agar telaga kepunyaan Baginda akan  didatangi ramai manusia. Qatadah meriwayatkan daripada Hasan daripada Samurah yang menyebutkan riwayat daripada Husin bahawa Rasulullah SAW bersabda setiap nabi mempunyai perigi kecuali Nabi Salleh kerana Allah menyediakan kepada Baginda  susu untanya.

Rasulullah SAW bersabda, golongan manusia pertama yang layak meminum air daripada telaga al-kauthar ialah para sahabat Baginda. Selain itu sahabat Rasulullah juga termasuk mereka yang hidup walaupun tidak pernah melihat wajah Baginda dan beramal dengan hadis-hadis dan sunnah Baginda serta melaksanakan apa yang dibawanya dengan sepenuh hati mereka. Mereka merasa dekat dengan Rasulullah walaupun tidak pernah bertemu Baginda sehingga saat berada di telaga al-kauthar.

Golonga kedua yang mendapat keistimewaan meminum air di telaga al-kauthar ialah orang-orang yang tidak merasa tamak terhadap dunia. Hadis yang diriwayatkan oleh Uqbah bin Amir al-Juhani, pada suatu hari Rasulullah muncul lalu mendoakan para syuhada Uhud seperti ketika Baginda berdoa di dalam solat jenazah. Apabila Baginda berjalan dan menaiki mimbar, Baginda menyebut, “Aku sanggup menjadi saksi  ke atas diri kamu, demi Allah sekarang  aku sedang melihat bagaimana telagaku dan sesugguhnya aku telah diberi kunci-kunci gedung kekayaan muka bumi ini. Demi Allah  aku tidak langsung takut apa yang akan berlaku kepada kamu semua yang kamu khuatiri setelah ketiadaanku dan musyrik selepas aku meninggal dunia nanti. Tetapi yang aku takut apa yang berlaku kepada kamu apabila kamu mula berlumba mengejar dunia sehingga tidak melakukan persiapan untuk menuju akhirat Allah.

Golongan ketiga ialah orang miskin, orang muhajirin yang miskin dengan pakaian yang lusuh dan rambutnya di dalam keadaan yang tidak rapi. Mereka tidak mengahwini wanita kaya sehingga kehidupan mereka juga menjadi senang. Selain itu Baginda bersabda, mereka yang datang meminum air di telaga al-kauthar nanti ialah mereka yang yang lemah dan kurus kerana sentiasa berpuasa. Malah orang yang sering beriktikaf di rumah Allah ketika hidup di dunia juga mempunyai keistimewaan tersebut. Golongan seterusnya ialah mereka yang bangun di waktu malam dan mengalirkan air matanya kerana takut terhadap dosa-dosanya.

Namun orang yang murtad, orang yang mereka-reka perkara baharu dalam agama, orang yang memisahkan diri daripada jemaah Islam, orang yang berlaku zalim dan mereka yang memusuhi kebenaran beragama merupakan golongan manusia yang akan dihalau di Padang Mahsyar daripada mendekati telaga al-kauthar.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 6 Oktober 2016
\"2016-10-06\"
WhatsApp
Scroll to Top