ALLAH swt berfirman “Dan demi sesungguhnya ! Kami telah menguji Nabi Sulaiman (dengan satu kejadian). dan Kami letakkan di atas takhta kebesaranyya satu jasad (yang tidak cukup sifatnya); kemudian ia kembali (merayu kepada Kami). Katanya : \”Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa melimpah kurnia-Nya\” (Surah Sad, ayat 34).
Nabi Sulaiman AS merupakan seorang rasul dan juga ketua kerajaan. Banyak iktibar yang boleh dipelajari daripada kisah perjalanan hidup baginda, antaranya ialah baginda segera meminta ampun dan petunjuk daripada Allah apabila melakukan sesuatu kesilapan. Kepada Allah juga baginda sering meminta pertolongan bagi memudahkan urusan pemerintahan. Susungguhnya di dalam al-Quran banyak perkara yang boleh diambil pengajaran bagi orang-orang yang cintakan kebaikan. Mukjizat adalah kelebihan luar biasa yang bertentangan dengan batas pemikiran manusia biasa yang dikurniakan kepada para Nabi dan Rasul bertujuan membuktikan kehebatan dan keesaan Allah SWT adalah benar kepada kaum kafir.Justeru, tidak hairanlah sejarah slam telah membuktikan bahawa kelebihan Nabi Musa a.s terletak kepada tongkatnya, Nabi Isa a.s. pula pada tangannya, Nabi Muhammad SAW pula diberikan kelebihan pada kitab Al–Quran. Tidak terkecuali Allah SWT turut mengurniakan kekuasaan yang luar biasa kepada Nabi Sulaiman yang mempunyai kelebihan pada cincinnnya. Mukjizat yang diberikan itu membolehkan baginda mampu berinteraksi dengan haiwan dan mengawal makhluk termasuk jin.
Menyambung kembali perbincangan yang menyentuh tentang “40 Ayat Berkenaan Kekeluargaan”, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin berkata Nabi Sulaiman AS pernah diuji kerana tidak memberi teguran saat isteri baginda melakukan kesalahan. Oleh itu, dalam konteks rumahtangga, Ustaz Muhammad menegaskan tentang pentingnya suami untuk memilki ‘naluri penjaga.’
Ia merujuk kepada tanggungjawab suami tersebut dalam memelihara ahli keluarganya daripada terjerumus melakukan perbuatan keji dan mungkar.Firman Allah SWT bermaksud: \”Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu (berhala) ,neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya) ,mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka ,dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah At-Tahrim, ayat 6). Berdasarkan ayat tersebut, suamilah yang bertanggungjawab menyelamatkan ahli keluarganya daripada dihumbankan ke dalam api neraka. Suami menyelamatkan ahli keluarga dengan cara mendidik mereka dengan ilmu agama. Mengajar mereka dengan ilmu fardu ain (ibadah khusus) termasuklah ibadah umum lainnya yang wajib diketahui oleh setiap orang Islam termasuklah ilmu tauhid.
Tegur menegur adalah salah satu perbuatan dan sikap yang baik pada pandangan Islam. Bersesuaian dengan kelemahan di dalam diri manusia yang memerlukan teguran untuk memperbaiki kesilapan diri. Dengan teguran, manusia akan sedar atas kesilapan, kelemahan dan kesalahan dalam diri. Menurut Muhammad lagi, bagi melahirkan ciri keluarga sakinah mawaddah wa rahmah, suami disaran membuat teguran kepada ahli keluarganya yang melibatkan ibu, saudara perempuan (jika kematian suami), isteri, dan juga anak perempuannya yang masih belum berkahwin.
Oleh yang demikian, sebagai pengemudi bahtera rumahtannga, suami perlu belajar dan memupuk diri untuk berani menegur ahi keluarganya. Misalnya, suami wajib menasihati isterinya dengan penuh bijaksana dan berhemah supaya isteri boleh menerima perintah menutup aurat dengan rela hati tunduk dan patuh pada perintah Allah. Rasulullah SAW ada berpesan agar setiap wanita itu dididik dan ditegur dengan penuh kelembutan.
Baginda SAW mengingatkan kita agar mereka tidak dibiarkan dengan kesilapan dan keingkaran kerana yang demikian akan membawa padah kepada si isteri. Setelah dinasihat dan diajar serta ditegur, sekiranya isteri masih lagi enggan menutup aurat maka suaminya tidak akan berdosa. Ini kerana suami sudah berusaha menyedarkan akan perintah Allah supaya menutup aurat, tetapi masih ingkar. Maka dosa keengganannya menurut perintah Allah akan ditanggung sendiri dan bukannya suami. Setiap manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Oleh sebab itu, setiap suami dinasihat untuk tidak jemu mempelajari dan mendalami teknik menegur pasangan isteri dan ahli keluarga yang terletak di bawah jagaanya. Sematkanlah di dalam diri agar sentiasa bangkit sebagai suami yang amanah dalam memelihara naluri penjaga dengan cara berhikmah dan betul.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 2 Oktober 2017