Imam Abu Muslim Al-Khaulani

TERDAPAT seorang dalam kalangan para Tabi’in yang termasuk dalam kalangan para wali yang terkenal dan bersih hatinya serta masyhur. Kalau kita berbicara tentang kebenaran, beliaulah buktinya. Kalaulah berbicara tentang zuhud, beliaulah orangnya. Beliau yang dimaksudkan ialah Imam Abu Muslim al-Khaulani RA yang diceritakan oleh Ustaz Muhadir Hj Joll menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh) yang bersiaran di IKIMfm pada pukul Isnin jam 5.15 petang.

Beliau memeluk Islam ketika zaman Baginda Nabi Muhammad SAW. Ketika beliau ingin berjumpa dengan Baginda Nabi di Kota Madinah, Baginda telahpun wafat. Beliau berasal dari Yaman dan tinggal di Syam. Allah SWT memuliakan beliau dapat mempeljari ilmu hadith daripad para sahabat Baginda SAW. Antaranya Saidina Umar ibn Al-Khattab, Saidina Muadz in Jabal dan ramai lagi. Terdapat kisah bagaimana beliau bertemu dengan Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar. Merujuk kepada kitab Bustanul ‘Aarifin karangan Imam Nawawi, disebutkan oleh Al- Hafidz Abu Tahir al-Salafi, ketika di Yaman dahulu terdapat seorang pemimpin, Al-Aswad ibn Qayyis al-Insi. Beliau merupakan seorang pembesar gagah yang menguasai sihir-sihir ketika zaman Jahiliyyah. Ketika Baginda Nabi SAW sakit, beliau mengambil peluang dengan mengatakan beliau juga seorang nabi. Oleh kerana beliau tahu tentang sihir, maka ramailah pengikutnya yang turut memperakui beliaulah nabi, tetapi tidak pada Abu Muslim al-Khaulani. Beliau bertanya kepada Abu Muslim “engkau bersaksi bahawa aku ialah pesuruh Allah?” Abu Muslim menjawab “aku tidak dengar”. Berulangan pertanyaan itu dilontarkan, maka jawapannya tetap sama. Lalu ditanya “Apakah kamu bersaksi bahawa Muhammad itu Rasulullah?” Abu Muslim mengatakan benar. Bertambahlah kemarahan Al-Aswad lalu disuruh menyediakan unggun api yang sangat besar dan dilemparkan Abu Muslim Al-Khaulani ke dalam api tersebut. Namun dengan izin Allah SWT, api tersebut tidak mematikan Abu Muslim dan beliau terselamat daripada bakaran tersebut.

Apabila terselamat, maka penasihat-penasihat Al-Aswad mencadangkan agar dibuang sahaja Abu Muslim  negeri tersebut. Apabila dibuang itu, Abu Muslim memilih untuk menuju ke Madinah Al-Munawwarah. Tiba di depan masjid, beliau masuk dan solat di satu tiang did alam kasan masjid. Ketika itu, beliau diperhatikan oleh Saidina Umar ibn Al-Khattab. Saidina Umat mendekatinya lalu bertanya “dari mana kamu datang?” Beliau berkata dari Yaman. Saidina Umar bertanya lagi “apa yang terjadi pada seorang lelaki yang pernah dibakar oleh Al-Kazzab (Al-Aswad ibn Qayyis)?” Katanya “dia itu Abdullah ibn Thuab”. Saidina Umar dengan tidak puas hati sekai lagi bertanya “tolong beritahu aku, siapakah orangnya. Kamukah?” Beliau menjawab “Ya, benar, sayalah”. Lalu Saidina Umar pun memeluk beliau sambil menangis dan kemudian di bawa kepada Saidina Abu Bakar, beliau juga menangis.

Ketika itu di zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar dan beliau sangat gembira dapat berjumpa dengan Abu Muslim lantas mendoakan beliau “Segala puji bagi Allah SWT yang tidak mematikan aku sehingga aku jumpa dengan orang daripada umat Nabi Muhammad yang Allah SWT pernah buat pada dia sepertimana yang Allah SWT lakukanpada Nabi Ibrahim AS.” Begitulah kisah bagaimana berjumpanya Saidina Abu Muslim al-Khaulani dengan dua sahabat Baginda.

Imam Ahmad ibn Hanbal pernah mengatakan “kami dikhabarkan daripada Muhammad ibn Syuaib, daripada sebahagian para masyaikh berkata : ketika kami sampai ke negara Rom pada waktu akhir malam, kami melalui Umair, satu kawasan lebih kurang empat batu dari Khimsa. Maka keluar seorang rahib dari tempat ibadahnya dan berkata : Adakah kalian mengenali siapakah Abu Muslim al-Khaulani? Kami berkata : Ya. Kata Rahib itu : sekiranya kamu berjuma dengannya, tolong sampaikan salamku padanya. Dalam kitab yang kami baca menyebut beliau ini seperti seorang kawan dan pendamping kepada Isa ibn Maryam. Kamu nanti tidak akan jumpa dengannya melainkan beliau telah meninggal, baru kamu berjumpa dengannya.” Satu riwayat menyebut ketika para masyaikh itu sampai di satu tempat bernama Ghauzah, maka kami dapat berita yang beliau sudah meninggal dunia.  Disebutkan oleh Malik ibn Dinar “Ka’ab pernah melihat Abu Muslim al-Khaulani lalu bertanya siapakah dia. Maka orang pun menjawab, beliau Abu Muslim. Ka’ab lalu berkata : orang ini adalah orang yang sangat bijaksana daripada umat ini.” Dari segi ibadahnya Abu Muslim ini sangat luar biasa. Syurahbil berkata “datang dua orang lelaki berjumpa dengan Abu Muslim. Mereka mencarinya di rumah namun tidak berjumpa melainkan di masjid. Apabila jumpa di masjid, lama mereka menunggu untuk bertemu dengan Abu Muslim.”

Saidina Abu Muslim al-Khaulani meninggal pada tahun 62 Hijrah. Terdapat satu kisah mengenai kewafatan Abu Muslim yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Ibn Hanbal. Pada zaman Khalifah Muawiyah, berlaku satu kemarau panjang. Maka khalifah pun memangil orang ramai untuk pergi ke satu kawasan lapang dan bersama mereka ialah Saidina Abu Muslim al-Khaulani. Lalu kata Muawiyah “wahai Abu Muslim, kamu lihatkan keadaan meraka yang sangat teruk kerana kemarau panjnag ini? Cubalah kamu berdoa kepada Allah.” Lalu Abu Muslim katakan “apakah aku orang yang banyak dosa ini aku akan berdoa sedangkan aku punya banyak sangat kekurangan.”

Dengan sepenuh hati Khalifah Muawiyah minta agar beliau berdoa. Abu Muslim yang pada ketika itu memakai kopiah berdiri dengan penuh rasa kehinaan dan beliau buka kopiahnya dengan rasa penuh kehambaan dan rendah diri. Beliau kemudian menadah tangan dan berdoa “Ya Allah, sesungguhny kamu tahu bahawa kami datang ini ingin memohon hujan kepadamu dan aku ini diminta oleh mereka sedangkan aku datang padamu dengan banyaknya dosaku. Ya Allah, janganlah englau hampakan aku”. Habis berdoa, maka mereka semua pulang ke rumah masing- masing. Belum sempat mereka tiba di rumah, hujan mencurah-curah turun. Setelah hujan turun, Saidina Abu Muslim al-Khaulani terduduk seketika dan berdoa “Ya Allah, Muawiyah minta aku berdoa di depan orang ramai, maka aku pun berdoa dan engkau perkenankan. Seolah-olah telah menjadikan aku terkenal. Muawiyah telah meletakkan aku di makam sum’ah atau hebat. Doanya kepada Allah ketika itu “Ya Allah, Muawiyah telah meletakkan aku di kedudukan sum’ah dan takut-takut aku menjadi sum’ah begini. Kalaulah baik di sisi-Mu untuk aku ini meninggal, maka cabutlah nyawaku.” Maka, beliau meninggal pada hari Khamis, seminggu setelah peristiwa meminta hujan itu. Begitulah kisah keimanan dan ketokohan Saidina Abu Muslim al-Khaulani.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 3 Oktober 2017
\"\"
Scroll to Top