IBNU Hajar Al-Asqalani dalam kitabnya Fathul Baari menukilkan bahawa ketika seorang Muslim bertemu dengan sesama Muslim pada waktu lebaran Aidilfitri, para sahabat Nabi mencontohkan untuk mengucapkan selamat hari raya dengan ucapan sekaligus menitipkan doa, “Taqabbalallahu minna wa minkum” yang bermaksud “semoga Allah menerima (puasa dan amal) dari kami dan (puasa dan amal) dari kalian”.
Ustaz Zul Ramli M.Razali yang bertindak sebagai naqib untuk Usrah Nurani di IKIMfm Jumaat lalu menekankan bahawa adat jika dijadikan adat semata maka tidak terlahir ibadat. Tetapi jika terkandung di dalam adat itu ilmu yang selari dengan kehendak Allah SWT maka ia akan tergolong dalam ibadat. Implikasi daripada itu adalah ia akan memberikan kesan besar pada hati dan jiwa pengamalnya.
Sesungguhnya, bagi hamba Allah yang beriman setiap amalnya akan di lakukan secara bersungguh-sungguh. Kemudian ditutup dengan doa dan harapan. Begitu juga dengan amalan dalam memberi dan menerima ucapan di hari yang cukup besar iaitu Hari Raya. Saat meraikan lebaran, sering diungkap ucapan Selamat Hari Raya dan lebih baik daripada itu, ungkapan doa taqabbalallahu minkum meniti dari bibir ke bibir. Ucapan itu di harap bukan sekadar ungkapan bersosial dan sapaan mesra semata tetapi dapat dilihat sebagai suatu doa dan harapan yang telah dititipkan oleh Baginda Rasulullah SAW untuk di amalkan dan di budayakan bersempena perayaan Aidilfitri.
Dalam Islam, satu ucapan yang baik di anggap sebagai sedekah sebagaimana sabda Baginda mafhumnya : “Jagalah kalian dari api neraka, walaupun dengan bersedekah sepotong kurma. Namun siapa yang tidak mendapatkan sesuatu yang bisa disedekahkannya maka dengan (berucap) kata-kata yang baik.” (HR Al-Bukhari). Setiap ucapan baik berpahala apatah lagi ucapan dilakukan bersalingan. Bak balas membalas dalam memberi, tentunya ia lebih baik dan mulia.
Selain itu, Ustaz Muhammad Fahmi Mohd Amin dan Saudara Dzulkifri Alias selaku rakan usrah di konti berpandangan ucapan doa itu sungguh sangat tepat. Setelah sebulan penuh berpuasa dan beramal di bulan suci Ramadan, kehadiran Syawal di sambut dengan budaya saling mendoakan agar amal-amal soleh yang di lakukan terutama puasa, diterima oleh Allah SWT.
Sesungguhnya, melakukan amal baik bukan berdasarkan nilaian manusia tetapi pengharapan kepada keredaan Allah SWT. Saat melafazkan ucapan yang berbentuk doa di hari raya ini menunjukkan sebahagian daripada kejayaan dan keberkesanan tarbiah Ramadan yang meletakkan kebergantungan penuh kepada Allah SWT. Setiap amal yang di lakukan bukan kerana inginkan pujian manusia tetapi mengharapkan penerimaan amalan-amalan tersebut oleh Allah SWT.
Ia selari dengan didikan Rasulullah SAW menerusi hadis yang diriwayatkan daripada Aishah RA mafhumnya : “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW bagimana kiranya saya mengetahui malam Lailatulqadar dengan tepat. Apa yang saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa yang berikut, “Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya engkau sentiasa memaafkan salah silap hamba lagi suka memaafkan oleh itu maafkanlah salah silapku.”
Jelas ia menunjukkan pengampunan Allah SWT adalah yang paling besar berbanding yang lain sehingga pada malam yang sangat besar maknanya itu. Jika diimbas kembali amalan sepanjang Ramadan yang lalu, pastinya ia terlalu sedikit berbanding pengharapan Rahmat daripada Allah SWT. Justeru, membesarkan harapan agar Allah menerima amalan-amalan yang sedikit itu pastinya umpama mengharap secangkir air walau tahu hanya yang ada setitik air dalam kedahagaan yang melampau. Ia pasti dianggap sekadar mimpi dan mustahil untuk berlaku. Tetapi tidak jika ia beserta Rahmat dan Kasih sayang Allah. Tiada yang mustahil untuk dikabulkan oleh Allah SWT. Oleh itu, minta dan saling berdoalah agar amalan yang sedikit ketika di bulan Ramadan yang lalu Allah angkat dan di terima berkat rahmat dan belasNya. Dan pastinya, doa itu akan lebih hebat kesannya jika beserta dengan diri dan hati yang bersih asbab pengampunan daripada Allah SWT.
Imam Al-Ghazali menasihatkan, jika ingin membina binaan yang besar maka persiapkan dasar dan asas yang kukuh. Justeru, taubat merupakan asas yang paling ampuh dalam binaan ibadat. Jika tidak masakan Rasulullah SAW yang maksum mempersembahkan taubatnya tidak kurang 70 kali sehari sebagaimana sabda Baginda : “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali.” (HR Muslim).
Semoga Ramadan yang lalu menatijahkan pengampunan daripada Allah SWT dan segala amalan yang menjurus kepada itu di kabulkan oleh Allah menerusi doa dan harapan yang di ungkapkan di hari hari mulia iaitu Aidilfiri. Moga Allah senantiasa menjaga keutuhan dan kebersamaan untuk saling mendoakan dikesempatan yang paling tepat setelah diri bersih daripada dosa dengan Allah dan sesama manusia ini. Seterusnya amalan ini menjadi budaya dan tradisi utama yang akan di wariskan ke generasi akan datang bersempena hari yang mulia, Hari Raya.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 Julai 2016