SEORANG JEMAAH HAJI MALAYSIA MENINGGAL DUNIA DI TANAH SUCI

\"\"

Makkah,12 Jun (IKIM) – Seorang jemaah haji wanita Malaysia dari Raub Pahang berusia 57 tahun telah meninggal dunia di Tanah Suci Makkah pada 4 Jun yang lalu disebabkan kegagalan jantung.

 

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata jemaah haji dimasukkan ke Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) Makkah untuk rawatan lanjut pada jam 9.00 malam sebelum meninggal dunia jam 11.50 malam.

 

“Jenazah Allahyarham diuruskan dan disembahyangkan di Masjidil Haram selepas solat Zohor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syariee, Makkah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat TH Makkah, Abraj Janadriyah.

 

Tambahnya lagi, TH akan menguruskan badal haji buat Allahyarhamah.

 

“Allahyarhamah tiba melalui penerbangan KT05 di Madinah pada 22 Jun lalu bersama suaminya dan berada selama enam hari di Madinah sebelum bertolak ke Makkah” jelas beliau.

 

Dalam perkembangan lain, seramai 37 jemaah haji Malaysia sedang dirawat di Pusat Rawatan TH di Makkah manakala 10 lagi di Hospital Arab Saudi menjadikan jumlah keseluruhan 47 orang jemaah.

 

Jemaah yang dimasukkan ke Pusat Rawatan TH dan Hospital Arab Saudi  disebabkan oleh masalah pernafasan, jangkitan paru-paru, masalah jantung, gangguan emosi, sakit kulit, sakit otot dan sendi.

 

Datuk Seri Syed Saleh turut menasihatkan jemaah haji supaya terus menjaga kesihatan dan tidak terlalu terdedah dengan memandangkan cuaca panas di Makkah pada ketika ini.

Setelah 60 tahun, Mesin ATM wujud di dalam bangunan Jemaah haji Malaysia

Terdahulu, Dato\’ Seri Syed telah melancarkan Mesin ATM di Bangunan Penginapan JH, Abraj Al-Janadriyah Tower. Ia merupakan yang pertama di Arab Saudi, negara yang berjaya mewujudkan kemudahan Mesin ATM di bangunan penginapan jemaah bagi kemudahan jamaah mendapatkan wang tunai.

Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mendapat kerjasama Bank Alinma dan kelulusan Bank Negara Arab Saudi (SAMA) untuk julung kalinya menempatkan mesin juruwang automatik (ATM) di bangunan penginapan jemaah haji negara di Tanah Suci.

Untuk rekod, ia adalah kejayaan pertama TH dalam masa 60 tahun untuk mewujudkan mesin ATM untuk kemudahan jemaah.

Mesin ATM Bank Alinma mula beroperasi di Abraj Al-Janadriyah yang juga Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah, semalam, sekali gus memberi kemudahan kepada kira-kira 8,000 jemaah yang menginap di situ dan hotel berdekatan.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata difahamkan SAMA dan pihak bank di Arab Saudi tidak pernah memberi kebenaran untuk menempatkan mesin ATM di bangunan penginapan khusus bagi jemaah sesebuah negara, sebelum ini.

Daripada tinjauan, rata-rata Jemaah bersyukur dengan kewujudan mesin ATM tersebut dan telah ternanti-nanti ianya di buka kerana ia akan memudahkan proses pengeluaran wang tunai bagi kegunaan semasa berada di Tanah Suci.

 

Scroll to Top