Suraqah bin Malik

PADA suatu pagi, bangsa Quraisy kelihatan begitu geram. Di tempat mereka berkumpul, telah tersebar berita bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW telah berjaya meninggalkan Kota Makkah. Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany memulakan segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm minggu lalu dengan berkongsi kisah mengenai Suraqah bin Malik.

Para pembesar Quraisy sukar mempercayai hakikat bagaimana Baginda boleh pergi meninggalkan Makkah dan melapasi kepungan-kepungan mereka. Mereka kemudiannya mula mencari Baginda di setiap rumah keluarga Bani Hashim. Mereka juga mencari di rumah-rumah para sahabat Baginda hinggalah mereka mendatangi rumah Abu Bakar As-Siddiq. Lalu keluar puteri Abu Bakar, Asma’. Abu Jahal lantas bertanya “Di manakah bapamu wahai puteri?”Asma’ menjawab “aku tidak tahu di mana dia berada sekarang”. Lalu Abu Jahal mengangkat tangannya dan memukul Asma’ sehingga Asma’ tersungkur ke tanah.

Para pembesar Quraisy bertambah bimbang saat mereka berasa yakin bahawa Nabi Muhammad telah meninggalkan Kota Makkah. Mereka kemudiannya menyiapkan beberapa orang yang pakar mencari jejak untuk mencari jejak dan menunjukkan jalan yang dilalui oleh Baginda. Namun pencarian mereka tidak berhasil.

Pencarian Baginda Muhammad SAW tidak terhenti di situ. Mereka mengumumkan kepada semua kabilah di Makkah mahupun di luar Kota Makkah bahawa sesiapa yang berjaya membawa Muhammad hidup atau mati, maka orang itu akan dihadiahkan dengan seratus ekor unta yang terbaik. Pada ketika itu, Suraqah bin Malik al-Mudlaji berada dalam satu kumpulan kaum di Kudait yang tidak jauh dari Kota Makkah. Tiba-tiba datang seorang utusan Quraisy, memberitahu tentang hadiah besar yang akan diberikan oleh pembesar Quraisy bagi siapa yang mampu menangkap Muhammad hidup atau mati. Tatkala Suraqah mendengar tentang habuan tersebut, sifat tamak mula datang pada dirinya. Namun, dia masih memampu menahan diri tanpa berkata sesuatu pun. Tidak menunjukkan reaksi seolah-olah dia akan merebut ganjaran tersebut.

Suraqah dengan perasaan tamaknya bangun dan meninggalkan kaumnya yang lain. Belia kemudian pulang ke rumah dan memberitahu budak suruhannya dengan nada yang cemas agar mempersiapkan kudanya. Beliau kemudian membawa senjatanya serta mengenakan pakaian perang dan pergi untuk mendapatkan Muhammad sebelum diketahui oleh orang lain. Suraqah bin Malik ini terkenal sebagai penunggang kuda yang ternama. Beliau memiliki susuk tubuh yang tinggi dan tegap. Beliau juga sangat hebat dalam mencari jejak orang yang hilang. Lalu pergi Suraqah menelusuri laluan yang disangka laluan yang digunakan oleh Rasulullah SAW. Dalam perjalanan, kuda Suraqah telah tersadung dan menyebabkan Suraqah jatuh daripada pelana.

Tidak jauh daripada tempat kudanya terjatuh, Suraqah perasan akan kelibat Rasulullah SAW dan kedua sahabatnya. Maka Suraqah segera untuk mengambil busur panahnya, tetapi tubuhnya kaku dan dia tidak mampu bergerak dari tempatnya. Lalu Suraqah melihat ke arah Baginda Rasulullah SAW dan sahabatnya lantas berteriak memanggil mereka. “Wahai kalian yang berada di sana, tolonglah kalian berdoa kepada tuhan kalian untuk melepaskan kaki kudaku. Aku akan membiarkan kamu pergi”.

Berkat doa Baginda dan sifat pengasih Allah SWT, maka terlepaslah kaki kuda Suraqah. Akan tetapi sesudah itu, ketamakan mula menguasai Suraqah lantas mula menghentak kudanya untuk mengejar Rasulullah SAW. Maka pada ketika itu, sekali lagi tiba-tiba kaki kuda Suraqah terbenam ke tanah bahkan lebih dalam daripada sebelumnya. Suraqah sekali lagi meminta tolong kepada Baginda SAW dan berkata “Wahai Muhammad, kalian boleh mengambil bekal, barang dan senjataku. Kalian dapat memegang janji-janjiku ini bahawa aku akan menghalang orang lain daripada mengejar kalian di belakangku”. Maka Rasulullah SAW berkata kepada Suraqah “Kami tidak memerlukan barang dan bekalmu wahai Suraqah. Akan tetapi, suruhlah manusia yang mengejar kami untuk kembali.” Kemudian, Rasulullah SAW berdoa dan kuda Suraqah dapat terlepas daripada keadaan terbenam itu. Tatkala Suraqah beredar meninggalkan Rasulullah dan sahabatnya, Baginda berseru kepada Suraqah “Apa pandanganmu wahai Suraqah bila engkau nanti akan mengenakan gelang-gelang Raja Kisra?” Suraqah bertanya dengan kehairanan “Apakah itu Kisra bin Hurmus yang engkau maksudkan?” Maka Rasulullah SAW menjawab “Benar, Kisra putera Hurmus dan satu hari nanti akan diberikan gelangnya kepadamu”. Maka Suraqah berkata “Wahai Muhammad, aku yakin bahawa agamamu akan muncul dan urusanmu juga akan hebat. Berjanjilah kepadaku bahawa engkau akan memuliakan aku bila aku datang ke dalam kekuasaanmu. Tuliskanlah janjimu itu kepadaku.” Baginda meminta Abu Bakir menuliskan janjinya akan jaminan keamanan kepada Suraqah dan janji Suraqah akan diberikan dengan gelang Raja Parsi.

Kembalilah Suraqah ke kampung halamannya dengan menelusuri jalan yang sama. Beliau mendapati ramai yang cuba menjejaki Rasulullah SAW dan setiap kali mereka terserempak dengannya, beliau mengatakan “Aku telah mencarinya dari seluruh penjuru bumi. Kalian telah tahu kemampuanku untuk mencari. Aku tidak menemui di manapun jejak Muhammad di arah ini”. Suraqah telah menyembunyikan kisahnya dengan Nabi SAW sehinggalah diyakininya bahawa Baginda telah tiba di Madinah.

Hari terus berganti sehinggalah Baginda SAW yang dahulunya berhijrah meninggalkan Makkah kerana terusir, kini telah tiba saatnya Baginda kembali ke Makkah sebagai seorang pemimpin dan penakluk yang dkelilingi oleh para penyokongnya. Para pembesar Quraisy yang dahulunya menghiasi muka bumi dengan kesombongan dan keangkuhan, kini mereka mendatangi Muhammad dengan rasa takut dan penuh harap. Mereka meminta belas kasih dengan Muhammad dan berkata “Apa yang engkau lakukan terhadap kami?” Nabi SAW bersabda kepada mereka dengan kelembutan seorang nabi “Pergilah kerana kalian semua bebas merdeka”.

Pada saat itu datang Suraqah bin Malik bertemu Rasulullah SAW untuk menyatakan keislamannya di hadapan Baginda. Beliau membawa surat perjanjian dengan Rasulullah SAW yang pernah ditulis sepuluh tahun yang lalu. Suraqah kemudian pergi kepada Rasulullah SAW melintasi lautan kaum Ansar dan menyatakan keislamannya kepada Baginda. Selang beberapa bulan setelah Suraqah bertemu dengan Baginda SAW, Baginda telah wafat dan Suraqah berasa amat sedih. Saat itu juga Suraqah sentiasa mengulangi sabda Baginda mengenai gelang Raja Parsi yang pernah dijanjikan dulu. Peristiwa itu kemudiannya berlaku pada zaman Khalifah Umar al-Farouq ketika kerajaan Parsi dikalahkan oleh tentera Umar. Mereka juga berjaya mendapat harta rampasan yang begitu banyak. Tatkala harta tersebut diserahkan kepada khalifah, beliau melihat satu persatu harta tersebut. Pada saat itu, Khalifah memanggil Suraqah bin Malik lalu memakaikan pakaian Raja Kisra serta gelang milik raja Parsi itu. Maka saat itu, menangislah Suraqah kerana terkenangkan akan janji yang telah dibuat oleh Baginda SAW.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 Jun 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top