Jutawan Dunia Untuk Akhirat

HARTA yang kita miliki adalah kurniaan daripada Allah SWT. Sebaik-baik harta yang kita gunakan adalah demi membantu agama Allah dan digunakan ke jalan Allah SWT. Banyak contoh teladan yang boleh kita ikuti dalam menjadikan harta dunia ini untuk kegunaan kita di akhirat ini. Contoh terbaik adalah kisah Saidina Abdul Rahman bin Auf RA. Kisah beliau dikongsikan oleh Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany yang bersiaran menerusi segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm.

Abdul Rahman bin Auf merupakan salah seorang daripada lapan orang yang terawal memeluk Islam. Beliau juga merupakan salah seorang daripada sepuluh orang yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW. Beliau juga merupakan salah seorang daripada enam orang ahli syura yang dilantik oleh Saidina Umar al-Khattab dalam menentukan khalifah sesudah beliau. Ketika hayat Baginda Rasulullah SAW,  beliau sudahpun membimbing dan memberi fatwa kepada para sahabat. Namanya di zaman jahiliyyah ialah Abdu Amrin. Sesudah beliau memeluk Islam, Rasulullah SAW memanggilnya dengan panggilan Abdul Rahman.

Abdul Rahman bin Auf memeluk Islam sebelum Rasulullah SAW memulakan dakwahnya dan penyebaran Islamnya di dalam rumah Arqam bin Abi al-Arqam. Bahkan beliau merupakan orang yang memeluk Islam selepas Islamnya Abu Bakar as-Siddiq, selepas dua hari Saidina Abu Bakar memeluk Islam. Beliau merupakan orang yang didakwah oleh Abu Bakar untuk memeluk agama Allah SWT. Beliau mendapat nasib yang sama seperti mana sahabat yang lain memeluk Islam pada ketika itu yang terpaksa menahan pelbagai dugaan, cabaran dan tentangan daripada kaum keluarga dan masyarakat setempat. Namun mereka tetap sabr dan tabah serta membenarkan risalah yang dibawa oleh Baginda SAW.

Abdul Rahman ketika di awal pengislamannya, terpaksa melarikan diri dan berhijrah ke Habsyah untuk menyelamatkan imannya. Tatkala Rasulullah SAW mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar, maka Baginda mempersaudarakan Saidina Saad bin Rabiq dan Abdul Rahman bin Auf. Persaudaraan ini dengan harapan agar golongan Ansar dapat menolong saudara-saudara Muhajirin mereka yang datang berhijrah dalam keadaan serba kekurangan, tanpa harta dan keluarga.

Tatkala Saad bin Rabiq melihatkan saudaranya, Abdul Rahman bin Auf seorang yang miskin yang tidak memiliki satu harta pun, lantas beliau mengatakan “Wahai saudaraku, aku merupakan orang Madinah yang banyak harta. Aku mempunyai dua kebun dan aku juga mempunyai dua orang isteri. Maka engkau lihatlah pada kebunku yang mana satu engkau inginkan. Pilihlah. Akan ku berikan kepadamu. Juga pilihlah yang mana satu daripada isteriku yang engkau mahukan. Akan aku ceraikan salah seorang daripada mereka, untuk kamu”. Maka Abdul Rahman bin Auf mengatakan kepada saudaranya itu “mudah-mudahan Allah mmberkati engkau pada hartamu serta ahli keluargamu”. Abdul Rahman tidak mahu mengambil pemberian dan pelawaan saudaranya itu, bahkan beliau ingin berdikari menjadi seorang yang berjaya atas hasil usahanya sendiri.

Kemudian Abdul Rahman berkata “tunjukkan kepadaku, di manakah pasar?” Lalu ditunjukkan kepadanya dimanakah pasar serta Abdul Rahman berniaga secara kecil-kecilan yang akhirnya beliau mendapat sedikit keuntungan dan dikumpul. Tidak lama sesudah itu, cukuplah kewangannya untuk membayar mahar bagi mengahwinin seorang gadis Ansar. Ketika beliau melintasi Baginda SAW, Rasulullah dapat menghidu bau wangian yang kebiasaannya dipakai oleh orang Arab sesudah kahwin. Maka Baginda mengatakan “Tahniah wahai Abdul Rahman, awak sudah berkahwin kah”? Beliau menjawab “saya sudah berkahwin Ya Rasulullah”. Lalu Baginda bertanya “Apa yang engkau berikan sebagai mas kahwin kepada isterimu”? Maka katanya “sedikit daripada timbangan emas diberikan kepada isteriku”. Kemudian Baginda berkata “Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing. Mudah-mudahan Allah akan memberkatimu pada hartamu”.

Mendengarkan kata-kata itu, Abdul Rahman kemudian membuat kenduri dengan sedikit jamuan. Maka, sejak didoakan oleh Baginda akan keberkatan pada hartanya, “Dunia datang kepadaku” kata Abdul Rahman. Seolah-olah setiap apa yang diangkat, dibawahnya terdapat emas. Keuntungan sentiasa diperolehi.

Ketika peperangan Badar, Abdul Rahman ikut serta bersama Rasulullah SAW berjihad. Begitu juga di medan Uhud, beliau tidak berganjak di medan perang sekalipun angkatan Muslimin berkecamuk diserang musuh. Beliau tetap mempertahankan Rasulullah SAW sehinggalah beliau keluar dari medan Uhud itu dengan keadaan tubuhnya terdapat dua puluh luka yang sangat dalam sehinggakan satu-satu daripada lukanya boleh dimasukkan tangan seseorang. Begitulah semangat juang dan jihad Abdul Rahman di dalam peperangan. Namun jihadnya melalui harta lebih hebat jika dibandingkan dengan jihad peperangan beliau.

Saat Baginda ingin mengutuskan angkatan perang dan menyeru kepada para sahabat agar bersedekahlah untuk kita keluar berperang. Maka Abdul Rahman bersegera pulang ke rumahnya, lalu diambil sejumlah wang simpanannya dan beliau datang kepada Baginda SAW  dan berkata “Ya Rasulallah, saya ada empat ribu dinar. Daripada empat ribu ini, saya berikan kepada jalan Allah 2 ribu dan saya simpan 2 ribu untuk modal perniagaan saya”. Lalu Rasulullah SAW sekali lagi buat kepada Abdul Rahman “Mudah-mudahan Allah memberkati pada apa yang telah engkau berikan dan mudah-mudahan juga Allah memberkatimu pada harta yang engkau simpan”.

Saat Baginda berazam untuk menggerakkan angkatan tentera untuk perang Tabuk, maka Rasulullah SAW sangat-sangat berhajat kepada harta sebagaimana berhajatnya Baginda kepada angkatan perang. Sesungguhnya tentera Rom mempunyai bilangan yang ramai dan persediaan yang lengkap sedangkan ketika itu, Kota Madinah menghadapi situasi kering yangp menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan perniagaan yang agak merosot. Maka saat itu, Baginda amat berharap agar para sahabat dapat menginfakkan harta ke jalan Allah. Diantara para sahabat yang menginfakkan harta itu, ialah Abdul Rahman bin Auf . Beliau telah menghadiahkan sebanyak 200 Auqiyyah emas, sekitar 5580 gram emas. Sumbangan dan infak Abdul Rahman tidak terhenti di situ. Pelbagai situasi dan keadaan menyaksikan Abdul Rahman tampil untuk menyerahkan hartanya ke jalan Allah.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran, Surah at-Taubah ayat 111 yang bermaksud : Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga…”.  Maka Abdul Rahman merupakan contoh dan suri teladan yang harus kita contohi bagaimana seorang umat yang dibimbing oleh Rasulullah SAW yang menjadi orang yang sanggu mengorbankan nyawa bahkan seluruh hartanya untuk agama Allah SWT. Sejauhmana kehidupan kita dan kedudukan kita di sisi Allah SWT serta manusia adalah dengan sebanyak mana kita memberi.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 25 April 2017
Scroll to Top