KUALA LUMPUR, 17 September (IKIM) – 26 kontinjen dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta di Wilayah Persekutuan dengan jumlah penyertaan sekitar 600 orang menyertai Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1446H/2024M di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar itu dimulakan dengan perbarisan dan perarakan oleh kontinjen diikuti alunan selawat oleh kumpulan Angham Anisah serta diserikan dengan tausiyah yang disampaikan oleh Habib Nael bin Taher.
Dalam majlis tersebut, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar dinobatkan sebagai Tokoh Utama Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan dengan dua individu lain menerima Tokoh Khas Individu, Siti Maisarah binti Sheikh Abdul Rahim, wartawan Utusan Malaysia dan Encik Mohamad Azhan bin Mohamed Adnan atau dikenali sebagai Abe Hae, aktiviti kemasyarakatan.
Manakala 5 anugerah kategori Khas Organisasi diberikan kepada Kategori Masjid, Masjid Mahmoodiah, Presint 18 Putrajaya; Kategori Surau, Surau Al-Barakah Menara Kembar Bank Rakyat; Kategori SRA/SIRAJ, Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI Saidina Uthman bin Affan; Kategori Sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 16 (1) Putrajaya; dan Kategori NGO, Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA).
“Penerima anugerah diharap agar terus dapat memberikan sumbangan untuk syiar Islam dan membantu individu yang susah dan memerlukan bantuan serta menjadi dorongan kepada individu lain untuk mempertingkatkan usaha dan sumbangan” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan tersebut.
Sementara itu, Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im dalam ucapan pada majlis tersebut menyeru umat Islam di Wilayah Persekutuan supaya berusaha untuk membina perpaduan ummah di samping memperkukuh keharmonian bermasyarakat melalui penghayatan terhadap Rasulullah SAW.
Turut hadir pada majlis tersebut Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Perskutuan (JAWI), Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Prof Madya dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM.
Wartawan : Faiz Hj. Othman
Jurugambar : Fathulmungin Mohd. Yusof