PETANDA dunia ini semakin lanjut usianya di antaranya apabila didapati minuman keras sudah mula berleluasa di kalangan umat manusia serta diberikan nama-nama baru agar manusia merasakan ia bukan minuman yang terlarang malah ia boleh bebas diminum sewenang-wenangnya. Anas bin Malik RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Di antara tanda-tanda berlakunya hari di mana Allah akan menutup alam ini (Hari Kiamat), akan tercabutnya ilmu dan pada waktu itu jelas berlakunya kejahilan”.
Rasulullah juga menjelaskan pada ketika itu, muamalat riba berlaku di mana-mana. Manusia sudah meminggirkan sistem muamalah Islam dan mengutamakan muamalat konvensyenal. Ini merupakan di antara punca umat manusia tidak lagi yakin kepada kehidupan beragama. Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud daripada Rasulullah SAW di dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan Abu Hurairah RA berkata, dia mendengar Baginda bersabda: “Akan sampai satu zaman nanti, seseorang itu tidak lagi memilih dan mempedulikan dari mana datangnya duit itu, sama ada halal atau haram sumbernya. Akan menjadi kebiasaan di dalam hidup mereka memakan benda-benda yang riba dan haram dan menjadi kemudahan pada diri mereka.”
Perkongsian bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm pada setiap Khamis, jam 5.15 petang, menjelaskan antara petanda lain akan berakhirnya dunia ini ialah apabila berlakunya pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan kepada seseorang. Suami isteri tidak lagi amanah terhadap rumah-tangga mereka. Seorang pemimpin tidak lagi amanah di dalam kepimpinannya, seorang rakyat juga tidak menunaikan amanahnya, malah manusia pada ketika itu berasa seronok dengan sesuatu yang dimilikinya tanpa sedikitpun rasa bertanggungjawab terhadap agamanya. Abu Hurairah RA menyebut, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu sampai pada satu zaman nanti, akan kamu dapati berlaku pengkhianatan-pengkhianatan terhadap amanah. Kamu tunggulah saat itu, saat kehancuran. Akan sampai pada diri kamu masa Allah hancurkan alam itu.” Sahabat-sahabat bertanya kepada Baginda, “Ya Rasulullah, bagaimanakah pengkhianatan amanah itu?” Rasulullah berkata, “Ia adalah apabila kamu sandarkan satu urusan itu pada orang yang tidak ahli di dalam bidangnya, maka tunggulah saat kehancuran.”
Perkara lain yang menandakan dunia berada pada akhir zaman ialah apabila orang Islam tidak lagi mengamalkan kehidupan sebagai seorang mukmin tetapi sebaliknya mereka mengagungkan dan meniru kehidupan orang yang tidak beriman kepada Allah. Bahkan mereka berbangga dengan cara hidup yang sudah tentunya sudah terpesong daripada jalan lurus yang diredhai Allah SWT. Rasulullah SAW menyebut, “Takkan berlaku saat di mana Allah akan menghancurkan alam ini, sehingga umat aku mula mengambil di kalangan perilaku-perilaku umat sebelum daripada ini. Perubahan ini berlaku sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta”. Para sahabat bertanya kepada Baginda adakah perilaku itu sebagaimana yang dilakukan oleh orang Parsi dan Rom? Rasulullah menjawab, “Siapa lagi jika bukan mereka.” Perilaku yang dikeji di antaranya apabila lelaki berpakaian dan menyerupai wanita, wanita yang berminat menjadi lelaki, tersebarnya gejala homoseksual dan pelbagai perilaku yang menjadi amalan umat-umat terdahulu. Sewajarnya kita berbangga dan berasa hebat menjadi orang Islam dan memiliki keperibadian seperti Baginda Rasulullah, seperti yang disebut oleh Saidina Umar, “Kita dimuliakan oleh Allah kerana kita ini memiliki Islam, barangsiapa yang menolak Islam di dalam hidupnya, Allah akan menghina kehidupannya.”
Rasulullah menggambarkan juga umur dunia semakin singkat apabila manusia menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah, seperti sutera, arak, menikmati muzik berbanding amalan zikir. Di dalam kitab Imam Bukhari dalam sahihnya daripada Abu Malik al-Ashaari disebut bahawa Rasulullah bersabda, mafhumnya: “Akan berlaku di kalangan umatku, satu kaum yang akan menghalalkan penzinaan, menghalalkan sutera-sutera (bagi lelaki), menghalalkan arak dan muzik-muzik (yang melekakan). Pada suatu ketika nanti akan ada beberapa kaum yang akan singgah di sebuah pergunungan yang tinggi. Pada petangnya apabila seorang pengembala fakir mendatangi mereka dengan membawa haiwan-haiwan ternakan untuk satu keperluan, lalu mereka berkata, “Kamu datang sahajalah esok.” Lalu pada sebelah malamnya Allah membinasakan mereka dan menghancurkan gunung-gunung tersebut dan mengubah sebahagian daripada mereka menjadi kera-kera dan babi-babi sehingga Hari Kiamat.”
Tanda-tanda lain yang ada pada penghujung zaman di antaranya apabila berlakunya kematian yang mendadak dalam hidup seseorang. Kematian tersebut tidak mengecualikan mereka yang begitu muda usianya. Daripada Thabrani RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Di antara tanda-tanda berlakunya hari kiamat ini, di mana terjadinya kematian itu secara mendadak (tiba-tiba)”. Allah juga mengingatkan manusia bahawa Dia tidak akan lupa kepada mereka yang melakukan maksiat dan Allah sengaja membiarkan mereka di dalam kemaksiatan dan merasai selesa dengan dosa yang dilakukan, sehinggalah pada suatu ketika Allah akan merentap nyawanya di dalam keadaan terbeliak matanya (mati mengejut). Dan pada masa itu baharulah mereka menyedari bahawa mereka telah mengabaikan solat, tidak beramal dengan al-Quran, meninggalkan segala perintah Allah serta melakukan pelbagai maksiat yang mengundang kemurkaan Allah.
Seterusnya petanda lain yang menunjukkan dunia sudah berada dipenghujungnya, dengan wujudnya pasar-pasar yang terletak berhampiran di antara satu sama lain dan banyaknya pusat-pusat membeli-belah. Disebut oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga fitnah-fitnah itu jelas kelihatan, pembohongan-pembohongan itu banyak, pasar-pasar berada berdekatan.” Selain itu, orang tua mula bergaya dan berlagak muda juga merupakan antara ‘penyakit’ yang mula timbul pada akhir zaman. Pelbagai rawatan dan kaedah digunakan oleh manusia agar sentiasa tampak lebih muda berbanding usianya yang sebenar. Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang di akhir zaman satu kaum yang mula menginaikan rambut-rambut mereka dengan warna hitam bagaikan dada burung merpati. Orang ini tidak akan mencium bau syurga Allah SWT.” Petanda lain ialah apabila orang mukmin mula bermimpi, mimpi-mimpi itu menjadi kenyataan. Pada penghujung zaman Allah turunkan keistimewaan ini kepada orang-orang salih, mimpi di kalangan mereka merupakan sebahagian kecil (1/45) daripada kenabian nabi-nabi, sebagaimana yang diakui oleh Baginda Rasulullah SAW sendiri.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 April 2016