KUALA LUMPUR, 14 Mac (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj Mohd Na’im Mokhtar hari ini mengisytiharkan Surau Haji Mohammed Sanusi (SHAMS) di Menara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai Surau Diri Jumaat.
Beliau berkata surau ini membolehkan bukan sahaja warga kerja MAIWP untuk solat Jumaat di sini bahkan masyarakat setempat untuk sama-sama mengimarahkan surau ini.

“Surau ini akan dapat diimarahkan dengan pelbagai program dan menjadi pusat pendidikan, pusat ukhwah dan bantuan bukan sahaja buat kakitangan MAIWP bahkan masyarakat setempat beroleh manfaat atas surau ini,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengisytiharan Surau Jumaat SHAMS di sini, hari ini.

Surau ini dinamakan bersempena Allahyarham Haji Mohammed Sanusi bin Baki, seorang pewakaf utama yang telah mewakafkan hartanahnya di Kampung Sungai Penchala untuk pembinaan Masjid al-Hidayah. Sumbangan besar beliau dalam memperkasa institusi Islam diraikan melalui penamaan surau ini agar legasi amal jariahnya terus dikenang.
Dalam ucapannya, Mohd Na’im menyeru agar surau ini dimanfaatkan dan semoga dapat menjadi tempat iktikaf dan kukuhkan tali silaturrahim.

Surau yang boleh memuatkan sekitar 600 jemaah ini diharap dapat memperhebat Menara MAIWP yang bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pentadbiran yang cekap, tetapi juga menjadi tempat yang diberkati dengan kehadiran rumah Allah yang sentiasa diimarahkan.
Ini selaras dengan usaha memperkukuh institusi Islam dalam kehidupan masyarakat moden.
Mohd Na’im kemudian menunaikan solat Jumaat bersama kakitangan MAIWP dan jemaah yang hadir hari ini.
Turut hadir Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.
