Hati Dekat dengan Allah SWT

ISLAM itu agama yang indah kerana diciptakan oleh kuasa yang tiada tolok bandingnya. Apabila Allah SWT menciptakan setiap manusia, Allah lebih tahu, lebih faham dan lebih berkuasa menentukan apa yang terbaik bagi setiap ciptaanNya.

Menerusi rancangan Islam itu Indah, Ustaz Muhidin Mokter berkata sesungguhnya tidak terhitung nikmat yang Allah kurniakan kepada setiap hambaNya. Bahkan jika Allah mahukan kebaikan kepada hambaNya Allah akan berikan kebaikan kepadanya.

Bulan Ramadan yang penuh kemuliaan ini hendaklah digunakan bagi setiap umat Islam untuk meraih cinta Allah SWT. Melalui setiap amal ibadat yang dipersembahkan hendaklah dilakukan hanya untuk Allah SWT. Malahan bulan Ramadan ini hendaklah dijadikan momentum untuk meraih keampunanNya seterusnya apabila keluar sahaja dari bulan mulia ini, seseorang mukmin itu seperti bayi yang baru dilahirkan iaitu suci dari dosa dan noda.

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah untuk menunjuk jalan dan mengajar kepada manusia jalan dan perbuatan untuk dekat dengan Allah. Ada pelbagai amalan untuk manusia lakukan bagi menghampirkan diri mereka dengan Allah SWT.

Sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW, keihklasan dalam melaksanakan ibadat akan membuahkan rasa manis dalam melakukan amal ibadat kepada Allah. Rasa ikhlas tidak akan wujud dalam diri tanpa rasa iman dan perasaan kehambaan untuk beribadat hanya kepada Allah SWT semata-mata. Justeru Islam yang hadir sebagai penyuluh jalan hidup bukan hanya mengurus hal-hal berkaitan duniawi semata tetapi perkara-perkara yang dilaksanakan dijadikan sebagai jambatan menuju kampung akhirat yang kekal abadi.

Bagaimana untuk hampir dengan Allah SWT?, sebagaimana yang diajar oleh baginda Rasulullah dengan cara merasai atau membayangkan bahawa Allah SWT begitu hampir dengan kita. Dengan cara ini akan membina satu perasaan kerohanian yang tinggi bahawa setiap amal perbuatan kita berada di bawah pandangan Allah.

Jika merasa diri kita hampir dengan Allah, apa juga yang kita lakukan sama ada ibadat-ibadat harian atau melaksanakan urusan harian dalam kehidupan akan melahirkan rasa ketekunan dan keikhlasan kerana setiap amalan itu tidak lain dipersembahkan hanya untuk Allah SWT semata-mata.

Jika mahu menilai sama ada kita hampir atau sebaliknya dengan Allah SWT, ianya dapat dilihat melalui sikap kita ketika berdepan sebarang ujian atau musibah. Ini kerana iman seseorang itu tidak akan dapat dinilai melainkan pada saat dia menerima ujian. Orang yang ikhlas dan dekat dengan Allah akan menerima apa juga ujian itu dengan hati yang tenang dan lapang. Setiap kesulitan dilalui dengan penuh rasa redha dan sabar, kerana dia percaya setiap yang berlaku itu adalah kehendak Allah yang pasti akan ada kebaikan dihujungnya.

Kecintaan kepada Allah menjadikan seseorang mukmin itu sentiasa berdamai dengan takdir Allah. Orang yang selalu dalam hatinya penuh sifat redha tidak akan merungut atau merasa keluh kesah biarpun keinginannya tidak tertunai kerana yakin Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat dirinya. Nilai orang yang hampir dengan Allah selalu merasa damai dengan kehendak Allah.

Ini kerana setiap manusia tidak akan dapat memenuhi segala tuntutan nafsunya yang terlalu banyak. Namun, rasa cinta yang tinggi kepada Allah dapat menutup nafsu dan kehendak diri yang pelbagai. Dalam kehidupan seseorang yang merasai keimanan kepada Allah SWT akan meletakkan Rasul dan ummah itu sebagai keutamaan dalam hidup. Justeru keperluan agama menjadi keutamaan berbanding dengan keutamaan nafsu sendiri.

Hati yang dekat dengan Allah SWT, akan selalu basah dengan zikrullah. Bahkan menyebut-nyebut nama Allah, membesarkan Allah dan mengingati Allah akan menyuburkan hati untuk terus hidup dengan kebesaran Allah SWT. Orang yang hatinya hidup dan subur dengan selalu mengingati Allah akan berasa bahagia yang hakiki dalam kehidupan ini. Sebab itulah orang-orang alim dan warak, wajah mereka selalu tenang pada saat berdepan ujian kerana merasa dunia ini hanya tempat persinggahan untuk mengumpul sebanyak mungkin pahala dan kebaikan sebelum menuju ke alam akhirat yang kekal abadi.

Perasaan kasih dan cinta sesama manusia adalah wadah cinta kita kepada Allah azawajala. Seseorang yang mencintai Allah akan juga mengasihi manusia lain kerana Allah. Justeru manusia yang hatinya penuh cinta dan kasih sesama manusia tidak sesekali memiliki perasaan menyakiti sesama insan. Tidak membenci makhluk yang lain malahan rasa cinta itu akan menjadikan mereka manusia yang berjiwa besar untuk terus menjalankan peranan sebagai hamba Allah di muka bumi ini.

Orang yang hatinya dekat dengan Allah, matanya selalu mengalir air jernih tanda keinsafan dan rasa takut terhadap kebesaran serta azab Allah. Hati yang dekat dengan Allah akan terpancar melalui akhlak, tutur kata dan perbuatan yang tawaduk dan penuh nilai kemuliaan diri yang tinggi.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 Jun 2017
\"\"
Scroll to Top