SOLAT dan kerja mempunyai hubungan yang rapat di antara satu sama lain. Ini kerana kedua-dua secara asasnya adalah ibadah yang saling berkait untuk menjadi penghuni syurga Allah SWT. Kerja ibarat seperti sebuah entiti bangunan, manakala solat pula seperti tapak dan tiang yang menguatkan sesebuah bangunan.
Dalam rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan di IKIMfm pada hari Rabu jam 10.15 pagi, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi berkata melalui solat seseorang manusia atau pekerja akan dapat melatih diri berkait budaya hidup yang lebih teratur dan tersusun. Dengan kata lain, solat dengan aturan waktu yang telah ditetapkan akan dapat melatih seseorang tentang disiplin diri dan waktu.
Justeru, perkara ini amat penting bagi seseorang pekerja untuk menjadi seorang pekerja yang komited dalam melaksanakan tugas mereka. Disiplin pekerja amat penting dalam sesebuah organisasi kerana pekerja yang berdisiplinlah yang akan mampu meningkatkan produktiviti dan menjayakan matlamat sesebuah organissai menuju kepada kejayaan.
Selain dapat membina disiplin diri, solat sebenarnya dapat meningkatkan integriti seseorang pekerja. Ini dapat dilihat melalui perbuatan solat itu sendiri, umpamanya bagi seseorang yang telah batal solatnya hanya dia dan Allah sahaja yang tahu akan perkara itu, jika ada nilai integriti dalam diri seseorang, pastinya mereka akan memulakan solatnya kembali, tetapi bagi yang tidak ada integriti dalam diri, mereka tidak akan mengambil endah tentang hal tersebut.
Solat yang benar-benar dihayati akan dapat membentuk jatidiri yang unggul di kalangan diri manusia. Ini amat penting bagi seseorang pekerja kerana nilai integriti inilah yang akan membina sifat-sifat mahmudah dalam diri manusia. Pekerja yang mempunyai nilai integriti yang tinggi akan dapat menghayati makna ibadah dalam pekerjaan, mengelak dari melakukan perbuatan yang menjurus kepada dosa seperti amalan rasuah, menipu dalam melaksanakan tugas, mencuri tulang, mengumpat dan perkara-perkara yang tidak baik.
Hakikatnya nilai integriti yang dibina melalui amalan solat ini akan dapat dilihat melalui perbuatan dan akhlak seseorang pekerja. Amalan-amalan solat itu sendiri dapat diterjemahkan oleh pekerja dalam setiap perbuatan dan pekerjaannya. Sebagai contoh, seseorang itu dibenarkan untuk menegur sikap majikan jika didapati melakukan kesilapan. Ini juga berlaku di dalam ibadah solat. Jika seseorang Imam terlupa atau terdapat khilaf seperti dalam bacaan ayat-ayat suci al Quran ketika mengimami solat, seseorang makmun boleh memperbaiki bacaan solat berkenaan.
Begitu juga jika majikan didapati melakukan kesilapan, seseorang pekerja boleh menegur kesalahan tersebut dengan cara yang berhemah dan tertib supaya tidak berlaku sebarang salah faham atau perkara-perkara yang boleh menjejas reputasi organisasi berkenaan.
Bagaimanapun majikan juga perlu lebih bersikap terbuka dalam menerima teguran kerana sebagai seorang manusia pasti tidak terlepas dalam membuat kesilapan. Kedua-dua pihak antara pekerja yang majikan yang memahami erti solat pasti dapat memahami bahawa antara pekerja dan majikan memerlukan antara satu sama lain.
Sesungguhnya keredhaan Allah SWT bukan hanya di tikar solat, tetapi keredhaan Allah SWT juga wujud di premis organisasi tempat kita mencari rezeki dan kehidupan. Justeru, jadikanlah premis kerja kita sebagai sejadah untuk kita mendapat keredhaan dan keberkatan hidup dunia dan akhirat.
Bekerja dengan penuh kesungguhan dan dalam masa yang sama melakukan amalan ibadah solat adalah dua perkara yang akan membina keperibadian yang tinggi dalam diri seseorang. Bekerja sebagai satu tanggungjawab untuk melunaskan amanah Allah merupakan perkara yang amat dituntut. Oleh itu, seseorang yang bekerja secara bersungguh-sungguh kerana mahu menunaikan kewajipan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini menenuhi tuntutan perintah Allah dalam melaksanakan amanah mereka.
Cara memberi kebaikan kepada orang lain adalah dengan bekerja atau berkhidmat merupakan perbuatan yang amat mulia. Seseorang yang memperelokkan perbuatannya melalui pekerjaan yang dilakukan secara bersungguh-sungguh akan disayang Allah SWT dan disenangi oleh manusia lain juga. Cuba bayangkan, jika ada pekerja yang rajin berusaha, gigih dalam melaksanakan tugas dan taat kepada perintah agama tentunya akan disenangi oleh majikan dan rakan-rakan seorganisasi.
Ini kerana seseorang yang faham akan tuntutan ajaran agama tidak akan sibuk untuk mendapat pujian atau mencari penghormatan manusia, tetapi apa yang penting adalah keredhaan Allah SWT. Justeru mereka ini tidak akan sibuk mencari kesilapan orang lain atau merungut dengan apa yang ada di sekeliling mereka, tetapi akan selalui bertindak dan berusaha bagaimana untuk memajukan organisasi tempat dia berkhidmat.
Sewajarnya tidak akan timbul sebarang konflik antara solatoliks dan workaholics kerana sewajarnya kedua perkara ini perlu bergerak seiring dan difahami secara seimbang. Seperti yang disebut oleh sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “Bekerjalah untuk duniamu seakan-akan engkau hidup selamanya. Beramallah untuk akhiratmu seakan-akan engkau akan mati besok”
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 26 April 2017