MENGINGATI Allah adalah penawar bagi segala kesulitan, mendekatkan diri dengan Allah akan membina kekuatan bagi hati yang letih dan lemah dek kesusahan yang dilalui. Setiap yang diciptakan Allah ada kelebihan kerana Allah yang maha sempurna mencipta makhluk dengan keperluan dan keistimewaan tersendiri.
Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan setiap Rabu, jam 10.30 pagi di radio IKIMfm, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi menjelaskan tentang seseorang manusia yang mahu menjadi juara pada pandangan Allah dan Rasulullah SAW perlu memiliki tiga sifat penting supaya dengannya manusia itu akan mendapat keredhaan Allah SWT di dunia dan akhirat.
Seseorang mukmin akan dapat menjadi yang terbaik atau juara pada pandangan Allah apabila memiliki tiga sifat yang utama iaitu menjadi manusia yang paling tinggi nilai ketaqwaan di sisiNya. Kedua adalah manusia yang paling indah dan tinggi akhlak diri sehingga segala perbuatannya menjadi asbab bagi manusia lain mendekatkan diri dengan agama dan yang ketiga, adalah manusia yang paling itqan perbuatan dan segala tindak tanduknya sehingga kesungguhan dalam melaksanakan sesuatu mendatangkan kebaikan kepada ummah.
Ketiga-tiga sifat ini tidak akan diperolehi oleh manusia biasa. Sebaliknya nilai taqwa yang tinggi ini dimiliki oleh manusia yang sentiasa berusaha membina hubungannya dengan Allah yang maha besar. Justeru orang yang bertaqwa akan sentiasa menjaga hukum dan syariat yang digariskan oleh agama sebelum bertindak atau membuat sesuatu keputusan.
Bahkan manusia yang menjaga hukum hakam yang digariskan, serta taat kepada perintah Allah akan mendapat penjagaan dariNya. Manusia yang bertaqwa sangat berhati-hati dengan apa yang dilakukan kerana mahu memelihara kesucian hukum Allah. Dalam setiap tindak tanduk, kata-kata dan amalan yang dilakukan sangat berhati-hati dan mendahului perintahNya.
Begitu juga manusia yang bertaqwa akan mendapat pembelaan Allah SWT. Walau sebesar mana ujian dan dugaan dalam kehidupan ini tetap juga akan mendapat pembelaan dari Allah. Begitu juga manusia yang bertaqwa ini juga akan mendapat keberkatan dalam kehidupan dari segi rezeki, kesihatan serta usia sekalipun. Manusia yang berkat ini walau apapun yang dilaksanakan dan dilakukan tetap akan mendapat kebaikan dan rahmat dari Allah SWT.
Manusia yang bertaqwa juga akan mendapat pandangan kasih sayang daripada sesama manusia. Apa yang pasti, orang yang disayangi dan disenangi sudah tentu akan mendapat rezeki yang murah. Bahkan orang yang bertaqwa dapat dilihat dari amal perbuatannya yang taat kepada perintah Allah dan menjalin hubungan baik sesama manusia.
Sesungguhnya taqwa dan akhlak tidak akan dapat dipisahkan. Apabila berbicara tentang akhlak yang merupakan sifat kedua bagi membina kekuatan dan kelebihan pada seseorang manusia. Sesungguhnya Allah SWT memuji Baginda Rasulullah SAW kerana akhlak baginda. Bahkan akhlak itu umpama bunga bagi diri seseorang manusia. Seseorang mukmin yang memiliki akhlak yang tinggi akan dapat menawan hati sesiapa sahaja. Oleh itu tidak hairanlah jika Allah sendiri memuji Rasulullah SAW dalam Al-Quran dengan firman-Nya \”Sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat agung.\” (Al Qalam: 4)
Bahkan bagi seseorang pendakwah yang tugasnya menyebarkan syiar agama Islam, jika tidak diserikan dengan akhlak yang mulia pasti sukar untuk menawan setiap hati untuk melihat keindahan Islam sungguhpun hujah yang dizahirkan itu telah berjaya dipatahkan. Sebagaimana Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud \”Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak manusia.\” (Riwayat Malik)
Bagaimana untuk melihat akhlak seseorang adalah melalui kelembutan hati dan lidah mereka. Orang yang berakhlak baik mempunyai kelembutan dalam kata-kata, mudah memaafkan, mudah menerima teguran, tidak berdendam dan sebagainya. Bahkan orang yang berakhlak baik memiliki kemurniaan hati yang tinggi.
Sungguhpun berada pada saat sukar seperti dalam keadaan yang dilukai atau dikhianati, orang yang berakhlak tinggi tidak akan berdendam sama sekali walau mempunyai ruang untuk membalas segala perbuatan orang lain terhadap dirinya.
Menurut Ustaz Pahrol, kelembutan yang paling utama adalah kelembutan di dalam keluarga. Menyantuni ahli keluarga dengan amat penuh kasih sayang adalah lambang kelembutan bagi seseorang manusia. Baginda Rasulullah SAW adalah insan yang mempunyai kelembutan yang tinggi. Baginda seorang insan yang sangat tinggi nilai kasih sayang kepada ahli keluarganya kerana dengan nilai inilah akan membina kualiti nilai mahmudah dalam diri setiap insan.
Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21)
Oleh itu, bagi membina penyatuan dalam rumahtangga, keluarga dan masyarakat nilai kelembutan itu harus diutamakan agar dapat membina kasih sayang dan kecintaan sesama manusia. Justeru, setiap insan itu harus memperaktikkan tentang nilai-nilai murni seperti forgive, iaitu selalu memaafkan jika disakiti, forget iaitu melupakan segala perbuatan buruk dan kejian orang terhadap diri kita dan akhir sekali love iaitu menyebarkan nilai kasih sayang supaya dapat terus membina silaturahim sesama manusia.
Manusia yang dikatakan sebagai juara adalah manusia yang sentiasa memperbaiki diri untuk mendapat pandangan tinggi di sisi Allah SWT, begitu juga dalam masa yang sama membina kebaikan sesama manusia yang akhirnya menempatkan dirinya di dalam syurga Allah SWT yang penuh nikmat dan kelazatan yang kekal abadi.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 27 April 2016