Tasawuf Ilmu Mendidik Diri

PROF. MADYA DR. KHALIF MUAMMAR A.HARRIS, Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS-UTM) dalam rancangan Tarbiyah yang bersiaran pada hari Jumaat jam 10.15 pagi di radio IKIMfm membicarakan tentang kepentingan pendidikan rohani dan tasawuf. Sebelum ini dibicarakan tentang pendekatan menyeleweng daripada ajaran Islam iaitu ekstrem radikal dan ekstrem liberal. Satu satu pendekatan pseudo-Salafi ialah mereka menolak tasawuf. Kita hidup di akhir zaman dan Baginda SAW sudah pun memberi isyarat apa yang berlaku di akhir zaman di mana akan adanya satu penyakit dalam tubuh umat Islam iaitu penyakit yang disebut “wahn” iaitu mencintai dunia dan tidak menyukai kematian. Topik mencintai dunia ini merupakan topik yang paling penting dalam  tasawuf kerana ajaran Islam tidak mengajar kita mencintai dunia  sebaliknya mencintai Akhirat di mana kita perlu menumpukan kepada Akhirat.

Dunia itu membawa makna “dekat”  dalam erti kata apabila manusia melihat segala perhiasan  dunia dengat terlalu dekat, ia menjadi hijab mengaburi kita daripada memandang Akhirat. Inala salah satu bentuk ujian yang Allah SWT turunkan kepada manusia untuk menguji adakah manusia ini benar-benar ingat kepada Allah SWT atau leka dengan dunia yang dekat pada pandangan mata kasar mereka sehingga melupakan kehidupan Akhirat yang kekal abadi.  Dalam al-Qur’an juga ada menyebut bahawa apabila manusia menyeleweng daripada jalan lurus mereka cuba menyalahkan syaitan sedangkan syaitan sendiri berlepas tangan dan tidak mengaku bahawa merekalah penyebab kesesatan manusia itu. Penyelewengan manusia salah satu disebabkan oleh penyakit “wahn” yang disebutkan oleh Baginda SAW itu sehingga disebabkan kecintaan kepada dunia menjadikan mereka hilang integriti, keruntuhan akhlak dan moral termasuk seperti memakan rasuah, menyalahguna kuasa.  Kedua, kecintaan dunia membawa kepada  pergaulan bebas yang melampaui garisan syarak dan ketiga ialah  menjadikan manusia berakhlak buruk.  

Baginda SAW turut berpesan agar manusia menjaga mulut dan kemaluan kerana kedua-dua organ ini menjadi penyebab utama ramai manusia yang dihumban ke dalam neraka. Sesiapa yang menjaganya, Baginda SAW memberi jaminan bahawa dia akan selamat.  Menjaga mulut ini antaranya ialah orang yang suka berbohong dan tidak memegang janji sepertimana maksud hadith yang menyebut tentang tanda-tanda orang munafik itu ialah orang yang tidak berpegang kepada janji, dan berbohong.

Apabila kita tanya kenapa umat Islam hari ini berperangai seperti sekarang, rasuah menjadi-jadi, akhlak buruk, hilang integriti dan lain-lain itu semua sebenarnya adalah manifestasi daripada penyakit-penyakit hati. Lalu ilmu tasawuf disusun bagi membanteras penyakit-penyakit hati ini. Ilmu tasawuf ini wujud di awal Islam lagi walaupun pada ketika itu mungkin tidak dinamakan ilmu tasawuf, tetapi di namakan dengan ilmu tazkiyatul nafsi, ilmu penyucian hati dan seumpamanya. Namun hakikat ilmu tasawuf itu telah lama wujud dengan nama-nama yang pelbagai dan mungkin juga tanpa nama tetapi amalan semata. Ini berdasarkan kepada hadith Baginda yang berbunyi mafhumnya “…ketahuilah bahwa dalam jasad itu terdapat segumpal darah, yang apabila ia baik maka baik pula seluruh jasadnya. Dan apabila ia rosak, maka rosak pula seluruh jasadnya. Ketahuilah bahwa segumpal darah tersebut adalah hati. (HR. Bukhari, Muslim). Maka ilmu tasawuf itu muncul bagi membaiki hati daripada segala penyakit-penyakit hati.

Tasawuf ditakrifkan sebagai “pengamalan syariat pada maqam Ihsan” sepertimana definisi yang diberikan oleh Prof. Dr.Syed Muhammad Naquib al-Attas. Daripada definisi ini jelas sekali kita dapati bahawa tasawuf itu adalah sebahagian daripada Syariat, bukan di luar seperti mana yang sering ditohmah. Apabila kita membicarakan tentang pendidikan, maka kita bicarakan pendidikan dari aspek rohani iaitu dalaman. Mereka yang mentohmah tasawuf itu sebagai pengaruh asing, luar, bidaah, dan bukan ajaran Islam maka mereka sebenarnya keliru dan tidak memahami hakikat tasawuf itu sendir dan tidak merujuk kepada ajaran tasawuf itu sendiri. Produk daripada tasawuf itu ialah akhlak yang mulia. Apabila sebahagian kelompok manusia itu menolak tasawuf, maka mereka telah mengenepikan akhlak tetapi lebih menjurus kepada perkara bersifat hukum hakam dan persoalan remeh temeh. Apabila kita mahu merubah manusia, perkara yang biasa terfikir oleh kebanyakan orang ialah menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang menyekat manusia. Tasawuf berbeza dan ia tidak mendidik manusia takutkan undang-undang tetapi sebaliknya supaya kesedaran itu muncul dari dalam diri manusia, tidak melakukan perkara-perkara dilarang dalam Islam bukan kerana takutkan undang-undang atau ada pihak penguatkuasa tetapi sebaliknya menginsafi bahaw Allah SWT itu Maha Melihat dan berdosa jika dilakukan perkara-perkara tersebut. Hari ini disebabkan pengabaian terhadap ilmu tasawuf, semakin berleluasa keruntuhan akhlak seperti buang bayi dan juga kehilangan integriti seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa menjadi-jadi.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 Oktober 2016
\"20161014-090827_p0\"
WhatsApp
Scroll to Top