DALAM rancangan Topik Jumaat di radio IKIMfm, ulama terkenal dari Indonesia, Tuan Guru Sheikh Rohimuddin Nawawi al-Banteni membicarakan tentang “syariat, tarekat, dan hakikat”, suatu istilah yang sering disalahfahami dan mengelirukan bagi sesetengah masyarakat. Sebelum ini, telah dijelaskan bagaimana kisah Sayyidina Jibril AS yang datang bertemu Nabi SAW ketika Baginda SAW bersama-sama para sahabat untuk mengajarkan apa itu Islam. Sehingga selepas itu muncullah apa yang dikatakan rukun Islam, rukum Iman dan Ihsan. Selain itu turut disebutkan tentang apakah antara alamat-alamat Hari Kiamat. Hadith ini menjadi asas pegangan yang kuat dan dalil tentang wujudnya aspek batin, atau ruhani iaitu dalam hal yang dinyatakan sebagai “ihsan” iaitu “kamu menyembah Allah seolah-olah melihatnya, dan jika kamu tidak melihat Allah, yakinlah dia melihatmu”.
Melalui rukun Islam, rukun Iman dan Ihsan itulah munculnya apa yang dikatakan syariat, tarekat dan hakikat. Syariat itu biasanya ia merujuk kepada pengamalan rukun Islam itu, seperti Solat, Puasa, Zakat dan lain yang secara umum dan kebiasaannya bersifat lahiriah. Iman itu pula biasanya merujuk kepada akidah atau pegangan tauhid manakala Ihsan itu biasanya diterjemahkan sebagai ilmu tasawuf. Jalan atau metode bagi mengikut tasawuf ini pula dikenali sebagai jalan tarekat.
Syariat ini sebenarnya mencakupi Islam dan Iman manakala Hakikat ialah Ihsannya, dan tarekat ialah bagaimanakah untuk menghidupan iman, menyuburkan Islam dan mendapatkan hakikat. Islam ialah agama tauhid. Iman yang benar akan menyuburkan pengamalan Islam kita. Bagaimanakah untuk mendapatkan iman yang benar agar iman itu bukan sekadar bersifat akali, atau ilmu semata-mata tetapi meresap masuk ke dalam kalbu dan hati-hati kita. Untuk mendapatkan iman yang benar inilah maka perlu kepada pendekatan tarbiyah yang dikenali sebagai tarekat, iaitu metode atau kaedah bagi mencapai iman yang mantap, sahih atau disebut oleh para ulama tasawuf sebagai “hakikat” iman yang sebenarnya.
Hakikat lebih bersifat batin atau ruhiyah, atau akhlak. Di sisi para ulama tasawuf menyebut, jika hakikat dan syariat ini selari maka bermakna dia telah mengikut Nabi SAW dengan secara sempurna kerana Nabi SAW bukan sekadar amalan luaran atau lahiriah semata-mata. Sebagai contohnya, bersedekah walaupun perbuatannya luarannya ialah memberi sesuatu tetapi dari segi dalamannya, atau ruhiyyahnya ia mesti pemberian itu ikhlas, bukan mahukan pujian manusia. Bersedekah juga tidak boleh diungkit-ungkit pemberian tersebut maka jika diungkit-ungkit pemberian tersebut ianya sudah tidak ikhlas lagi, dan sudah tidak selari dengan apa yang diajarkan oleh Baginda SAW. Orang yang bersedekah mempunyai pelbagai tujuan, ada yang inginkan pujian manusia, ada yang inginkan dipilih sebagai pemimpin, ada yang ingin digelar dermawan dan ini semua tujuan yang tidak betul dan tidak menepati syariat Islam, Pemberian yang benar ialah kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT semata.
Ketika kita beribadah, biasanya pergerakan fizikal kita sahaja yang beribadah tetapi jiwa dan rohani kita biasanya tidak terfokus kepada ibadah yang kita lakukan itu. Maka untuk menjadikan ibadat kita bukan semata-mata pergerakan fizikal sahaja tetapi termasuk juga roh atau jiwa kita, maka tarekat adalah pendekatan tarbiyyah untuk mendidik agar hati kita khusyuk dan ikhlas kepada Allah SWT. Adakah perlu kita mengikut tarekat-tarekat tertentu? Yang perlu ialah kita mengikhlaskan hati kita ketika beribadat, mendapatkan khusyuk dalam solat kita, membuang segala sifat-sifat keji dalam jiwa kita dan sekiranya dengan mengikut tarekat maka ia mampu membantu mengikhlaskan hati kita dan mendapatkan itu semua maka ia menjadi wajib bagi kita mengikutinya. Sebab itu para ulama seperti Imam al-Ghazali, Sheikh Abdul Samad al-Falimbani menyebut bahawa mempelajari ilmu tasawuf itu salah satu fardhu ain bagi setiap orang. Tokoh sufi terkenal Sheikh Abu’l Hasan al-Shadhili menyebut “sesiapa yang tidak menyibukkan dirinya dalam mempelajari tasawuf, dibimbangi ia mati dalam keadaan melakukan dosa-dosa besar tanpa ia menyedarinya”.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 12 Disember 2017