Siapa Kita Tanpa Integriti

INTEGRITI, tidak pernah tertulis dalam Bahasa kitab namun kewujudannya dalam diri perlu mantap. Walaupun berasal daripada  Bahasa Inggeris, tetapi hakikatnya Islam memilikinya sejak dari mula lagi. Kosa kata integriti ini sudah lama bertapak dalam kehidupan umat Islam mendahului kewujudan perkataan integriti itu sendiri menerusi sifat amanah, ikhlas, jujur dan qonaah.

Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, integriti kejujuran,keutuhan dan ketulusan. Dalam masa yang sama integriti juga membawa maksud sepadu dan kukuh. Umpama pohon jati yang kukuh, padu dan teguh begitu juga buat individu yang punya integriti kerana hidupnya ada jati diri serta kesepaduan dari sudut ilmu, tindakan juga dari sisi membuat keputusan.

Dalam Islam, istilah paling tepat meletakkan makna integriti malah lebih daripada itu iaitu  ehsan. Ia membawa kepada kesedaran bahawa setiap yang dilakukan dengan melihat Allah menerusi mata hati atau paling kurang merasa sentiasa dilihat oleh Allah SWT. Justeru, menerusi integriti dan ehsan ini akan melahirkan individu yang akan melakukan sesuatu dengan betul dan benar walau tiada sesiapa yang melihat dan mengetahuinya. Ia benar-benar menguji keimanan untuk meyakini bahawa Allah Maha Melihat dan adanya alam akhirat yang bakal menghitung setiap perkara walau hanya sebesar zarah.

Dari perspektif ilmu kontemporari, integriti membawa kepada sistem nilai yang akan dapat merasa sesuatu itu baik, benar dan betul dalam kehidupan.  Ia adalah nilai yang benar-benar di hayati serta  diakui dan akhirnya akan diguna pakai selalu bukannya nilai yang hanya diketahui tetapi diletak di tepi.

Ironinya kehidupan manusia, mengetahui banyak perkara baik tetapi jarang melakukannya. Fitrah manusia suka kepada perkara yang bersih. Namun, malangnya kekotoran masih berleluasa. Bersih hanya bersifat teori, nilai yang diakui tetapi tidak dirasai dan dihayati. Itulah yang berlaku kepada si pengotor. Mengakui suka dan tahu tentang kebersihan tetapi kurang menghayati dan tidak merasa ingin melakukan. Maka, hiduplah dia sebagai seorang pengotor.

Dalam kehidupan manusia juga banyak perkara diakui keburukannya dan kemudaratan yang dibawa. Tetapi, masih diamal dan dibudayakan kerana ia hanya diakui tetapi dipandang sepi, tiada rasa untuk di jauhi.

Masalah integriti adalah isu dari dahulu sehingga ke hari ini. Semua orang mengakui kepentingannya tetapi hanya segelintir yang mengamalkannya. Contoh sifat berlawanan bagi sifat integriti adalah seperti pecah amanah, rasuah, curang dan khianat. ia adalah sifat mazmumah yang mengundang dosa. Dosa, akan membawa ketenangan jauh daripada diri. Justeru, Rasulullah SAW bersabda dari an-Nawwâs bin Sam’ân RA, ia berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullâh SAW tentang kebajikan dan dosa, maka beliau menjawab, “Kebajikan adalah akhlak yang baik dan dosa adalah apa yang membuat bimbang (ragu) hatimu dan engkau tidak suka dilihat (diketahui) oleh manusia.” (HR Muslim).

Dalam hadis yang lain, dari Abu Tsa’labah al-Khusyani, ia berkata: Aku berkata, “Wahai Rasulullâh! Jelaskan apa saja yang halal dan haram bagiku.” Beliau bersabda, “Kebajikan ialah apa saja yang apa saja yang menjadikan jiwa tenang dan hati menjadi tenteram. Dan dosa ialah apa saja yang menjadikan jiwa tidak tenang dan hati tidak tenteram kendati para pemberi fatwa berfatwa kepadamu.” (HR Ahmad).

Saat diri melakukan sesatu yang bertentangan, hati tidak akan mendapat ketenangan. Walau pada satu ketika manusia tidak mengetahui perbuatan jahat yang dilakukan, tetapi si pelaku akan dihukum oleh hatinya sendiri. Hukuman dengan rasa bersalah.

Sungguh, mahkamah itu terbahagi kepada tiga. Pertama, mahkamah Allah di padang mahsyar nanti. Kedua, mahkamah manusia di dunia yang punya hakim, peguam dan pembela. Dan akhir sekali mahkamah diri yang terletak pada hati. Manusia mungkin boleh terlepas daripada mahkamah manusia di dunia, namun hukuman pasti akan terlaksana di mahkamah Allah Rabbul Jalil dan akan di awalkan dengan siksaan derita rasa hati yang tak karuan oleh mahkamah hatinya sendiri saat di dunia lagi.

Oleh yang demikian, bagi manusia yang inginkan ketenangan hidup dan ketenteraman hati hendaklah punya integriti dalam diri. Silap langkah, bukan organisasi mahupun keluarga yang susah tetapi diri dan hati sendiri akan disesah. Begitu juga sebaliknya, menerusi integriti bakal mengundang aman pada hati serta diri seterusnya sejahtera pada keluarga dan organisasi malah negara yang didiami.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 Disember 2016
\"2016-12-28\"
WhatsApp
Scroll to Top