Sifat-sifat Syurga

HILANGNYA nikmat beribadah di kalangan manusia seringkali berpunca daripada tidak dapat melihat gambaran disebalik keindahan ganjaran syurga. Rasulullah sentiasa bercerita tentang syurga untuk memberi rangsangan dan galakan kepada umatnya agar dapat mendorong keinginan mereka untuk menjadi penghuni syurga kelak. Menerusi sebuah hadis Qudsi, “Aku telah menyediakan syurga kepada hambaku yang salih. Sesungguhnya suatu pemandangan yang tidak pernah terpandang oleh pandangan mata dan telinga ini tidak pernah mendengar betapa indahnya syurga itu. Hati kita tidak pernah terdetik seindah ini syurga Allah.” Keinginan untuk menghuni syurga akan menyebabkan manusia berusaha untuk beribadah bagi memenuhi impian mereka.

Apabila Rasulullah SAW menyebut hadis ini, Abu Hurairah berkata, “Sekiranya kamu mahu, bacalah ayat ini, sebagaimana firman Allah di dalam surah As-Sajdah, ayat 17: “Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.” Tidak ada suatu pun benda yang terdapat di dalam syurga itu menyerupai bentuk dengan benda-benda yang terdapat di atas dunia kecuali pada namanya sahaja.

Selain itu digambarkan juga keadaan di dalam syurga melalui surah al-Baqarah, ayat ke-25, “Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: \”Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu\”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.”

Menerusi perkongsian di dalam slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, beliau turut menceritakan tentang tanah dan kerikil yang terdapat di dalam syurga. Tanahnya diperbuat daripada kasturi dan za’faran, seperti tepung berwarna putih yang lembut dan halus apabila disentuh. Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda, “Kemudian aku bergerak bersama malaikat Jibril sehingga ke Sidratul Muntaha.  Apabila tiba di suatu tempat yang ditutupi dengan warna-warna yang aku sendiri tidak mengetahuinya. Lalu dimasukkan aku ke dalam syurga dan melihat ada khemah yang cantik bergemerlapan dan apabila aku menyentuh tanah-tanah di dalam syurga, bagaikan kasturi.” Manakala di dalam hadis Sahih Bukhari dan Muslim, dan musnad Abu Ahmad, Abu Said al-Qudri meriwayatkan bahawa Ibnu Sayyad bertanya kepada Rasulullah SAW tentang tanah di dalam syurga dan Baginda menyebut ia berasal daripada butiran tepung yang putih bersih, dan lembut apabila dipijak menyamai nikmatnya memijak tepung-tepung.

Abu Hurairah bertanya kepada Rasulullah berkenaan asal ciptaan manusia dan Baginda menjelaskan manusia dicipta daripada air. Lalu beliau bertanya lagi dari apakah bangunan di dalam syurga diperbuat, dan Baginda menjawab batu-batanya daripada susunan emas dan perak, lantainya daripada minyak kasturi, kerikilnya daripada mutiara daripada yakut dan tanahnya daripada za’faran. Sesiapa yang memasuki syurga akan berasa senang, tidak akan pernah susah, kekal di dalamnya dan tidak akan mati. Pakaian mereka tidak akan buruk, malah semakin hari ia akan menjadi semakin cantik serta usianya sentiasa muda.

Khemah di dalam syurga menjulang setinggi 60 hasta, bilik-biliknya juga tinggi dan besar serta didirikan tempat-tempat yang tinggi di dalamnya. Rasulullah menceritakan bilik-bilik di dalam syurga ternampak daripada luar ke dalam, yang dalam nampak sehingga ke bahagian luar, sangat luas dan cantik. Orang yang boleh memasuki bilik ini ialah mereka yang sentiasa memberi makan kepada kawan-kawannya yang selayaknya. Selain itu mereka yang layak menghuni bilik ini adalah di kalangan orang yang lemah-lembut budi bicaranya, mereka yang sentiasa berpuasa sunat, serta mereka yang rajin solat pada waktu malam di saat manusia lain sedang tidur lena. Malah juga diriwayatkan oleh Baginda, manusia yang mendirikan solat sunat sehari semalam sebanyak 12 rakaat juga melayakkan mereka menghuni istana yang indah di dalam syurga Allah.

Disebut oleh Imam Ahmad yang diriwayatkan oleh Sahar bin Saad yang menyebut, Rasulullah SAW bersabda, “Orang yang masuk ke dalam syurga akan melihat khemah-khemah sebagaimana kalian melihat bintang-bintang yang bergemerlapan di dada langit.” Cantiknya khemah-khemah ini seperti melihat ia berterbangan seperti bintang-bintang membelah malam, demikian juga cantiknya ahli-ahli syurga itu. Daripada Abdullah bin Qais, Rasulullah menyebut lagi, “Khemah daripada mutiara itu berterbangan yang menjulang ke langit, jarak di antaranya setinggi 30 hasta. Di setiap sudut di dalam khemah itu terdapat keluarga-keluarga mukmin dan masing-masing tidak dapat melihat di antara penghuni khemah yang lain.”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 27 April 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top