Tanda-tanda Besar Akan Berlakunya Kiamat

DI saat Allah ingin mematikan alam ini, sebelum itu akan timbul beberapa tanda besar yang berlaku pada akhir zaman. Munculnya Imam Mahdi adalah di antara tanda-tanda yang banyak disebut di dalam hadis Rasulullah SAW. Baginda bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi dan Abu Daud: “Dunia ini tidak akan berakhir sampai bangsa Arab dipimpin oleh seorang lelaki daripada ahlul bait (keluarga) ku, yang namanya sama denganku. Di dalam hadis yang lain, Baginda menyebut: “Andai dunia ini hanya berbaki lebih kurang sehari sahaja lagi, pasti Allah akan memanjangkan hari itu sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki daripadaku ataupun di kalangan keluargaku yang namanya sama dengan namaku. Dan nama ayahnya sama dengan nama ayahku. Ia memenuhi bumi, kebajikan dan keadilannya sebagaimana bumi ini telah dipenuhi dengan kenikmatan-kenikmatan yang sebelum daripada ini.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani melalui slot Mau’izati yang ke udara setiap Khamis, jam 5.15 petang di IKIMfm, turut berkongsi tentang hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud RA, Rasulullah SAW juga menyebut: “Al-Mahdi berasal daripada keluargaku. Keningnya lebar dan hidungnya mancung. Ia akan memenuhi bumi ini dengan kebajikan dan keadilan, sebagaimana bumi ini dipenuhi dengan kenikmatan dan dia berkuasa selama tujuh tahun sahaja. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah, menyebut Rasulullah berkata: “Al-Mahdi berasal daripada keturunanku di sebelah anakku Fatimah. Al-Mahdi akan keluar pada akhir zaman. Allah akan turunkan hujan untuknya dan bumi akan menumbuhkan tanaman-tanamannya. Kemudian harta benda akan dibahagikan secara adil pada waktu itu, banyak ternakan dan umat menjadi mulia dan hidup di antara tujuh sehingga lapan tahun sahaja.” Baginda juga menyebut, “Jika kalian telah melihat bendera hitam yang keluar daripada Khurosan, datangilah dia walaupun harus dengan merangkak di atas salji kerana di sana ada khalifah Allah iaitu Imam Mahdi.”(HR Al-Hakim).

Sifat fizikal seorang lelaki yang dikenali sebagai Imam Mahdi ialah, dia memiliki kening yang lebar, hidungnya mancung, alisnya tipis memanjang dan keduanya terpisah. Dia juga mempunyai bola mata yang hitam dan besar, giginya bersih berkilat dan memiliki tahi lalat di pipi kanannya. Wajahnya bersinar seperti bintang yang cemerlang, berjanggut tebal dan dibelakangnya ada tanda-tanda kenabian. Kedua-dua pehanya kurus dan warna kulitnya seperti orang Arab, dan susuk badannya tegap. Nada bicaranya agak berat, jika lambat berbicara dia akan memukul peha kirinya dengan tangan kanannya. Di dalam riwayat menyatakan bahawa Imam Mahadi berumur di antara 30 hingga 40 tahun. Dia adalah seorang yang khusyuk kepada Allah sebagaimana khusyuknya burung Nasar dengan sayapnya. Akhlaknya mirip akhlak Baginda Rasulullah SAW.

Tanda-tanda lain ialah bumi akan mengeluarkan hasil daripada sumber seperti tiang-tiang daripada emas dan dia akan mengayakan hati manusia dan banyak keberkatan di muka bumi ini apabila datangnya Imam Mahdi. Selain itu, akan kelihatan gunung emas dengan surutnya Sungai Furat, berlakunya gerhana bulan pada awal bulan Ramadan dan gerhana matahari pada bulan pertengahannya, yang merupakan dua kejadian yang belum pernah berlaku sejak terciptanya langit dan bumi. Pada ketika itu juga akan munculnya bintang berekor yang bersinar, api besar akan menyala pada sebelah timur selama tiga atau tujuh malam di dalam keadaan langit yang gelap. Warna merah akan menyebar di langit tetapi warnanya tidak seperti merahnya ufuk yang biasa dilihat.

Seluruh bumi akan diseru dan setiap yang memiliki bahasa mendengar panggilan itu mengikut kesesuaian bahasa masing-masing. Menurut Ibnu Kathir di dalam kitabnya al-Fitan wal Malhim, mengatakan: “Saya mengira bahawa munculnya Imam Mahdi ini setelah Nabi Isa sudah ada di muka bumi pada ketika itu.” Rasulullah SAW juga pernah bersabda, “Isa bin Maryam turun, maka pemimpin mereka adalah Imam al-Mahdi. Dan dia akan berkata “Jadilah imam solat kami”. Nabi Isa menjawab, “Tidak, sesungguhnya sebahagian kalian adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain sebagai penghormatan daripada Allah kepada umat ini.”

Tanda kedua akan berlakunya hari Kiamat ialah apabila keluarnya Dajal yang merupakan manusia yang diberi oleh Allah pelbagai kemampuan yang tidak mampu dimiliki oleh manusia lain. Dajal juga diciptakan Allah sebagai ujian dan cubaan keimanan kepada umat manusia dan merupakan fitnah yang terbesar pada akhir zaman. Rasulullah SAW telah mengingatkan kita untuk tidak menjadi pengikut kepada Dajal. Dinamakan al-Masih kerana tidak mempunyai mata kiri dan melihat dengan  satu mata sahaja, dan ada pendapat yang menyatakan Dajal dinamakan sedemikian kerana dia mendatangi seluruh tempat di muka bumi ini untuk membawa kesesatan pada umat manusia. Dajal merosakkan manusia dengan mengakui dirinya sebagai penguasa alam dan mengajak manusia beriman (tunduk) dengannya. Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Dajal itu buta dan Rabb kalian tidak pernah buta.”

Dajal tidak disebut di dalam al-Quran kerana terdapat hikmah yang tertentu, sebagaimana firman Allah di dalam Surah al-Anam, ayat 158: “Pada hari datangnya sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu, atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya..”Ayat ini diterangkan oleh Rasulullah menerusi sabdanya, “Ada tiga tanda hari kiamat yang apabila ketiganya sudah muncul, iman seorang yang tidak beriman sebelumnya tidak berguna lagi. Ketiga-tiga tanda tersebut ialah munculnya Dajal, munculnya binatang-binatang yang besar melata dan terbitnya matahari di sebelah barat.” Sebab kedua ialah di dalam al-Quran sudah memberi isyarat akan turunnya Nabi Isa AS. Firman Allah di dalam Surah An-Nisa, ayat 159: “Tidak ada seorang pun dari kalangan ahli Kitab melainkan ia akan beriman kepada Nabi Isa sebelum matinya dan pada hari Kiamat kelak Nabi Isa akan menjadi saksi terhadap mereka.”

Ciri-ciri fizikal Dajal ialah dia seorang yang pendek, kedua kakinya bengkok dan langkahnya tempang. Bola matanya seperti buah anggur yang menonjol keluar, sedangkan mata kirinya buta, berkulit putih, keningnya lebar, di antara kedua matanya tertulis ‘kafir’ yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang dapat menulis atau tidak. Selain itu Dajal juga mandul dan tidak mempunyai keturunan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 Mei 2016
\"2016-05-05\"
WhatsApp
Scroll to Top