Teladan yang Sempurna

SEKIRANYA Allah mahukan kebaikan kepada seseorang hamba, Allah akan berikan kefahaman agama kepadanya. Sekiranya Allah mahu kebaikan kepada sesebuah keluarga, Allah akan kurniakan kasih sayang dan kelembutan dalam sesebuah rumahtangga itu. Sekiranya Allah mahukan kebaikan kepada sesebuah masyarakat, organisasi atau negara, Allah akan kurniakan seorang pemimpin yang dipercayai, penuh teladan dan akhlak diri yang terbaik.

Menerusi rancangan Islam itu Indah di radio IKIMfm hari Rabu jam 10.00 pagi, Ustaz Pahrol Mohd. Juoi berkata bagi seseorang pemimpin yang baik akan memiliki pengaruh, teladan dan kepimpinan yang dipercayai. Secara asasnya sesebuah organisasi yang terbaik kerana mendapat kepimpinan dari seorang pemimpin yang boleh dipercayai, dihormati dan dipercayai.

Justeru, sifat-sifat kepimpinan yang ada nilai teladan yang tinggi, pengaruh yang besar dan sifat yang dipercayai yang tinggi pastinya akan dapat dilihat dengan pandangan mata. Ini kerana perbuatan yang memberi teladan akan dapat dinilai melalui pandangan mata. Bahkan mata itu sendiri lebih boleh dipercayai berbanding pendengaran.

Dalam psikologi pendidikan menjelaskan, peratusan seseorang yang dipengaruhi oleh penglihatan atau visual adalah sebanyak 89 peratus,  manakala 10 peratus dari audio (pendengaran) dan satu peratus dari sumber yang lain. Begitu juga dalam kehidupan manusia lebih mudah untuk mengingati seseorang melalui penglihatan. Justeru dalam konteks memimpin, seseorang itu mesti memenangi hati orang lain melalui pandangan mata mereka.

Peribahasa Melayu sangat terkenal dengan ‘setiap perkara baik hendaklah dijadikan teladan dan yang kurang baik hendaklah dijadikan tauladan. Ini bererti, setiap perkara baik hedaklah dijadikan panduan manakala perkara buruk perlulah ada garis pemisah dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, seseorang pemimpin yang baik akan menunjukkan budi pekerti yang baik manakala seseorang pemimpin yang tidak baik adalah sebaliknya.

Dalam kepimpinan yang memberi teladan yang sempurna, baginda Rasulullah SAW adalah contoh yang sangat sempurna dalam apa juga sisi baginda sebagai seorang manusia. Kebijaksanaan, akhlak yang sempurna, emosi yang seimbang, hebat dan istimewa yang ada pada diri baginda tidak ada tolok bandingnya. Akhlak dan sifat baginda yang dididik oleh Allah SWT menjadikan baginda seorang insan yang sangat luar biasa. Justeru, sebagai manusia biasa tidak banyak sedikit, perlu kita teladani sifat dan akhlak baginda dalam apa juga ruang kehidupan ini.

Pada diri Rasulullah, baginda dididik dalam pelbagai tingkat kehidupan, baginda pernah berada dalam kehidupan kemiskinan, baginda pernah hidup sebagai insan yang kaya raya, baginda pernah juga menjadi pengembala kambing, baginda pernah juga menjadi ketua negara dan berkuasa. Namun sifat-sifat kesempurnaan (holistic) yang ada pada diri Rasulullah menyebabkan baginda tidak pernah mengubah jiwa, kasih sayang kecintaannya terhadap agama dan rakyatnya, bahkan baginda sentiasa meniup doa kepada mereka yang memusuhi dan membencinya.

Begitu tinggi nilai diri baginda yang tidak pernah terjejas oleh perbuatan buruk orang terhadapnya. Kasih-sayang dan cinta yang kuat sentiasa terpatri di dalam dirinya. Cintanya kepada kedamaian dapat dilihat melalui tindakan baginda dalam mempertahankan agama Allah dan membela agama agar dapat terus dinikmati nikmat Islam itu oleh umat yang seterusnya.

Dalam membina sesebuah bangsa, perkara utama yang perlu dibina adalah akhlak manusia. Inilah kehebatan baginda Rasulullah SAW yang membina ummah dengan membina keperibadian akhlak yang terpuji. Dengan terbinanya akhlak maka terciptakan adab-adab yang akan meletakkan manusia itu sebagai insan yang terserlah penciptaanya.

Sesungguhnya pada diri Rasulullah, baginda mempunyai akhlak yang sangat tinggi. Akhlak yang tinggi inilah yang mendapat pujian Allah SWT dan menjadikan baginda sangat sempurna. Akhlak adalah senjata terbesar baginda dalam mencari ilmu, dalam berdakwah, dalam menyantuni kawan dan lawan dan dalam kepimpinan baginda Rasulullah SAW. Bagi kita umat akhir zaman ini, teladanilah akhlak baginda kerana pada saat usia dunia yang semakin tua ini ramai manusia telah mula alpa untuk memelihara akhlak mereka. Justeru, ambillah iktibar dan teladanilah akhlak Rasulullah agar kita dapat membina nilai-nilai manusiawi yang tinggi di dalam diri.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 20 Disember 2017
WhatsApp
Scroll to Top