Penyamarataan Martabat Manusia

ADA kecenderungan di kalangan sesetengah manusia yang menyamaratkan manusia antara satu sama lain. Hujah yang mereka berikan ialah manusia itu semua sama dan tiada kasta dalam Islam. Sikap sebegini dibawa hingga turut menyamaratakan Baginda SAW sebagai manusia biasa, atau sekadar posmen kerana kata mereka al-Qur’an sendiri menyebut dalam Surah al-Kahf ayat 110, berbunyi mafhumnya: “Katakanlah (kepada manusia) sesungguhnya aku ini (Muhammad) adalah manusia biasa seperti kamu…” lalu mereka berhujuah itulah dalil bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri sama seperti kita. Mereka lupa bahawa sambungan ayat tersebut berbunyi “…yang diwahyukan kepadaku..” Nabi Muhammad SAW dari segi kejadiannya benar sekali Baginda SAW merupakan bersifat manusia seperti kita, bukan jin atau malaikat, tetapi dari segi martabatnya Baginda SAW jauh berbeza daripada kita kerana Baginda SAW sendiri menyebut bahawa  “…diwahyukan kepadaku…” sedangkan kita semua tidak menerima sebarang wahyu daripada Allah SWT sepertimana Baginda SAW. Ada juga kelompok yang merasakan diri mereka setaraf dengan para ulama dan mendakwa bahawa “ulama itu lelaki, dan kami juga lelaki (seperti ulama)”, lalu tiada apa pun yang membezakan kami dan para ulama. Perbezaan antara orang berilmu dengan orang jahil disebutkan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an sepertimana yang dirakamkan dalam Surah al-Mujadalah ayat 11: “ Allah meninggikan beberapa darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (ilmu) beberapa darjat…”. Ini adalah pengiktirafan Allah SWT sendiri bahawa orang berilmu (dan orang beriman) itu tidak sama darjat dengan orang yang jahil dan tidak beriman.

Tan Sri Professor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas pernah menuturkan kisah beliau sendiri yang hadir dalam satu program syarahan di Amerika Syarikat lebih dari 40 puluh tahun lalu di salah sebuah universiti di mana sebaik selesai sesi syarahan, salah seorang peserta dari kalangan pelajar yang hadir bertanyakan soalan lalu menyebut “beliau tidak mahu memanggil penceramah (Prof. Naquib) sebagai “Professor” atau “Dr.” kerana katanya semua manusia tiada beza dan sama di sisi Allah SWT.  Beliau memilih untuk memanggil “Saudara” (brother) sahaja. Professor Naquib lantas menempelak pelajar berkenaan dan bertanya kepada beliau adakah beliau memanggil ayahnya sendiri sebagai “Saudara”? Beliau menjawab tidak. Nah! di sini sendiri sudah jelas menunjukkan bahawa manusia itu mempunyai tingkatan yang berbeza-beza bergantung kepada keilmuan, kedudukannya, kepimpinannya dalam masyarakat dan lain-lain kriteria yang perlu dipatuhi kerana itulah adab yang dibawakan oleh ajaran Islam.

Penyamarataan inilah sebenarnya hasil daripada gerakan modernis yang melanda di Barat yang turut terkesan di kalangan umat Islam hari ini dipelopori oleh gerakan yang digelar “pembaharuan agama” atau “islah” atau “tajdid”. Professor Naquib dalam bukunya Risalah Untuk Kaum Muslimin mengingatkan bahawa “tiada satupun orang-orang mendakwa diri sebagai “modernis” dan “pembaharu agama” termasuk mereka yang kononnya sebagai “ulama mujtahidin” sampai mencapai peringkat paling rendah di kalangan ulama agung zaman silam”.

Kalau ditelusuri, ada beberapa tokoh-tokoh ulama kurun ke-13 Masehi yang gemar membawa gerakan mencabar kewibawaan yang sah dan menyamaratakan alim ulama yang cukup tinggi dan sempurna taraf mereka, namun dalam masa yang sama mereka ini masih tetap menganjurkan agar berpegang teguh dengan mazhab yang empat dari segi fekahnya, dan aqidah Ahlul Sunnah wal Jamaah. Mereka juga masih tidak menolak ajaran tasawuf. Namun gerakan yang dibawa oleh tokoh-tokoh atas nama “modernis”, “islah” dan “tajdid” sejak 200 tahun lalu di Mesir  semakin deras alirannya hingga Prof Naquib menyebut telah “menganjurkan perpisahan daripada ajaran-ajaran ulama lama yang merupakan pelbagai pelita agung yang telah menerangi suasana umat Islam beradab-adab”. Ditambah dengan bantuan dana yang besar daripada sumber minyak oleh negara-negara tertentu, gerakan ini telah berjaya bertapak di seluruh dunia dan diperhatikan di mana sahaja gerakan ini berada, mereka pasti akan mewujudkan perpecahan dan menggugat keharmonian masyarakat setempat. Hakikatnya, pemikiran pelopor-pelopor gerakan “islah” moden hari ini yang kononnya bertujuan memulihkan ajaran Islam kepada kemurniaan asal, sesungguhnya sudah jauh terpesong berbanding dengan apa yang cuba dibawakan tokoh pendiri gerakan ini yang terawal seperti Imam Ibn Taymiyyah RA dan lain-lain.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 30 Disember 2016
Scroll to Top