KUALA LUMPUR, 13 Mac (IKIM) – Gunakan peluang bulan Ramadan ini untuk perbanyakkan amalan kebaikan dan memberi kepada mereka yang memerlukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata jadikan Ramadan ini peluang untuk mengikut contoh meraka yang sering memberi inspirasi untuk buat banyak kebaikan dan menyumbang kepada yang memerlukan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Iftar Ihsan Ramadan di sini hari ini.
Program anjuran Yayasan Ihsan Rakyat dan My#InfaqIhsan ini bertujuan menyantuni seramai 30 anak yatim dari Rumah Penyayang Darul Ilmi Gombak. Turut diraikan dalam majlis ini ibu-ibu tunggal dari beberapa pertubuhan antaranya Pertubuhan Jalinan Ikatan Ummah Selangor, Pertubuhan Kebajikan al-Firdausi, Ibu Tunggal dari Surau al-Kauthar Wangsa Melawati dan Ibu Tunggal dari Surau As-Saddiqin Bandar Tasek Puteri Rawang.
Mohd Na’im dalam ucapannya turut berpesan kepada anak-anak yang hadir tentang kepentingan menjaga solat dan belajar dengan baik bagi mencapai kejayaan dalam pelajaran.

Beliau sebelum itu turut melancarkan e-book bertajuk Hijrah Qolbuku hasil karya Datuk Rozanna Dato’ Hj. Rahmat, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Ihsan Rakyat.
Buku tersebut berkongsi kisah dan memberi inspirasi kepada khususnya wanita dalam proses penghijrahan.