Halal Haram Tanda Cinta ALLAH Pada Manusia

ISLAM terbit dari dua perkataan iaitu ‘aslama’ yang bermaksud menyerah diri dan ‘salam’. Manusia yang beragama Islam akan terus taat pada perintah ALLAH SWT dan menyerahkan diri kepada-Nya, sesuai dengan maksud Islam itu yang membawasebuah agama selamatuntuk setiap individu muslim.Kalimah syahadah yang diucapkan oleh setiap individu muslim menyaksikan bahawa pendirian umat Islam itu adalah teguh dan patuh pada ALLAH SWT mengikut syariat Islam. Oleh itu, Ustaz Rushdi Ramli Al-Jauhary yang bersiaran di IKIMfm menerusi rancangan Islam Itu Indah pada setiap Rabu jam 10.15 yang lalu membawakan tajuk ‘Halal haram tanda cinta ALLAH pada manusia’.

Islam merupakan sebuah agama yang membimbing kepada cara hidup betul (way of life) dari setiap aspek kehidupanmembawa makna ‘Deen’atau ‘tariqah’.Islam bukanlah sebagai sebuah agama semata-mata, malah ianya memberi mesej pengisian yang meliputi hukum-hukum, patuh, taat dan tunduk serta merupakan satu anugerah istimewa kepada manusia untuk dijadikan panduan cara hidup. Allah SWT telah menjelaskan perkara ini menerusi firman-Nya dalam surah Al-Ma’idah ayat 3 yang bermaksud, “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Istilah Halal adalah merujuk kepada perkataan ‘halla’ bermaksud merungkai dan melepaskan. Manakala kalimah Haram yang juga merujuk kepada perkakataan (mamnu’) turut membawa maksud hormat. Hukum halal dan haram dalam Islam adalah bertujuan untuk menjaga kehormatan agama, memelihara maruah diri serta menyediakan sebuah peradaban yang tinggi nilainya. Agama Islam mempunyai sistem dan rukun tertentu berpandukan kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Oleh itu, sesiapa sahaja yang menganuti agama Islam ianya lengkap dan menyeluruh serta sesuai untuk kehidupan manusia tidak mengira bangsa mahupun keturunan walau di tempat yang berbeza.

Kaedah kehidupan yang berpaksikan kepada agama Islam yang mempunyai hukum halal dan haram turut mempengaruhi terhadap penjagaan hartabenda. Sebagai contoh, ALLAH SWT menjaga kehormatan manusia melalui harta benda mereka adalah dengan mengharamkan amalan riba dalam sistem jual beli supaya harta itu tidak mudah diambil oleh orang lain tanpa mengikut syarat-syarat tertentu.Selain itu, kepentingan halal dan haram ini adalah untuk menjaga nasab dan keturunan supaya manusia tidak terjebak dengan perlakuan zina yang merosakkan dan terjerumus kepada kehinaan serta mengundang balasan dosa dari ALLAH SWT. Apabila kaedah halal dan haram ini diutamakan, maka akal manusia juga turut terpelihara dimana tiada lagi pengambilan minuman arak yang memabukkan merosakkan kewarasan fikiran.

Umat Islam tidak perlu risau dan terbeban dengan istilah haram keranaALLAH SWT mengetahui apa yang terbaik untuk umat-Nya. Perkara tersebut boleh dirujuk menerusi firman ALLAH SWT dalam surah Al-Ahzab ayat 43 yang bermaksud, “Dia lah yang memberi rahmat kepada kamu – dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu) – untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah Ia sentiasa Melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat). ”Oleh yang demikian, perkara buruk yang berlaku dalam rutin harian manusia seperti fitnah, mengumpat dan menjatuhkan maruah sesama muslim merupakan perkara yang amat ditegah dalam agama Islam untuk menjaga kerhormatan sesama insan.

Kasih sayang ALLAH SWT kepada umatnya amat jelas dan nyata tanpa mengira harta, pangkat dan kedudukan darjat sekalipun. Oleh itu, umat Islam perlu terus istiqamah bertakwa kepada ALLAH SWT dengan sesungguhnya serta bermuhasabah diri sentiasa. Orang mukmin yang diberikan kefahaman agama tidak akan sanggup mengadaikan akidah semata-mata untuk mendapat habuan dunia, tidak akan mencintai dunia hingga melupakan kehidupan dihari akhirat. Mereka sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya. ALLAH SWT telah mengingatkan umat Islam dalam surah Al-An’am ayat 160 yang bermaksud, “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 Oktober 2016
\"Artikel
Scroll to Top